Hasrat Rempuh PAS Di Terengganu: Datuk Seri Ahmad Said Terbolah?

Hasrat Rempuh PAS Di Terengganu: Datuk Seri Ahmad Said Terbolah?

Mendengar ucapan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, dalam majlis “Amanat 500 Jam Pemuda UMNO Terengganu” pada 19 Mac 2021 terasa seolah-olah Dewan Undangan Negeri Terengganu sudah dibubarkan, ucapan ini pula adalah ucapan dalam tempoh kempen PRU 15 dan rakyat Negeri Terengganu hanya menunggu hari untuk membuang undi sahaja.

Kuat sekali beliau berkempen menyatakan keyakinan bahawa UMNO dan BN akan diberi kepercayaan oleh rakyat Negeri Terengganu dalam PRU 15 kerana UMNO dan BN sahaja yang tahu denyut nadi rakyat dan kehendak serta kemahuan mereka, bahawa UMNO dan BN akan bangunkan Negeri Terengganu sebaris dengan negeri-negeri yang lain selepas menang dalam PRU 15.

Paling tidak boleh tahan ialah ingatan beliau, yang diberikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan dan Pentadbiran) membawa gelaran Doktor sempena Majlis Konvokesyen Universiti College Bestari (UCB) kali ke-6 pada 12 Oktober 2019, kepada penonton berbunyi “Sama-samalah kita keluar mengundi dan jangan lupa undilah BN: Dari rakyat, untuk rakyat, demi rakyat”.

Perlu diingat bahawa Dewan Undangan Negeri Terengganu tidak mempunyai masalah dari segi majoriti kerusi kerana PAS memiliki majoriti yang selesa hasil dari kemenangannya di 22 kerusi berbanding kemenangan UMNO dan BN di hanya 10 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu dalam PRU 14 dulu, malah tiada kedengaran pun sebarang desakan supaya ia dibubarkan.

Oleh itu, sekalipun Parlimen dibubarkan lebih awal dari sela masa lima tahun yang ditetapkan, adalah amat tidak mungkin untuk Dewan Undangan Negeri Terengganu, mahupun Dewan-Dewan Undangan Negeri lain yang tidak mempunyai masalah dari segi majoriti kerusi, turut dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya lebih awal dilangsungkan bagi Dewan Undangan Negeri tersebut.

Dalam konteks inilah kenyataan mengenai betapa UMNO dan BN akan merebut kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu dari PAS, UMNO dan BN akan menang di Negeri Terengganu dalam PRU 15 serta UMNO dan BN akan bangunkan Negeri Terengganu sebaris dengan negeri-negeri yang lain selepas menang dalam PRU 15 adalah satu kenyataan pramatang yang tidak strategik.

Dalam bahasa mudahnya: Ia adalah satu kenyataan terbolah.

PETIKAN UCAPAN DATUK SERI AHMAD SAID YANG BERKENAAN

“Kita percaya bahawa UMNO sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, khususnya penduduk-penduduk di Negeri Terengganu kerana inilah rekod kita selama ini yang sentiasa membantu rakyat dari masa ke semasa.

Sebab itulah saya berseru kepada rakyat Negeri Terengganu supaya apabila tibanya pilihan raya nanti membuat pilihan yang tepat untuk mengembalikan pemerintahan Negeri Terengganu Darul Iman ke pangkuan BN kerana UMNO dan BN sahaja yang tahu denyut nadi rakyat dan kehendak serta kemahuan mereka yang mana UMNO sentiasa mendampinginya.

Justeru itu sekali lagi UMNO Terengganu menawarkan diri untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Terengganu selepas diberi kepercayaan insya Allah oleh rakyat Negeri Terengganu selepas pilihan raya yang ke-15 nanti.

Sama-samalah kita keluar mengundi dan jangan lupa undilah BN: Dari rakyat, untuk rakyat, demi rakyat.

Insya Allah Terengganu akan kita bangunkan sebaris dengan negeri-negeri yang lain.”

Kamarul Yusoff

Isu Semasa