Kembali Kepada Islam: Jangan Jadikan Mereka Lembu

Kembali Kepada Islam: Jangan Jadikan Mereka Lembu

Pagi ini saya membaca puisi-puisi tentang kedunguan fikiran kebanyakan orang Islam kerana menjadi anak-anak jajahan, terjerat dalam fikiran sekular dan hanyut dilambung ombak dunia.

Puisi-puisi karya Mohd Zaki Hashim ini ditulis pada 1980 sebagai reaksi terhadap persekitaran umat Islam, saat angin kebangkitan Islam sedang bertiup kencang.40 tahun dahulu, beliau mengkritik fikiran anak-anak muda Islam yang tidak yakin dengan Islam sebagai ad-Diin dan masih memandang Islam dari jendela sekular.

Mereka memusuhi agama mereka sendiri, yang sebenarnya mereka sendiri tidak faham.

Ternyata belenggu ‘jahil’ agama memberikan impak besar terhadap alur berfikir mereka.

Mohd Zaki Hashim menyimpulkan seluruh antoligi puisinya dengan judul ‘Kalau Otak Mereka Dijajah.’

Hari ini, sesudah 40 tahun berlalu, kita melihat dua ufuk yang bertentangan.

Pertama, di kalangan para pendudukung sekular, mereka merasai kekosongan jiwa dari perjuangan mereka.

Lalu mereka mendekati Islam, dan hari ini sudah banyak di kalangan mereka yang bergerak mencari nilai agama.

Kedua, ironinya kerana para daie, anak-anak harakah yang sepatut memberikan mereka penawar aqidah, berlainan pula rentaknya.

Mereka meninggalkan asas-asas dakwah menuju ke ruang yang kosong, ciptaan musuh-musuh.

Mereka tidak mengajak dengan memberi faham dan membina jati diri dengan aqidah.

Tetapi mereka menari di media sosial dengan tawaran hiburan dan keseronokan atas nama uslub dakwah!

Apakah pendekatan ini akan melahirkan lebih ramai pendukung-pendukung tegar Islam yang berdiri kerana ilmu dan kefahaman.

Atau ia adalah proses untuk ‘menglembukan’ mereka dengan ‘agama hiburan?’

Awas saudara-saudara!

Jangan sampai generasi baru keliru agama kerana kita menyadurkan agama dengan hiburan.

Akhirnya mereka memahami agama adalah keseronokan, bukannya keabdian.

Mereka melihat agama secara sempit dari sudut hiburan, bukan lagi tanggungjawab kekhalifahan.

Mereka beragama, tetapi kekal dengan jiwa yang kekosongan!

Perhatikan hujung jatuh yang diungkapkan Mohd Zaki Hashim…

Lembu itulah ad-Diin mereka

Lembu itulah agama mereka

Macam lembu itulah otak mereka!

Mohd Fadli Ghani

Islam