SOALAN:
Saya ada dengar dalam satu ceramah agama seorang penceramah berkata ramai peniaga yang berdosa kerana mereka berniaga tanpa belajar dulu hukum berniaga dalam Islam.
Adakah benar jika kita hendak berniaga kita wajib belajar hukum-hukum syarak tentang berniaga?
JAWAPAN:
Tidak harus seorang yang hendak melakukan suatu kerja seperti berniaga misalnya melainkan wajib dia mengetahui terlebih dulu segala hukum yang bersangkutan dengan berniaga seperti sah dan batal serta syarat-syaratnya dengan ijmak ulamak.
Ini adalah kerana apabila tidak mengetahui hukumnya maka akan terjatuh kepada pelanggaran hukum seperti tidak sah jual beli dan jual beli barangan yang haram dan aqad yang rosak dan seumpamanya.
Maka siapa yang berniaga dalam keadaan jahil hukum-hukumnya di sisi syarak dia telah melakukan satu maksiat.
Telah menyebut oleh Majlis Fatwa Baitul Maqdis:
لا يجوز للمكلف أن يقدم على فعل حتى يعلم حكم الله فيه ¡ فمن باع وجب عليه أن يتعلم ما شرعه الله في البيع ¡ وكذلك الصلاة والطهارة وجميع الأقوال والأفعال وقد حكى : الشافعي ¡ والغزالي الإجماع على ذلك . – ولذلك كان الجاهل عاصياً بترك العلم الذي هو فرض عين . فمتى بلغ الإنسان عاقلاً قادراً على أن يعرف الأحكام الشرعية بنفسه أو بسؤال أهل العلم لم يقبل منه الاعتذار بالجهل .
Artinya: “Tidak harus bagi orang yang aqil baligh melakukan satu pekerjaan kecuali setelah dia mengetahui hukum Allah padanya.
“Maka barang siapa yang berniaga nescaya wajib atasnya belajar akan apa yang telah disyariatkan oleh Allah pada bab jual beli.
“Dan seperti itu juga ibadah solat dan bersuci dan sekelian perkataan dan perbuatan.
“Dan sungguhnya telah dihikayatkan oleh Imam Ghazali dan Imam Syafie akan ijmak atas yang demikian itu.
“Dan dari kerana itulah adalah orang yang jahil itu derhaka ia sebab meninggalkan pengetahuan yang ia adalah fardu ain.
“Maka apabila seseorang itu telah baligh dan beraqal dan berkuasa nescaya wajib dia mempelajari hukum-hukum syarak samada dia sendiri pergi belajar atau bertanyakan orang yang alim dan sama sekali tidak diterima daripadanya alasan tidak tahu.”
(Majlis Fatwa Palestin)
KESIMPULAN
Siapa yang menjalankan perniagaan tetapi tidak belajar hukum agama berkait jual beli maka dia telah berdosa kerana telah melakukan muamalat dalam keadaan jahil tiada tahu halal dan haram dan sah serta batal.
Wajib semua peniaga yang belum mengetahui hukum hakam jual beli dalam Islam belajar atau bertanyakan ulamak supaya sah jual belinya dengan yakin dan dapat ia memelihara dari terlibat dalam urusan yang haram atau jual beli yang rosak.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus