Wakaf Tanah Kubur Untuk Keluarga Tertentu

Wakaf Tanah Kubur Untuk Keluarga Tertentu

SOALAN:

Ada satu tanah perkuburan berdekatan tempat saya tinggal.

Ditengah-tengah tanah perkuburan itu adalah satu kawasan yang berpagar yang saya maklum untuk ditanam akan keluarga pemilik wakafnya manakala yang bukan keluarga tidak dibenarkan ditanam di situ.

Adakah harus menetapkan kawasan tertentu untu keluarga seperti itu?

JAWAPAN:

Jika orang yang mewakafkan tanah perkuburan itu membuat syarat hanya keluarganya sahaja boleh ditanam di kawasan tertentu manakala yang bukan keluarga di tanam diluar kawasan tersebut maka hukumnya adalah harus dan sah.

Ada pun jika tidak ada syarat demikian maka bebas ditanam semua mayat orang Islam di mana-mana bahagian dalam tanah perkuburan tersebut.

Akan tetapi jika orang ramai yang memandai-mandai menetapkan kawasan tertentu untuk ditanam keluarga mereka dan tidak dibenarkan orang lain menanam mayat di situ seperti dibuatnya pagar maka hukumnya adalah haram dan tidak sah kerana dikira merampas harta wakaf.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

واما لو شرط في وقف المقبرة اختصاصها بطائفة اقتصر عليهم في الاصح عند الشافعية ويمنع غيرهم من الدفن فيها رعاية لغرض الواقف وان كان ذلك الشرط مكروها

Artinya: “Dan adapun jika disyaratkan pada wakaf tanah kubur itu khusus untuk keluarga tertentu maka menurut pendapat yang paling sahih disisi ulamak mazhab Syafie ialah hendaklah menanam keluarga tertentu sahaja di situ dan dihalang orang lain dari ditanam padanya kerana memelihara kehendak pewakaf sekalipun syarat seperti itu adalah makruh.”

KESIMPULAN

JIka pewakaf tanah kubur itu ada mensayaratkan pada tanah kubur itu ada satu kawasan untuk menanam keluarganya maka tidak boleh ditanam orang lain di situ dan hendaklah ditanam orang lain pada luar kawasan yang telah ditentukan itu.

Jika orang yang bukan pewakaf memandai-mandai menetapkan kawasan-kawasan tertentu untuk ditanam keluarganya maka hukumnya adalah haram dan tidak sah maka harus ditanam akan siapa sahaja di kawasan yang telah ditetapkan itu samada dipagar atau tidak dipagar.

Pada zaman sekarang sudah ada berlaku dipagar kawasan khas dalam tanah perkluburan wakaf untuk ditanam kaum keluarganya sahaja pada hal dia bukalah pewakaf tanah kubur tersebut maka perbuatan ini adalah haram kerana mengambil hak orang ramai tanpa sebenar dan wajib atas pemerintah menghentikannya.

Wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab