Saya terbaca satu tulisan yang ditulis oleh bekas pimpinan PAS, Dr. Khairuddin At Takiri, bertajuk “Majlis Syura Ulamak PAS Tiada Kuasa”.
Saya rasa ada banyak salah faham.
Maka saya coretkan di sini sedikit jawapan untuk bacaan Dr. Khairuddin dan rakan Facebook.
Pertamanya saya nak jelaskan, dalam PAS penghormatan ahli kepada Mursyidul AM (MA) ataupun Presiden tidak pernah ada perbezaan.
Keduanya dihormati sebagai pimpinan tertinggi PAS.
Saya juga nak letak kaveat kat sini, tulisan ini tidak sesekali mengecilkan kuasa Presiden atau MA dalam PAS.
Dalam PAS keduanya, ada peranan masing-masing.
Okey, sekarang berkenaan tulisan Dr. Khairuddin…..
Point pertama Dr Khairuddin yang saya nak jawab adalah berkenaan Fasal 9.1(a) bahawa fasal ini memberikan kuasa kepada MA untuk mengeluarkan arahan mewakili Majlis Syura Ulamak (MSU) kepada Presiden dan Setiausaha serta Fasal 9.1 (c) yang memberikan kuasa kepada MA untuk mengambil apa apa langkah bagi mengawasi dan memelihara Perlembagaan PAS.
Saya berpandangan Dr. Khairuddin terkeliru dalam menafsir Fasal ini kerana Fasal 9 secara jelas bertajuk “Tugas-tugas Majlis Syura ‘Ulamak” dan bukan tugas individu secara terasing.
Oleh itu, Fasal ini mesti ditafsir secara ‘purposive interpretation’ (kaedah mentafsir undang-undang atau teks dengan melihat tujuan sebenar sesuatu peruntukan, bukan sekadar makna literal perkataan), iaitu berdasarkan tujuan penubuhan jawatan Mursyidul ‘Am itu sendiri.
Kuasa Mursyidul ‘Am bukanlah sebagai individu autoritarian, tetapi sebagai ketua kepada Majlis Syura ‘Ulamak.
Selain itu, Dr Khairuddin juga perlu memahami prinsip ‘collective authority doctrine’, iaitu kuasa yang disebut dalam konteks sesebuah majlis adalah kuasa institusi, bukan kuasa peribadi.
Justeru, Fasal 9(1)(c) hendaklah dibaca sebagai kuasa Mursyidul ‘Am yang bertindak mewakili Majlis Syura ‘Ulamak, dan bukannya kuasa peribadi Mursyidul ‘Am ke atas Majlis tersebut.
Kalau kuasa Presiden perlu kepada mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk membuat keputusan, takkan kuasa MA tidak perlu kepada MSU?
Saya yakin dan percaya MA dan seluruh anggota MSU memahami dan menghormati hakikat ini.
Hanya Dr. Khairuddin yang keliru.
Seterusnya Dr Khairuddin mengulas mengenai kuasa Presiden dalam Fasal 39.1 yang jauh kebelakang daripada peruntukan kuasa MA dan MSU.
Kalau itu hujahnya, fasal mengenai keahlian diletakkan pada Fasal 10.
Adakah bermaksud ahli PAS lebih berkuasa dari Presiden dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat?
Tapi saya setuju bila Dr Khairuddin kata Presiden dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melaksanakan perkara DASAR yang diputuskan oleh MSU.
Terma penting di sini adalah perkara DASAR.
Adapun perkara bersifat pengurusan ‘day-to-day’ (hari ke hari) adalah tugas dan kuasa Presiden dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Sekali lagi saya yakin dan percaya, Presiden dan seluruh AJK PAS Pusat memahami dan menghormati hakikat ini.
Hanya Dr. Khairuddin yang keliru.
Saya geli hati bila Dr. Khairuddin bercakap mengenai keberkatan yang hilang menyebabkan PN berada di ambang kehancuran selepas 5 tahun.
Untuk makluman Dr. Khairuddin, PN hanya bergolak sedikit.
Dr. Khairuddin kata hilang keberkatan.
UMNO hampir pupus dalam PRU15 Dr. Khairuddin nak kata apa?
Sebelum kata ke bekas parti Dr., ada baiknya Dr. menenung dalam cermin parti baru Dr. untuk lihat sejauh mana keberkatan dalamnya.
Akhir kalam, saya pelik bagaimana Dr. sebagai bekas AJK PAS Pusat dan Setiausaha Majlis Syura gagal memahami Perlembagaan PAS.
Sukar untuk saya jawab.
Salam Hormat Dr,
Ir. Ts. Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff
