PAS akan mengutamakan parti yang kurang mudarat terhadap agenda penyatuan ummah sekiranya terpaksa memilih antara UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bekerjasama dalam politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, penilaian PAS juga berdasarkan kerjasama yang tidak mengundang bahaya kepada parti itu dan lebih ringan mudaratnya jika bersama.
Dalam suasana politik ketika ini, katanya, parti-parti Melayu Islam perlu bersatu bukannya mengutamakan perkara remeh sehingga boleh meruntuhkan penyatuan mereka.
“PAS tidak ada pelan A, B atau C.
Dalam suasana politik sekarang memerlukan penyatuan ummah dan kalau terpaksa memilih antara UMNO dan BERSATU demi merealisasikan agenda penyatuan ini, kita akan pilih,” katanya.
Hashim berkata, beliau mengikuti ucapan pucuk pimpinan UMNO yang dilihat tegas menolak kerjasama dengan BERSATU sekali gus menyebabkan harapan PAS untuk melihat ketiga-tiga parti bersatu menjadi sukar.
Bagaimanapun, katanya, PAS masih tidak putus harapan bagi menyatupadukan kedua-dua parti itu seterusnya mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU-15 yang bakal merugikan semua pihak.