Khutbah Jumaat: Kegagalan Usaha Memadamkan Cahaya Allah

Khutbah Jumaat: Kegagalan Usaha Memadamkan Cahaya Allah

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ وَحۡدَهُ صَدَقَ وَعۡدَهُ وَنَصَرَ عَبۡدَهُ وَأَعَزَّ جُنۡدَهُ وَهَزَمَ الۡأَحۡزَابَ وَحۡدَهُ. أَشۡهَدُ أَن لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحۡدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُۥ، لَهُ الۡمُلۡكُ وَلَهُ الۡحَمۡدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيۡءٍ قَدِيرٌ. وَأَشۡهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبۡدُهُۥ وَرَسُولُهُۥ، الۡبَدۡرُ الدُّجَىٰ وَالسِّرَاجُ المُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمۡ وَبَارِكۡ عَلَىٰ حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدۡوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحۡمَةِ الۡمُهۡدَاةِ وَالنِّعۡمَةِ الۡمُسۡدَاةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ وَمَنۡ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُۥ وَوَالَاهُۥ.أَمَّا بَعۡدُ:

فَيَا عِبَادَ ٱللَّهِ، ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَى. فَقَدۡ فَازَ ٱلۡمُتَّقُونَ

Wahai hamba-hamba Allah, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah.

Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Saudaraku Muslimin yang dirahmati Allah, marilah kita menyaksikan kebenaran Allah SWT yang menjanjikan kita di dalam al-Quranul Karim.

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

(As-Saff: 8)

Usaha memadamkan cahaya Allah ini telah dilakukan sejak zaman Rasulullah ﷺ, apabila baginda memulakan dakwahnya di Makkahal-Mukaramah dengan berbagai-bagai cara; sama ada menggunakan cara yang halus sehalus-halusnya atau menggunakan kekerasan sekeras-kerasnya, menggunakan harta benda, pangkat dan kemewahan kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabatnya.

Namun mereka gagal dan tidak berjaya dengan menggunakan kekerasan sehingga membunuh beberapa orang sahabat ketika di Makkah.

Mereka bukan sahaja menekan dan menindas, juga merancang untuk membunuh beramai-ramai akan diri nabi ﷺ.

Tetapi diselamatkan oleh Allah dengan berlakunya hijrah yang memberi kemenangan kepada Islam.

Mereka cuba untuk memperkecilkan al-Quranul Karim menggunakan ahli-ahli bahasa Arab, penyair-penyair dan ahli pidatomereka; mereka tidak boleh melawan al-Quranul Karim sehingga hari ini, dijamin pemeliharaan oleh Allah SWT.

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya.”

(al-Hijr: 9)

Al-Quran tidak boleh diselewengkan, tidak boleh dipinda dan diubah seperti kitab-kitab yang lain.

Segala usaha untuk menyelewengkan al-Quran didedahkan oleh Allah SWT.

Mereka menggunakan ulama-ulama ahli kitab untuk berdepan dan berhujah dengan rasulullah ﷺ.

Mereka bukan sahaja kalah, bahkan beberapa orang ulama itu telah masuk Islam; menerima benarnya agama Islam ini.

Mereka merancang peperangan Ahzab; mengumpulkan seluruh kumpulan bukan Islam daripada kalangan qabilah-qabilah Arab musyrikin dengan sokongan golongan ahli kitab.

Mereka mengepung Madinatul Munawarahdengan bala tentera yang besar berlipat kali ganda.

Lalu berlakulah peperangan Ahzab atau peperangan Khandak.

Namun Islam dimenangkan oleh Allah SWT.

Agama Islam berkembang di seluruh pelusuk dunia.

Islam berjaya menjatuhkan dua kuasa besar Parsi dan Rom; sehingga menjadi kuasa besar yang tunggal memerintah dunia dalam beberapa ratus tahun.

Di masa muktakhir, mereka melancarkan perang Salib ke atas umat Islam sehingga mereka berjaya menjatuhkan khalifah Islamiyyah.

Umat Islam ditangkap dan ditawan serta diabdikan.

Tanah air umat Islam dibahagikan sesama kuasa-kuasa penjajahan.

Mereka dihentam habis-habisan.

Namun mereka tidak berjaya menyekat perkembangan agama Islam.

Islam berkembangdi seluruh pelusuk dunia, bukan sahaja berjaya menarik orang-orang bukan Islam yang masih ada di dalam negeri Islam, bahkan juga berjaya menarik orang-orang bukan Islam Eropah, di Amerika dan lain-lain, ramai yang masuk Islam.

Segala rancangan mereka digagalkan oleh Allah SWT.

Mereka menyebarkan dakyah Islamophobia, suatu dakyah untuk menakut-nakutkan orang terhadap Islam supaya orang melihat Islam ini ganasdan zalim.

Terdapat kalangan cerdik pandai yang suka mengkaji dan membaca.

Apabila mereka mengkaji dan membaca al-Quran dan kitab-kitab Islam yang diterjemah ke dalam pelbagai bahasa, menyebabkan ramai ilmuan bukan Islam yang memeluk Islam.

Apa yang menarik, sebuah tanahair umat Islam di Asia Tengah yang bernama Azerbaijan yang Islam di zaman khalifah Umar bin al-Khattab RA, ditakluk oleh komunis pada tahun 1920-an.

Mereka merampas satu wilayah Azerbaijan, Nagorno-Karabakh.

Diletakan berjuta-juta orang-orang Kristian di dalam wilayah itu.

Masjid-masjid dirampas dan dijadikan kandang babi.

Sekolah-sekolah agama dijadikan pusat hiburan.

Mereka cuba untuk menghapuskan Islam di Asia Tengah.

Mereka membunuh ulama-ulama dengan kejam.

Beberapa hari yang lalu kita dapati umat Islam telah berjaya mencapai kemenangan di Azerbaijan, membebaskan wilayah yang ditakluk selama serratus tahun.

Ini menyatakan bahawa janji Allah yang kit abaca di dalam al-Quran bahawa cahaya Islam tidak boleh dipadamkan oleh musuh-musuhnya.

Semuanya ini hendaklah menyakinkan kita lagi kepada Islam serta menambah lagi keimanan kita kepada Allah SWT dan Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad ﷺ.

Tanggungjawab kita ialah meneruskan perjalanan hidup ini untuk mengisi Islam di dalam diri kita, dalam keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

Hanya Islam sahaja yang boleh menyelamatkan di dunia dan di akhirat.

Mujurlah Allah tidak memadamkan cahaya Islam itu dan kita dapat bersuluh dengan Islam sehingga hari ini.

وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

(Al-Hajj: 40)

بَارَكَ ٱللَّهُ لِي وَلَكُمۡ بِٱلۡكِتَابِ وَٱلسُّنَةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمۡ بِٱلۡآيَاتِ وَٱلۡحِكۡمَةِ. أَقُولُ قَوۡلِى هَٰذَا وَاَسۡتَغۡفِرُ ٱللَّهَ ٱلۡعَظِيمَ لِي وَلَكُمۡ وَلِسَائِرِ ٱلۡمُسۡلِمِينَ وَٱلۡمُسۡلِمَاتِ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Khutbah