Kebenaran Dan Keadilan Yang Memesongkan Akidah Dan Hukum

Kebenaran Dan Keadilan Yang Memesongkan Akidah Dan Hukum

Islam adalah agama yang diredai Allah.

Islam itu membawa manusia ke arah suatu cara atau panduan hidup lengkap untuk mengatur kehidupan manusia seisi alam.

Dengan adanya kesempurnaan dan kesyumulan yang menghiasi Islam, penambahan atau pengurangan dalam ajaran Islam yang hanya mengikut akal atau pandangan sendiri tanpa ijtihad para ulamak sebagai pewaris Nabi adalah suatu perkara yang merosakkan akidah, serta penyelewengan hukum serta menderhakai Allah dan Nabi SAW.

Firman Allah:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.”

(Surah Ali-Imran, ayat 85)

Firman ini tidak hanya bermaksud menjadikan agama lain dari Islam sebagai anutan, malah memilih atau mengikut akal pemikiran sendiri yang merasakan ianya lebih baik dari apa yang telah ditentukan Allah dan Rasul junjungan.

Disebabkan hanya mengikut akal dan pemikiran sendiri yang kononnya membawa pembaharuan dalam Islam tanpa ijtihad para Ulamaklah terjadinya perpecahan Umat Islam Malaysia seperti yang dapat dilihat begitu ketara sekali sekarang ini.

Perkara ini dilakukan oleh sebahagian besar pemimpin-pemimpin politik yang mengaku beragama Islam yang berpendapat dengan mematuhi Sunnah dan Kitabullah sepenuhnyalah membuatkan Umat Islam Malaysia menjadi mundur dan hingga menjadikan Umat Islam tidak setanding dengan kaum-kaum bukan Islam disegala segi.

Dengan itu mereka bertindak memerangi pemikiran Umat Islam yang masih teguh berpandukan Sunnah dan Kitabullah serta menolak pemikiran mereka yang memesongkan.

Pemimpin-pemimpin politik yang dimaksudkan itu, berusaha terus cuba mempengaruhi semua umat Islam adalah kerana merasakan usaha mereka untuk mendapatkan sokongan penuh dari Umat Islam untuk mereka menjadi pemimpin negara akan tergugat kiranya mereka kurang mendapat sokongan dari Umat Islam yg majoritinya masih memihak kepada pemimpin politik yang berjuang ke arah menegakkan keadilan dan kebenaran serta membawa kemakmuran berpandukan Sunnah dan Kitabullah.

Usaha merosakkan pemikiran Umat Islam Malaysia agar tidak berpegang teguh dengan Sunnah dan Kitabullah ini bukanlah hanya dilakukan oleh sebahagian pemimpin politik yang mengaku Islam sahaja, bahkan dari golongan intelek yang mengaku Islam yang berjuang ke arah memperjuangkan kebebasan serta hak asasi manusia.

Golongan ini mempunyai gabungan dan kerjasama yang kukuh dengan pemimpin Politik yang dimaksudkan untuk merosakkan pemikiran Umat Islam demi mencapai matlamat mereka.

Disudut lain pula pemikiran Umat Islam Malaysia turut terancam pemikiran mereka dari pengaruh golongan yang membawa perjalanan Islam kearah syirik dan khurafat melalui amalan dan tindakkan.

Mereka ini juga hanya berpandukan akal semata mata yang hidup berkepercayaan Islam membolehkan meletakkan kuasa makhluk mempunyai kuasa seperti kuasa Allah.

Semua Umat Islam perlu tahu bahawa antara punca kesesatan dan kebinasaan sesuatu kaum atau bangsa adalah kerana menokok tambah atau mengubah ajaran agama yang diutuskan Allah kepada umat manusia.

