Basuh Mata Ketika Wuduk

Basuh Mata Ketika Wuduk

SOALAN:

Adakah ketika mengambil wuduk bahagian muka kita wajib membasuh biji mata sebab ada dengar orang kata wajib basuh biji mata?

JAWAPAN:

Ketika mengambil wuduk masa membasuh muka tidak diwajibkan membasuh biji mata bahkan makruh hukumnya membasuh biji mata samada ketika wuduk atau mandi.

Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansori:

والمراد ظاهر ما ذكر إذ لا يجب غسل داخل العين ولا يسن

Artinya: “Yang dikehendaki ialah bahagian zahir apa yang telah disebut kerana tidak wajib basuh bahagian dalam mata dan tidak juga disunatkannya.”
(Kitab Fathul Wahab)

Bahkan ulamak berkata perbuatan membasuh biji mata itu adalah makruh.

Tersebut pada kitab Fathul Mu’in:

ولا يسن غسل باطن العين بل قال بعضهم: يكره للضرر وإنما يغسل إذا تنجس لغلظ أمر النجاسة

Artinya: “Dan tidak disunatkan basuh bahagian dalam mata bahkan berkata sebahagian ulamak dimakruhkan kerana memudaratkan. Hanya dibasuh ketika ternajis ia kerana kepentingan urusan membersih najis.”

Kesimpulannya tidak disuruh membasuh bahagian dalam mata ketika bersuci samada wajib atau sunat bahkan membasuh biji mata itu dilarang syarak kerana ia memudaratkan penglihatan.

Yang wajib dibasuh ialah bahagian kelopak mata dan bahagian hujung mata sebelah luar dan sebelah dalam.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab