SOALAN:
Saya ingin mahukan jawapan adakah orang yang mati tapi tidak ada kubur seperti dimakan binatang dalam hutan atau jatuh dalam laut dan hilang tidak ditemui adakah akan disoal oleh malaikat seperti mayat yang ada kubur?
JAWAPAN:
Semua orang yang telah mati akan disoal oleh malaikat samada ada baginya kubur atau tiada baginya kubur seperti yang dimakan binatang buas di hutan atau dimakan ikan di dalam laut atau seumpamanya kerana setiap yang mati akan berpindah ke alam barzakh.
Ada pun kubur yang dapat dilihat oleh mata itu hanyalah alam dunia manakala alam barzakh adalah alam yang ghaib yakni tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia.
Seperti mana Allah yang berkuasa menghidupkan semua yang telah mati pada hari kiamat maka terlebih mudah bagi Allah mengumpulkan semua yang mati di alam barzakh samada yang di tanam di kubur atau tiada.
Berkata Imam Nawawi:
لا يمنع من سؤال الملكين وعذاب القبر : كون الميت قد تفرقت أجزاؤه ، أو أكلته السباع أو حيتان البحر ، أو نحو ذلك، فكما أن الله تعالى يعيده للحشر، وهو سبحانه وتعالى قادر على ذلك ، فكذا يعيد الحياة إلى جزءٍ منه ، أو أجزاءٍ ، وإن أكلته السباع والحيتان
Artinya: “Tiada halangan dari soal dua orang malaikat dan azab kubur sekali pun keadaan mayat itu bercerai berai juzuknya atau telah memakannya oleh binatang buas atau ikan di laut atau umpama yang demikian itu. Maka seperti mana Allah berkuasa mengembalikan mereka di padang mahsyar maka Allah berkuasa pula atas yang demikian itu maka seperti itu juga Allah akan mengembalikan kehidupan kepada satu juzuk daripadanya atau segala juzuknya sekali pun telah dimakan oleh binatang buas atau ikan.”
(Kitab Syarah Muslim)
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus