Dalam satu hantaran saya mengenai pembatalan pelaburan syarikat pusat data (data center) di Kedah, ada seorang noner yang memberi komen tentang petikan daripada Amanat Haji Hadi.
Seperti biasa, DNA noner bukanlah untuk membincangkan tajuk asal.
Tidak mengapa, kita layan.
Noner ini boleh dianggap mewakili kelompok noner yang sangat terkesan dengan perkembangan politik mutakhir antara PAS dan UMNO.
Dalam usaha memperlekehkan perkembangan tersebut, antara isu yang sering dimainkan ialah Amanat Haji Hadi.
Kita sebenarnya tidak perlu mengulas panjang lagi mengenai Amanat Haji Hadi.
Sejak dahulu lagi, perkara ini telah dijelaskan berkali-kali, namun golongan noner tetap berpura-pura tidak memahami.
Ditambah pula dengan seorang lagi yang mencelah, kononnya sekarang dia mencium berhala.
Manusia sebagai individu ialah makhluk sosial yang dinamik dan sentiasa berubah mengikut peredaran masa.
Dalam jangka hayat purata sekitar 60 hingga 70 tahun, seseorang akan mengalami perubahan fizikal, emosi, ideologi dan pemikiran sejak kecil hingga usia tua.
Perubahan itu berlaku akibat pelbagai faktor, termasuk perubahan persekitaran.
Begitu juga manusia sebagai kelompok, komuniti atau organisasi.
Mereka turut berubah mengikut keperluan zaman dan keadaan, walau seteguh mana sekalipun prinsip asas yang dipegang.
Berbeza dengan perubahan individu, perubahan sesebuah organisasi mungkin berlaku dengan cepat atau mengambil masa yang lama.
Malah, ada kalanya perlu berganti generasi sebelum perubahan itu benar-benar dapat dilihat.
Perubahan sesebuah tamadun pula boleh mengambil masa ratusan malah ribuan tahun.
Berbalik kepada dinamika hubungan PAS dan UMNO, perubahan itu selaras dengan sifat manusia.
Ketika Amanat Haji Hadi disampaikan sekitar tahun 1980-an, hubungan antara PAS dan UMNO berada pada tahap permusuhan yang sangat tegang.
Ia merupakan tindak balas terhadap tindakan dan sikap ekstrem yang berlaku antara kedua-dua pihak pada ketika itu.
Namun hari ini, illah atau faktor yang melatari keadaan tersebut sudah tiada.
UMNO tidak lagi bersikap ekstrem sehingga mencederakan atau membunuh orang PAS, manakala orang PAS pula berkawan baik dengan orang UMNO di seluruh negara.
Kebanyakan watak ekstrem pada zaman dahulu juga telah tiada.
Yang wujud hari ini ialah generasi baharu yang tidak pernah melalui pengalaman ekstrem tersebut.
Mungkin masih ada saki-baki pemikiran atau DNA watak lama, tetapi dalam era masyarakat yang lebih berilmu dan bermaklumat, sikap ekstrem bukan lagi menjadi budaya kedua-dua pihak.
Walaupun masih ada yang cuba membangkitkannya, usaha itu akhirnya akan gagal dengan sendirinya.
Ucapan ceramah pada tahun 1980-an itu merupakan respons terhadap keadaan semasa UMNO yang ketika itu bersikap ekstrem.
Tambahan pula, propaganda yang memetik ucapan tersebut secara terpilih berlaku ketika teknologi media masih sangat terhad, menyebabkan PAS tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk menjawab atau memperbetulkan salah faham.
Akhirnya, ia menjadi fitnah dan terus dijadikan modal oleh generasi baharu yang mahu mengekalkan permusuhan terhadap PAS.
Sengaja saya menulis panjang supaya noner letih membaca.
Hakikatnya, UMNO hari ini bukan lagi UMNO tahun 1980-an.
