Tidak Perlu Imbas Kod MySejahtera Di Stesen Minyak

Tidak Perlu Imbas Kod MySejahtera Di Stesen Minyak

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengesahkan tidak perlu imbas kod MySejahtera di stesen minyak jika tidak memasuki kedai stesen.

Penerangan itu susulan laporan bercanggah tentang keperluan mengimbas kod QR MySejahtera walaupun pelanggan membuat pembayaran di pam minyak atau tingkap sisi kaunter.

“Bagi individu mengisi minyak di stesen dan bayar menggunakan transaksi debit, kad kredit atau dalam talian tidak jumpa sesiapa.

“Hanya secara bersendirian tidak masuk kedai, tidak bertemu pekerja stesen minyak, oleh kerana tak berlaku kontak bersemuka mereka tidak perlu mendaftar aplikasi MySejahtera atau secara manual,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, individu yang membuat transaksi atau membayar melalui tingkap sisi kaunter juga tidak perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual.

Katanya, selain itu pelanggan yang hadir untuk mengisi angin kenderaan tanpa melakukan perkhidmatan bersemuka tidak perlu menggunakan aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, Ismail berkata individu yang melakukan pembayaran atau transaksi dalam kedai di stesen minyak sama ada membuat pembayaran petrol, pembelian, mengeluarkan wang di mesin ATM perlu mendaftar melalui aplikasi My Sejahtera atau manual.

“Individu yang menggunakan surau dan tandas juga perlu mendaftar melalui aplikasi My Sejahtera atau manual,” katanya.

Katanya, bagi pelanggan yang menghantar kenderaan untuk dibaiki di stesen minyak perlu mendaftar termasuk mereka yang menggunakan perkhimatan cuci kenderaan manual.

“Manakala bagi individu yang menggunakan perkhidmatan cuci kereta secara automatik, tidak perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual kecuali jika membuat pembayaran dalam kedai stesen minyak,” katanya.

Dalam Negeri