Veteran DAP, Lim Kit Siang seolah-olah cuba berdalih apabila disoal mengenai pandangannya bahawa bekas peguam negara, Abdul Gani Patail dipecat oleh kerajaan ketika itu kerana merancang untuk mendakwa Najib Razak berhubung 1MDB.
Peguam M Visvanathan, ketika menyoal balas Lim berhubung saman yang difailkan oleh pengganti Gani, Mohamed Apandi Ali di Mahkamah Tinggi, menunjukkan bahawa Lim hanya membuat spekulasi mengenai pemecatan Gani pada 2015 dalam kenyataan saksinya.
“Tidak ada dokumen yang dihasilkan untuk membuktikan dakwaan pemecatannya.
“Malah Gani tidak mengesahkan SD (akuan berkanun) untuk mengatakan dia dipecat kerana sedang menyiapkan pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu,” kata Visvanathan.
Lim menjawab dengan berkata: “bekas ketua pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sebelumnya telah membuat kenyataan mengenai perkara ini (tuduhan).
“Itu ada dalam rekod awam”.
Bagaimanapun Lim tidak menyatakan bekas pesuruhjaya mana yang dimaksudkannya.
Viswanathan mengingatkan Lim, dia hanya mahu saksi mengesahkan mengenai dokumen yang dihasilkan untuk perbicaraan fitnah di hadapan mahkamah.
“Kami tidak berada di arena politik.
“Mahkamah kami dikawal oleh peraturan berdasarkan bukti.
“Apabila anda berkata ada pendakwaan yang dirancang untuk PM, maka anda mesti membuktikannya.
“Namun, anda gagal melaksanakan tugas anda dalam mengemukakan dokumen-dokumen tersebut dan dengan demikian pembelaan anda telah gagal,” kata Visvanathan.
Lim kemudian berkata “tuduhan (terhadap Najib) ada di luar sana”.
Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar mencelah dan mengingatkan Lim untuk memberikan jawapannya, sama ada dia bersetuju dengan cadangan Visvanathan atau sebaliknya.
“Saya harap mahkamah akan mencatat bahawa saksi ini mengambil masa yang lama untuk merenung dan mengelak dari menjawab pertanyaan saya,” kata Visvanathan.
Azimah kemudian memberitahu Lim bahawa peguam itu ingin mengetahui apakah Lim gagal memberikan dokumen untuk menyokong dakwaan bahawa penyingkiran Gani berkaitan dengan pendakwaan 1MDB.
“Nampaknya begitulah,” kata Lim.
Apandi mendakwa Lim telah memfitnahnya dalam kenyataan pada 2019, “Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road to integrity” (Bahaya jika anggap Malaysia semakin berwibawa).
Beliau mendakwa, kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menggambarkannya sebagai seorang yang tidak bermoral dan tidak beretika, tiada kewibawaan selain mengamalkan berat sebelah ketika memegang jawatan peguam negara.
Sementara itu, bagi pertanyaan oleh Visvanathan mengenai tuduhan Lim bahawa Apandi enggan bekerjasama dengan Jabatan Kehakiman AS berkait 1MDB, Lim berkata dia tidak memiliki dokumen mengenai hal itu.
Terdahulu, Apandi memberi keterangan bahawa siasatan terhadap 1MDB dan anak syarikatnya SRC International tidak selesai ketika dia meninggalkan Jabatan Peguam Negara pada Mei 2018.
Dia mengulangi bahawa kertas siasatan terhadap kedua-dua syarikat itu tidak pernah ditutup, walaupun ia telah diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan selanjutnya”.
Perbicaraan bersambung esok.