24 April 2021, berkemungkinan menjadi detik hitam buat hubungan Amerika Syarikat-Turki.
Hubungan dingin kedua-dua negara yang bermula sejak Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat berkemungkinan akan menjadi lebih tegang bermula dari tarikh tersebut.
Pada 24 April lalu, Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat pertama yang mengisytiharkan bahawa kematian lebih 1.5 juta orang etnik Armenia ketika perang dunia pertama di bawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah sebagai perbuatan jenayah pembunuhan beramai-ramai (genocide).
Tindakan tersebut menerima kecaman hebat dari Turki terutama presidennya Recep Tayyip Edrogan.
Beberapa hari selepas itu, Edrogan dalam kenyataan balasnya memberi amaran bahawa tindakan Joe Biden adalah langkah yang amat tidak wajar dan hanya akan lebih memburukkan hubungan kedua-dua buah negara.
Sambil Edrogan menyatakan bahawa tuduhan Joe Biden tidak tepat dan adil, tidak berpandukan fakta dan sejarah serta amat tidak masuk akal, Edrogan juga turut mempersoalkan bagaimana pula dengan tindakan Amerika Syarikat yang mengebom Hiroshima dan Nagasaki di Jepun ketika perang dunia ke dua, perang Vietnam dan juga pembunuhan beramai-ramai (mass killing) serta pengusiran orang asal Amerika iaitu American Indians ketika orang Eropah mula memasuki Amerika Utara dahulu dengan menyifatkan tuduhan Joe Biden sebagai memaparkan sikap sebenar Amerika Syarikat yang penuh hipokrasi.
Malah Parlimen Turki yang bersidang beberapa hari selepas itu mengeluarkan kenyataan bersama mengecam dan menolak kenyataan Joe Biden yang disifatkan sebagai tidak berasas dan hanya bertujuan untuk memporak-perandakan fakta sejarah yang sebenar.
Akibatnya, Duta Amerika Syarikat ke Turki David Satterfield telah dipanggil oleh Kementerian Luar Turki untuk memberikan penjelasan terhadap kenyataan Joe Biden.
Majoriti rakyat dan ahli politik Turki turut mengecam tindakan Joe Biden di atas kenyataannya yang semata-mata bertujuan untuk kepentingan politik Amerika Syarikat.
Biskop Sahak Masalyan, paderi besar Kristian untuk komuniti Armenia di Turki turut mengecam kenyataan Joe Biden dengan menyatakan bahawa peristiwa sedih yang berlaku ke atas etnik Armenia tersebut tidak wajar digunakan untuk kepentingan politik mana-mana pihak di sebalik keakraban etnik Armenia dan Turki yang telah terjalin sejak sekian lama.
Presiden Azrbaijan, Ilham Aliyev turut mengkritik kenyataan yang dikeluarkan oleh Joe Biden sambil menyifatkan kenyataan tersebut tidak boleh diterima dan tidak berpandukan fakta mahupun sejarah yang sebenar.
Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmoud Qureshi dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Pakistan menyokong tindakan Turki yang mempertahankan ketegasannya bahawa apa yang berlaku ke atas etnik Armenia pada tahun 1915 ketika di bawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah bukanlah peristiwa pembunuhan beramai-ramai sebagaimana yang perkatakan oleh Joe Biden.
Sebenarnya, Joe Biden bukanlah Presiden Amerika Syarikat yang pertama menggunakan perkataan “genocide” ke atas insiden yang berlaku kepada etnik Armenia pada tahun 1915 walau secara rasminya pengisytiharan Joe Biden adalah polisi terbaharu Amerika Syarikat ke atas peristiwa tersebut dan yang pertama daripada seorang Presiden Amerika Syarikat.
Pada tahun 1981, Ronald Reagan turut menggunakan perkataan yang sama ke atas tragedi yang berlaku namun ketika itu ia tidak dijadikan polisi atau dasar baharu dalam pentadbirannya kerana pada ketika itu, Amerika Syarikat lebih melihat Turki sebagai sahabat dan negara sekutunya terutamanya dalam NATO.
Namun tindakan Joe Biden ketika ini lebih dilihat sebagai tekanan kepada Turki yang dirasakan lebih akrab kepada Rusia dan juga berkemungkinan dilihat Turki sebagai ancamannya pada masa terdekat berikutan semakin luasnya pengaruh geopolitik Turki samada di Asia Barat dan Eropah Timur secara amnya.
