Datuk Seri Zahid Tidak Akan Mampu Bertahan Sebagai Presiden UMNO?

Datuk Seri Zahid Tidak Akan Mampu Bertahan Sebagai Presiden UMNO?

Antara banyak Kumpulan WhatsApp, Kumpulan WhatsApp bernama Bicara Minda Nusantara kelolaan Dr Mustafa Ahmad adalah antara Kumpulan WhatsApp yang menjadi pilihan saya untuk mengikutinya kerana rata-rata ahlinya adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai ijazah PhD, termasuk ramai penganalisis politik dan pemimpin negara.

Salah satu isu politik panas yang menjadi bahan perbincangan dalam Kumpulan WhatsApp ini sehari dua kebelakangan ini adalah mengenai masa depan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dengan rata-rata ahli yang pemberi komentar mengenainya bersetuju beliau tidak akan mampu untuk bertahan lama sebagai Presiden UMNO.

Berikut disertakan pandangan dua ahli, pertama ialah dari penganalisis politik veteran, Kamarazaman Yaacob, dan kedua ialah dari penganalisis politik dari UTM, Dr Mazlan Ali.

PANDANGAN KAMARAZAMAN YAACOB

“Berdasarkan kedudukan anggota Majlis Kerja Tertinggi dan Ahli Parlimen bersamanya, disimpulkan pengaruh Datuk Seri Zahid sebagai lemah.

Difahamkan hanya 12 anggota Majlis Kerja Tertinggi dan 7 Ahli Parlimen sealiran dengannya.

Itu sudah cukup memberi gambaran tentang ‘kekuatan’ Datuk Seri Zahid.

Sekiranya Datuk Seri Zahid kekal menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi BN sehingga PRU15 maka semua anggota UMNO BN terpaksa menerima watikah daripada Datuk Seri Zahid untuk menjadi calon BN.

Bagaimanapun, anggota UMNO BN masih boleh menjadi calon sekiranya mereka memperolehi watikah daripada parti lain, sama ada daripada PAS, PN, dan lain-lain, maknanya bukan lagi calon BN.

Memandangkan ‘cengkaman’ Datuk Seri Zahid ke atas Majlis Kerja Tertinggi dan Ahli Parlimen sudah hilang, itu bermakna kedudukan Datuk Seri Zahid sebagai Presiden UMNO sudah berada di juring tebing, mungkin berakhir pada Perhimpunan Agung UMNO 27-28 Mac ini, saya percaya selewat-lewatnya pada Perhimpunan Agung UMNO pada Jun atau Julai 2021.”

PANDANGAN DR MAZLAN ALI

“Ambo tak fikir Datuk Seri Zahid boleh bertahan sebagai Presiden UMNO, bukan kerana pemilihan parti, tetapi kerana kes-kesnya di mahkamah.

Menjadi satu konvensyen yang semua orang tahu, bilamana seorang Presiden UMNO berdepan dengan sesuatu keadaan, misalnya tewas dalam PRU (Datuk Seri Najib misalnya), prestasi teruk dalam PRU (Pak Lah misalnya), atau disabitkan dengan kesalahan bagi kes jenayah, sudah pasti beliau kena berundur dan jawatannya akan dipangku oleh Timbalan Presiden sehingga ke tarikh pemilihan Perhimpunan Agung UMNO.”

Kamarul Yusoff

Politik