Melihat kepada moto Jabatan Amal Malaysia iaitu ‘Beramal Kerana Allah’, pasti akan ramai yang memahaminya dengan mudah.
Ia bukan sekadar moto biasa, ia adalah manifestasi kepada niat semua ahli JAM.
Dan jelas ia dibuktikan dengan perbuatan mereka semenjak bertahun dahulu, berterusan sehingga kini.
Suka saya mengajak semua untuk mengimbau kembali perjalanan JAM yang dahulunya dikenali sebagai Unit Amal, malah sehingga sekarang pun, nama Unit Amal masih menjadi pilihan untuk disebut orang.
Ia bermula kira-kira 30 tahun lalu menerusi kertas cadangan Cikgu Husin Ismail yang sekarang ini menjadi Pengerusi Tetap Muktamar PAS Pusat.
Setelah itu, Unit Amal bertatih dengan serba kekurangan, tercungap-cungap berenang di lautan kebajikan yang mencabar.
Kalau mengikut akal, tanpa bantuan materi, hampir mustahil kebajikan dapat dilaksanakan.
Tetapi satu modal yang kekal dan telah menyebabkan semua misi yang hampir mustahil itu, berjaya dilakukan dengan semampu yang boleh.
Ia adalah keihklasan hati ahli Unit Amal.
Mereka bijak menggunakan sumber yang ada bagi membantu.
Kebajikan, bukan hanya dengan wang ringgit, ia banyak cabangnya.
Tentera Merah, nama gelaran yang diberi, kemudiannya mengorak langkah mereka dengan lebih jauh.
Sering juga dinista lawan, sehinggakan tidak kurang juga yang menerima bantuan, tetapi membenci PAS, terkejut dengan bantuan yang diberi.
Siapa sangka jemaah yang dibenci itu datang dengan hati yang suci bersih bagi membantu mereka, tanpa prejudis.
Berakhirlah kebencian, timbullah sayang.
Setelah fungsi Unit Amal bertambah ia memerlukan organisasi yang lebih besar, maka ia ditukar menjadi Jabatan Amal Malaysia.
Ia semakin dikenali dan menjadi sebutan.
Bayangkan ketika menjadi pembangkang lagi, pasukan keselamatan memberikan kepercayaan kepada JAM bagi membantu kerja-kerja mereka, terutama ketika mengadakan program-program besar yang melibatkan jemaah.
JAM mempunyai Bahagian-Bahagian yang didalamnya ada Kor yang dipecahkan kepada beberapa kemahiran.
Contohnya Bahagian Operasi mempunyai Kor Medik, Kor Penyelamat, Kor Jurutera, Kor Semboyan, Kor Trafik.
Dan Bahagian-Bahagian yang lain seperti Latihan, Kebajikan, Pelapis dan Staf, turut mempunyai Kor masing-masing.
Bermakna, ia adalah satu organisasi tersusun, bukan tangkap muat.
Telah banyak tempat yang mereka pergi, telah banyak bantuan yang mereka hulurkan, wang ringgit yang didermakan, perit jerih yang dirasai, sehinggalah kini, ramai yang bangga apabila mengenakan uniform JAM di tubuh mereka.
Mereka semua ini terdiri daripada insan yang bermacam latar belakang.
Ada yang biasa, ada yang profesional, ada yang miskin, ada yang kaya, semuanya dengan kemahiran masing-masing.
Paling memberikan kepuasan dalam berkhidmat, mereka meninggalkan pangkat masing-masing, bersama menyingsing lengan, bergelumang selut, mengharungi lumpur, bermandi keringat untuk menyiapkan kerja-kerja kebajikan ini.
Ya semua itu memerlukan keihklasan hati, bukan pangkat atau nama.
Semua kerja yang dilaksanakan, tidak diambil upah, malah terkadang, duit poket mereka pula yang terbang.
Adakah anda telah melihat foto salah seorang ahli JAM istimewa yang kudung kakinya turut memberi khidmat?

Inilah dia bukti kepuasan ahli berkhidmat dalam JAM, melampaui kebiasaan.
Hanya yang tahu dan pernah merasakannya sahaja dapat menyelami rasa kesungguhan ini dalam diri mereka.
JAM juga dimasukkan dalam kokorikulum sekolah-sekolah rendah kelolaan PAS, bagi menanam kepada pelajar, perasaan sentiasa mahu berbuat kebajikan.
Terbaharu antara program yang terbesar yang dijalankan oleh JAM ialah Amal Mega Blood Donation 2021, yang berjaya mengumpul sebanyak 5135 penderma darah.

Menurut maklumat dari Pusat Darah Negara, satu beg darah insyaAllah akan dapat menyelamatkan sekurang-kurangnya satu nyawa.
Program ini bagi membantu rakyat Malaysia yang memerlukan, tidak mengira latar belakang.
Dan itulah juga yang sering JAM lakukan, membantu tanpa bertanya siapa.
Anda layak, anda akan dapat khidmat percuma mereka.
Program ini mendapat pengiktirafan Pusat darah Negara dan turut disokong oleh PN dan MN.
JAM sungguh istimewa.
Tidak sedikit airmata yang tumpah, terharu melihat khidmat ikhlas mereka kepada rakyat.
Mereka tidak dikenali wajahnya, tiada ikon, hanya uniform merah mereka sahaja tanda kehadiran mereka.
Pernah orang kuat JAM yang ketika rumah beliau terbakar, orang kampung kehairanan kenapa ramai pimpinan PAS datang membantu beliau.

Rupanya orang kampung tidak tahu beliau komandan JAM.
Begitulah hakikatnya ahli-ahli JAM.
Anda tak kenal JAM, maka tak cinta.
Sejujurnya ada rasa cemburu terhadap mereka dalam hati ini bagi hal kebajikan.
Kepada puluhan ribu ahli-ahli JAM di luar sana, ingatlah bahawa jawatan di dalam JAM ini tiada upahnya.
Ia semata-mata nama sahaja.
Oleh itu, jagalah keikhlasan hati anda, kerana kalau anda mulai merasa sombong, nanti hilanglah pahala, upah pun tiada, rugi kedua-duanya, dunia dan akhirat.
Beramal Kerana Allah.
Mohd Nasir Abdullah
20 Januari 2021