Sejarah Asal Peristiwa 1915
Majoriti ahli sejarah Islam sependapat bahawa “Treaty Of Berlin” pada tahun 1878 antara Austria, Hungry, Perancis, Jerman, Britain, Ireland, Italy dan Rusia adalah satu pakatan antara negara-negara yang disebutkan di atas untuk melemahkan dan memecahbelahkan Khilafah Uthmaniyyah yang ketika itu begitu luas jajahannya bermula dari utara Afrika hingga ke hujung Timur Eropah menghampiri Rusia.
“Berlin Conference” pada tahun 1884-1885 pula adalah persidangan negara-negara Eropah untuk membincangkan pembahagian negara-negara Afrika dan membolot hasil mahsul bumi Afrika di mana ketika itu sebahagian besar bumi Afrika adalah di bawah pentadbiran Khilafah Uthmaniyyah.
Selepas daripada itu secara beransur-ansur, Khilafah Uthmaniyyah mula kehilangan pengaruh dan kekuasaan ke atas wilayah-wilayahnya akibat daripada tindakan licik pakatan tersebut.
Perang dunia pertama yang berlangsung antara tahun 1914-1918 adalah perang yang berpusat di Eropah antara dua pakatan ketenteraan iaitu “Central Powers” di antara Turki, Jerman, Hungry dan Bulgaria dengan tentera bersekutu atau “Allied Powers” iaitu antara negara Perancis, Britain, Rusia, Italy, Jepun, Amerika Syarikat dan negara sekutu mereka seperti Belgium, Portugal dan Romania.
Perang dunia pertama ini juga secara amnya telah mengubah “political dynamic” antara negara-negara Eropah di mana Jerman dan Hungry yang pada asalnya tidak bersama Turki pada “Treaty of Berlin” dahulu kini berada di pihak yang sama akibat daripada permusuhan Jerman dan Hungry dengan negara-negara Eropah lain.
Pada ketika perang inilah peluang terbaik “Allied Powers” yang dipelopori seteru asal Turki ketika “Treaty of Berlin” untuk memecah-belahkan seterusnya meranapkan Khilafah Utmaniyyah.
Pada ketika ini, Khilafah Uthmaniiyah berhadapan dengan gabungan antara Rusia dan Britain di mana majoriti daripada peperangan tersebut, Turki berhadapan dengan Rusia.
Di antara peperangan kedua-dua buah negara, “Battle of Sarikamish” adalah permulaan kepada tuduhan ke atas Turki atau Khilafah Uthmaniyyah melakukan pembunuhan beramai-ramai (genocide) ke atas etnik Armenia di mana perang tersebut berlangsung di antara 22 Disember 1914 – 17 Januari 1915 yang mengakibatkan kekalahan kepada tentera Khilafah Utmaniyyah.
Mengikut kajian sejarah, kekalahan tersebut adalah disebabkan pengkhianatan sebilangan besar etnik Amernia yang bermastautin di wilayah Khilafah Uthmaniyyah yang dianggarkan seramai 100,000 – 200,000 orang yang membantu tentera Rusia untuk menewaskan tentera Turki dalam peperangan Sarikamish atau “Battle of Sarikamish”.
Disebabkan itu, Khilafah Uthmaniyyah telah mengarahkan pengasingan antara etnik Armenia yang taat kepada pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah dengan yang khianat di mana mereka menyokong dan membantu tentera Rusia di dalam peperangan tersebut di tempatkan dalam wilayah yang berasingan dalam jajahan Khilafah Uthmaniyyah.
Yang khianat kepada Khilafah Uthmaniyyah diasingkan dan dibawa ke penempatan baharu yang berada berhampiran Syria pada hari ini, namun ramai yang terkorban ketika dalam perjalanan akibat penyakit dan kebuluran.
Inilah yang dikatakan oleh Joe Biden dan musuh-musuh Turki bahawa Turki atau Khilafah Uthmaniyyah telah melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Armenia.
Walhal sebenarnya, ia bukan sepertimana dakwaan mereka.