Ramai ahli UMNO kini mempunyai latar belakang pengajian agama yang setanding dengan ahli PAS, malah ada yang lebih mendalam ilmunya daripada sebahagian ahli PAS sendiri.
UMNO juga tidak lagi mengangkat slogan “politik suku, agama suku”.
Oleh itu, Amanat yang lahir dalam konteks tahun 1980-an sudah tidak lagi relevan untuk dijadikan alasan PAS terus bermusuhan dengan UMNO.
Pertelagahan antara PAS dan UMNO hanyalah sebahagian daripada lumrah persaingan politik dan pilihan raya.
Apabila kedua-dua pihak menyedari bahawa perpecahan umat telah memberi ruang kepada pihak lain mencatur kuasa, maka menjadi keutamaan untuk mereka kembali duduk semeja, meredakan perselisihan dan memperbaiki hubungan.
Dalam keadaan semasa, pengalaman pemimpin UMNO dalam mentadbir negara jauh lebih luas kerana mereka telah memegang tampuk pemerintahan selama puluhan tahun.
PAS juga mampu mentadbir dengan baik jika diberi peluang secara bersendirian, namun untuk mencapai tahap kecekapan yang sama, PAS memerlukan masa bagi mengumpulkan pengalaman.
Sedangkan cabaran nasional dan global bergerak begitu pantas sehingga negara memerlukan pentadbiran yang cekap, bukannya masih berada pada peringkat belajar.
Oleh itu, kerjasama dengan UMNO dilihat sebagai satu percaturan yang baik agar pengalaman dan kecekapan pentadbiran dapat digabungkan dengan agenda reformasi dan islah yang diperjuangkan oleh PAS.
Tambahan pula, tokoh-tokoh UMNO seperti Asyraf Wajdi, Dr. Zambry Abdul Kadir dan Tok Mat Hassan tidak mempunyai masalah dengan banyak perkara yang ingin dibawa oleh PAS.
PAS menyedari bahawa walaupun Perlembagaan Persekutuan lahir dalam kerangka yang dipengaruhi sistem sekular dan sejarah penjajahan, ia masih menyediakan ruang untuk dakwah Islam terus berkembang selagi pemerintahan negara diterajui oleh umat Melayu Islam.
Sebaliknya, jika pemerintahan dikuasai oleh pihak yang tidak berkongsi paksi sejarah dan aspirasi umat Islam di negara ini, mereka mungkin mentafsirkan perlembagaan dengan cara yang lebih memusuhi perkembangan dakwah Islam.
Walaupun ada yang melabelkan perlembagaan sebagai perlembagaan kafir, hakikatnya ia ialah satu set undang-undang yang tertakluk kepada tafsiran.
Tafsiran itu boleh memberi manfaat kepada umat Islam atau sebaliknya.
PAS memahami bahawa pihak lawan percaya mereka mampu menggunakan tafsiran perlembagaan untuk menguasai keadaan.
Oleh itu, jika PAS belum mampu meminda perlembagaan, maka keutamaan ialah menguasai pemerintahan supaya tafsiran terhadap perlembagaan lebih menguntungkan umat.
Hanya mereka yang naif dan jumud akan terus mengulang propaganda lama berkaitan Amanat tersebut.
Tulisan ini juga wajar dibaca oleh rakan-rakan dalam BERSATU.
Dalam berpolitik, kita tidak boleh hanya melihat ranting, dahan atau daun pada sebatang pokok.
Kita perlu melihat keseluruhan hutan.
Tidak ada gunanya menjaga sebatang pokok sehingga tumbuh subur dan menjulang tinggi, sedangkan seluruh hutan sedang terbakar.
Politik PAS bukan sekadar melawan UMNO, PH atau DAP.
Politik PAS ialah mengangkat Islam sebagai deen yang menjadi asas pentadbiran negara.
Ya, itulah politik PAS, bukan politik individu dalam PAS.
Oleh: Tanaka Mustafa
