Penyertaan beberapa negara bukan Barat, termasuk Indonesia, dalam penubuhan Board of Peace berkaitan Gaza telah dipersembahkan sebagai satu langkah diplomatik yang konstruktif ke arah menamatkan keganasan dan memudahkan pemulihan pascaperang.
Para penyokong inisiatif ini menggambarkannya sebagai pendekatan pragmatik, satu bentuk penglibatan untuk menyumbang kepada perlindungan kemanusiaan dan penstabilan politik.
Namun, di sebalik persoalan penyertaan dan niat baik, wujud satu persoalan yang lebih mendalam dan merisaukan: apakah bentuk keamanan yang sedang diusahakan, dan pada harga normatif yang bagaimana?
Konflik Israel–Palestin bukanlah krisis kemanusiaan yang tercetus secara spontan.
Ia merupakan salah satu kes penjajahan berpanjangan yang paling didokumentasikan dari sudut undang-undang antarabangsa dalam sejarah moden.
Selama beberapa dekad, undang-undang antarabangsa telah menyediakan kerangka yang jelas untuk menangani konflik ini, berteraskan hak menentukan nasib sendiri, pengharaman penjajahan kekal, serta kebertanggungjawaban terhadap pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Krisis di Gaza bukan kegagalan norma, tetapi kegagalan penguatkuasaan norma.
Dalam konteks inilah kemunculan mekanisme keamanan ad hoc seperti Board of Peace perlu diteliti secara kritikal.
Keamanan di Luar Seni Bina Undang-undang Antarabangsa
Secara sejarah, sistem undang-undang antarabangsa moden lahir daripada runtuhan peperangan dunia dan pengalaman penjajahan.
Janji utamanya ialah bahawa keamanan tidak lagi ditakrifkan sekadar sebagai ketiadaan perang, tetapi sebagai kehadiran keadilan.
Prinsip seperti hak menentukan nasib sendiri, kedaulatan wilayah dan akauntabiliti undang-undang diwujudkan bagi menghalang normalisasi penaklukan dan penjajahan.
Kerangka normatif ini diinstitusikan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan instrumen perundangannya.
Walaupun sarat dengan kekangan politik, sistem PBB kekal sebagai kerangka utama bagi menyelesaikan konflik yang berpunca daripada pejajahan dan legasi kolonial.
Isu Palestin, khususnya, sejak lama diiktiraf sebagai persoalan dekolonisasi dan tanggungjawab antarabangsa.
Namun, dari masa ke masa terutama pasca Perang Dingin, makna keamanan dalam diplomasi global telah berganjak.
Keamanan semakin disamakan dengan kestabilan, bukan keadilan.
Konflik diurus, bukan diselesaikan; keganasan dikawal, bukan ditangani secara struktural.
Logik ini melahirkan pendekatan ‘conflict management’ yang mengutamakan ketertiban, keselamatan dan tadbir urus berbanding hak politik dan pembetulan sejarah.
Di sinilah terletaknya bahaya inisiatif seperti Board of Peace.
Apabila proses keamanan beroperasi di luar kerangka undang-undang yang sedia ada, ia berisiko mentakrifkan keamanan sebagai latihan teknokratik, tertumpu kepada bantuan kemanusiaan, pembinaan semula dan peralihan pentadbiran, sementara struktur dominasi yang menjadi punca konflik dibiarkan kekal.
Keganasan mungkin mereda sementara, tetapi syarat-syarat yang melahirkannya tidak disentuh.
Dalam konteks Palestin, pendekatan ini mempunyai sejarah yang panjang dan membimbangkan.
Usaha-usaha damai berulang kali telah mereduksi perjuangan politik menentang penjajahan kepada siri krisis kemanusiaan dan keselamatan.
Penjajahan menjadi latar belakang, bukan masalah utama.
Kestabilan menggantikan keadilan sebagai ukuran kejayaan.
Namun, keamanan tanpa akauntabiliti bukanlah keamanan, ia hanyalah penangguhan konflik.
Agensi Palestin dan Politik Legitimasi
Satu lagi persoalan kritikal ialah: siapakah yang benar-benar diwakili dalam mekanisme keamanan sebegini?
Inisiatif antarabangsa sering mendakwa bertindak bagi pihak rakyat Palestin, namun dalam praktiknya, agensi politik Palestin sendiri sering diketepikan.
Kenegaraan, kedaulatan dan hak menentukan nasib sendiri dianggap sebagai hasil jangka panjang yang boleh dirunding, sementara pengurusan kemanusiaan dijadikan keutamaan segera.