Angka korban besar yang dianggarkan hampir 1.5 juta orang juga tidak tepat kerana mengikut ahli sejarah Turki, jumlahnya hanya antara 150,000 – 300,000 orang sahaja yang terkorban ketika itu namun bukan dengan pembunuhan beramai-ramai (genocide) sebagaimana didakwa kerana majoriti daripada mereka terkorban adalah akibat daripada perang dan sebahagian lagi mati ketika dalam perjalanan ke penempatan baharu.
Malah ketika perang tersebut juga ramai daripada etnik Turki sendiri turut terkorban dalam jumlah yang ramai dan angka korban tentera Turki juga adalah tinggi, sebagai contoh lebih 25,000 orang tentera Turki terkorban akibat cuaca sejuk yang melampau di pergunungan Allahuekbar sebelum bermulanya perang yang akhirnya angka korban keseluruhan tentera Turki mencecah 50,000 orang.
Tidak cukup dengan tuduhan tersebut, dikatakan lebih daripada 200,000 kanak-kanak dan wanita etnik Armenia dipaksa menganut Islam, Namun apa yang pasti, hasil daripada usaha licik yang berasal daripada “Treaty of Berlin”, Khilafah Utmaniyyah tumbang pada 1 November 1922.
Implikasi Pengisytiharan Joe Biden Ke Atas Turki
Pengisytiharan Joe Biden di atas mampu memberikan impak yang negetif kepada Turki.
Pengisytiharan ini sebenarnya adalah pengesahan terhadap apa yang teleh diperkatakan lebih 30 buah negara lain termasuk Perancis, Jerman, Armenia dan Rusia sebelum ini.
Namun sebenarnya pengisytiharan Joe Biden adalah lebih kepada bermotifkan politik kerana saat ini, Turki sudah seperti tidak lagi menghiraukan peranan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia dan dilihat lebih cenderung kepada Rusia dan China dalam banyak keadaan.
Ia juga dilihat sebagai tekanan terhadap Turki di mana saat ini Turki sudah mula mempamerkan kekuasaan geopolitiknya di Eropah mahupun Asia Barat seperti berkerjasama dengan Rusia di Libya, Syria dan juga konflik Nagorno Karabakh.
Kekuatan tentera Turki juga mula dikhuatiri oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah sebagaimana konflik di Timur Mediterranean dan ketangkasan drone-drone bersenjata Turki yang beroperasi di Nagorno Karabakh dan Libya.
Peningkatan kekuatan Turki di persada geopolitik dunia terutamanya di Eropah tentunya menimbulkan kegusaran Kesatuan Eropah di mana jika Turki dibiarkan, ia mampu menjejaskan mahupun mewujudkan ketidakstabilan dalam negara-negara Eropah yang lebih cenderung kepada Amerika Syarikat.
Negara-negara utama Eropah seperti Perancis, Jerman dan Itali sudah tentunya tidak senang dengan kekuatan Turki ketika ini yang menjadi ancaman kepada mereka.
Dengan pengisythiran ini, pelbagai pendekatan mampu dilakukan untuk menyisihkan Turki daripada dunia hingga mampu melemahkan kekuatan geopolitik Turki.
Tidak dilupakan juga Israel yang sudah tentunya gembira dengan tindakan Joe Biden di mana Turki dilihat amat rapat dan memberi sokongan yang kuat kepada Iran yang merupakan musuh ketat kepada Israel.
Namun jangan dilupa, tuduhan tersebut juga seumpama tindakan untuk mencemarkan imej dan kredibiliti Islam di mana Khilafah Utmaniyyah adalah Kerajaan Islam terakhir dekad ini yang boleh dikatakan amat berjaya.
Dengan mengisytiharkan apa yang berlaku ke atas etnik Armenia pada 1915, ia sebenarnya telah menunjukkan bahawa Islam dan umatnya adalah pengganas sebagaimana apa yang telah dipotretkan oleh dunia barat dan medianya selama ini dan akan terus melonjakkan sentimen Islamofobia terhadap umat dan Dunia Islam.
Sampai bilakah kita umat dan Dunia Islam hanya akan membiarkannya begitu sahaja dengan diperkotak-katikan oleh musuh-musuh Islam?
Bersatulah umat dan Dunia Islam, hanya dengan bersatu-padu, Islam mampu bangkit kembali dan seterusnya mencapai kegemilangan demi untuk masa depan dan kesejahteraan umat dan Dunia Islam.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.