Semalam terbukti sekali lagi apa yang telah janjikan kepada rakyat oleh Pakatan Harapan dalam manifestonya pada PRU lalu adalah palsu belaka.
Saya pasti semakin lama Kerajaan Perikatan Nasional memerintah negara, semakin banyak lagi akan terdedah janji palsu Pakatan Harapan kepada rakyat.
Gempar apabila di dalam Dewan Rakyat semalam, Menteri Kewangan YBM Tengku Zafrul telah mendedahkan bahawa sepanjang Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan dan Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, sebanyak 101 projek rundingan terus telah anugerahkan oleh Kementerian Kewangan berjumlah RM6.61 billion.
Lebih memeranjatkan lagi apabila didedahkan oleh Datuk Seri Azmin Ali bahawa sepanjang Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan dahulu, Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan pada masa itu tidak pernah membentangkan projek rundingan terus tersebut dalam mesyuarat kabinet apatah lagi memperolehi kelulusan kabinet.
Jika benar seperti apa yang didedahkan, ternyata Lim Guan Eng telah melakukan pembohongan di Dewan Rakyat malah mengelirukan dewan yang mulia tersebut.
Maka adalah amat wajar perkara tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Bersuara malah didedahkan serta disiasat dengan lebih terperinci untuk tindakan selanjutnya jika benar terdapat salah laku.
Ini ternyata amat bertentangan sekali dengan apa yang telah diperjuangkan oleh Pakatan Harapan terutamanya Lim Guan Eng ketika menjadi pembangkang dahulu sebelum PRU14 dimana Pakatan Harapan menjelajah seluruh negara menjelaskan bahawa tiada lagi projek rundingan terus akan diluluskan dan semua projek akan melalui proses tender terbuka jika Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutan.
Malah ia juga bertentangan dengan polisi CAT (Competency, Accountability, Transparency) yang diperjuangkan oleh DAP terutamanya Lim Guan Eng.
Ia sebenarnya memberikan gambaran jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa apa yang diperjuangkan oleh DAP selama ini adalah palsu belaka.
Namun begitu jangan kita lupa kerana bukan satu sahaja janji Pakatan Harapan adalah palsu, janji penghapusan tol, PTPTN, kenaikan gaji minimum, penurunan harga minyak dan banyak lagi janji yang tidak ditunaikan.
Ternyata kita rakyat Malaysia bernasib baik kerana hayat Kerajaan Pakatan Harapan hanya bertahan 22 bulan sahaja.
Janji tertipu lagi dengan Pakatan Harapan, ayuh bersama Perikatan Nasional.
Sesungguhnya Perikatan Nasional adalah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia.
Muhammad Khalil Abdul Hadi