Sebagaimana Allah telah merakamkan kisah kesesatan kaum Yahudi dalam firman-Nya yang bermaksud:

مِنَ الَّذِينَ هَادُوا يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَنْ مَوَاضِعِهِ وَيَقُولُونَ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَاسْمَعْ غَيْرَ مُسْمَعٍ وَرَاعِنَا لَيًّا بِأَلْسِنَتِهِمْ وَطَعْنًا فِي الدِّينِ ۚ وَلَوْ أَنَّهُمْ قَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَاسْمَعْ وَانْظُرْنَا لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ وَأَقْوَمَ وَلَٰكِنْ لَعَنَهُمُ اللَّهُ بِكُفْرِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُونَ إِلَّا قَلِيلًا

Di antara orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): Kami mendengar, (sedang mereka berkata dalam hati): Kami tidak akan menurut. (Mereka juga berkata): Tolonglah dengar, tuan tidak diper-dengarkan sesuatu yang buruk, serta (mereka mengatakan): Berilah layanan kepada kami; (Tujuan kata-kata mereka itu) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam. Dan jika mereka berkata: Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit saja (di antara mereka).”

(Surah al-Nisa’, ayat 46).

Maksud ayat itu menjelaskan laknat Allah menimpa kaum Yahudi akibat perbuatan mereka menambah dan mengubah ajaran agama yang diutuskan Allah kepada mereka melalui pesuruh-Nya.

Natijahnya, mereka berada dalam kesesatan yang nyata dan pastinya jauh daripada rahmat Allah.

Tafsir Pimpinan Al-Rahman ada dijelaskan bahawa orang yang sesat itu adalah orang yang tidak berpengetahuan agama betul kerana dipelajarinya dengan tidak menurut peraturan dan jalan sebenarnya.

Jadi, untuk mengenal pasti sama ada sesuatu ajaran dan amalan dilakukan itu selari atau bercanggah dengan Islam adalah dengan merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, Qias dan Ijmak Ulamak itulah sumber ajaran Islam sebenarnya.

Apabila umat Islam tidak berpegang teguh dengan sumber berkenaan, maka tidak hairanlah ajaran sesat itu mula mengakari dan menjalari dalam setiap sendi masyarakat Islam kini.

Meninjau kepada senario umat Islam Malaysia kini, seluruh Umat Islam perlu sedar disebabkan dengan adanya banyak ajaran sesat seperti berpegang kepada pendapat akal fikiran sendirilah yang mengujudkan khurafat serta bidaah yang telah melanda dalam kehidupan sebahagian umat Islam Malaysia.

Amalan seumpama berpandu pada akal semata serta memuja dan memohon sesuatu selain daripada Allah seperti keramat di kuburan, percaya kepada batu keramat yang boleh membawa manfaat dan mudarat, menilik nasib, amalan kebal, percaya pada semangat dan sebagainya begitu menebal dalam adat dan budaya hidup umat Islam Malaysia perlu ditolak dan dihapuskan.

Semua umat Islam perlu faham amalan seumpama itu boleh merosakkan iman seseorang dan membawa kepada kesesatan serta kekufuran.

Perlu juga faham keadaan itu boleh berlaku apabila kejahilan terhadap ajaran Islam sebenarnya kesesatan akan menunjangi ruang lingkup kehidupan umat Islam.

Golongan yang dimaksudkan sebenarnya jahil mengenai konsep iman dan Islam yang menuntut ketundukan serta kepatuhan tulus semata-mata kepada Allah.

Begitu juga mereka tidak arif mengenai batas iman dan Islam yang menghampirkan mereka ke sempadan kesesatan hingga tidak menyedari bahawa amalan khurafat dan ajaran sesat itu bertentangan dengan Islam.

Sebenarnya, Islam diutuskan Allah melalui pesuruh-Nya, Rasulullah SAW membawa mesej rahmah untuk sekalian alam.

Selain itu, ajaran Islam cukup mudah dan senang difahami serta seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Lebih istimewa, Islam sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri.

Maka, dengan keistimewaan dan keunikan Islam, tidak wajar ajaran Islam yang sempurna lagi lengkap ini diselewengkan dan disalahgunakan pihak tidak bertanggung jawab.

Sebagaimana Allah telah menegaskan dalam al-Quran akan nasib orang yang beriman kepada-Nya dan akibat buruk orang yang kufur kepada-Nya melalui firman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

(Surah al-A’raf, ayat 96)

Islam