Pembalikan keutamaan ini bukan kebetulan.
Ia mencerminkan kecenderungan lebih luas dalam tadbir urus antarabangsa untuk mendepolitisasi konflik yang berpunca daripada hubungan kuasa tidak seimbang dan warisan kolonial.
Rakyat Palestin dibingkaikan terutamanya sebagai mangsa yang memerlukan perlindungan, bukan sebagai satu bangsa yang berhak kepada hak politik di bawah undang-undang antarabangsa.
Dari sudut normatif, ini adalah pendekatan yang cacat.
Penderitaan kemanusiaan di Gaza bukan punca konflik, ia adalah akibatnya.
Memisahkan bantuan kemanusiaan daripada keadilan politik berisiko menjadikan pelucutan hak Palestin sebagai keadaan kekal yang diurus oleh aktor antarabangsa, bukannya ketidakadilan sejarah yang mesti diperbetulkan.
Di sinilah penyertaan negara seperti Indonesia menjadi sangat signifikan.
Sebagai negara pascakolonial yang konsisten menyokong hak menentukan nasib sendiri Palestin, Indonesia memiliki modal moral yang besar dalam diplomasi global.
Penyertaannya sering ditafsir sebagai lambang legitimasi dan keseimbangan.
Namun, penyertaan juga membawa risiko.
Apabila negara yang mempunyai reputasi normatif yang kuat menyertai mekanisme yang cacat secara struktural, ia berpotensi mengesahkan pendekatan yang mengelak isu teras undang-undang dan politik.
Legitimasi ini tidak memerlukan sokongan terbuka; ia berlaku secara halus, melalui kehadiran dan keheningan.
Maka persoalannya bukan sama ada negara seperti Indonesia wajar terlibat, tetapi bagaimana dan dalam kerangka apa penglibatan itu berlaku.
Penglibatan yang mengukuhkan undang-undang antarabangsa, meletakkan pendudukan sebagai punca utama, dan memusatkan hak politik Palestin akan menguatkan norma global.
Sebaliknya, penglibatan yang mengutamakan kestabilan berbanding keadilan berisiko melemahkannya.
Keamanan untuk Siapa?
Persoalan paling asas yang dihadapi Board of Peace bukan soal kecekapan prosedur, tetapi orientasi normatif.
Adakah keamanan dikejar sebagai laluan kepada keadilan, atau sebagai mekanisme mengurus ketidakstabilan?
Sejarah menunjukkan bahawa proses damai yang terpisah daripada keadilan jarang bertahan.
Ia mungkin menenangkan keganasan segera, tetapi tidak menghapuskan syarat-syarat yang menjadikan keganasan tidak dapat dielakkan.
Bagi rakyat Palestin, keamanan tanpa hak menentukan nasib sendiri bukanlah keamanan.
Bagi masyarakat antarabangsa, keamanan tanpa akauntabiliti meruntuhkan sistem undang-undang yang kononnya dipertahankan.
Dan bagi negara yang terlibat, risikonya jelas: menjadi aktor dalam normalisasi ketidakadilan, bukan penyelesaiannya.
Masih wujud satu pilihan kritikal.
Negara-negara yang terlibat dalam Board of Peace boleh menegaskan bahawa:
- Sebarang kerangka keamanan mesti berakar pada undang-undang antarabangsa,
- Ia tidak boleh menggantikan mekanisme PBB sedia ada,
- Hak menentukan nasib sendiri Palestin bukan aspirasi boleh tawar-menawar, tetapi prinsip tidak boleh dirunding.
Tanpa komitmen ini, inisiatif seperti Board of Peace berisiko menjadi satu lagi episod dalam sejarah panjang yang meresahkan: proses damai yang cekap mengurus konflik, tetapi membiarkan ketidakadilan terus hidup.
Penutup
Keamanan yang dipisahkan daripada keadilan bukanlah solusi, tetapi ilusi yang menenangkan penindas dan melelahkan yang tertindas.
Dalam isu Palestin, dunia tidak kekurangan pelan keamanan, yang tiada ialah keberanian politik untuk menegakkan undang-undang dan keadilan secara konsisten.
Selagi pendudukan dianggap isu sampingan, dan penderitaan Palestin sekadar masalah kemanusiaan, selagi itulah keamanan yang dijanjikan hanya akan menjadi keamanan palsu.
Oleh Eko Ernada
