Beberapa Soalan Untuk Penilaian

Beberapa Soalan Untuk Penilaian

Datuk Sri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Persekutuan dan salah seorang peguam Anwar, menyatakan tandatangan YDPA tidak penting sekaligus mengesahkan PN tidak melakukan apa-apa kesalahan perlembagaan dalam isu pembatalan Ordinan Darurat.

Apa maknanya kenyataan beliau bagi kita?

Sehingga kini, tiada langsung sambungan berita berkenaan Takiyuddin Hassan yang didakwa secara sukarela mahu melepaskan jawatan.

Siapa pereka ceritanya, sumbernya?

Sebahagian MP Umno dikatakan mahu menjatuhkan PM, tetapi sokongan mereka kepada Kerajaan PN dalam bentuk tandatangan telah diberikan dan disahkan oleh pimpinan mereka.

Siapa yang menipu?

Najib sentiasa dilihat menggugat semua keputusan Kerajaan PN, tetapi tidak pernah secara rasmi menyatakan mahu berpindah ke barisan pembangkang sewaktu bersidang di Parlimen.

Siapa tahu sebabnya?

Pembangkang mendesak kerajaan mengadakan persidangan Parlimen, dan setelah diperkenankan oleh YDPA dengan pesanan agar masalah Covid dan Ordinan Darurat diutamakan, mereka sebaliknya mengamuk di Parlimen mahu PM diturunkan.

Kenapa mereka jadi begitu?

Mana kepatuhan mereka kepada YDPA?

Derhakakah mereka?

Pengarah Kesihatan diminta letak jawatan oleh budak hingusan, kerana didakwa menjadi boneka, sedangkan dunia mengalami masalah yang sama.

Siapa yang mereka cadang nak ganti?

Takkan Dr Zul?

Dia bukan penjawat awam dan dia lebih gagal menjaga Selangor.

Umum mengetahui bahawa cadangan atau pelan kesihatan bagi melawan Covid ini, secara asasnya adalah datang dari WHO.

Jika cadangan badan dunia ini tidak diiktiraf oleh PH, maka kenapa dalam krisis ekonomi dunia dahulu, Anwar mahu mengambil cadangan dari IMF, yang ternyata selepas itu banyak negara yang kecundang dengan hutang?

Beberapa ratus orang kebanyakannya pemuda dan pemudi, telah berhimpun Sabtu lalu bagi menyatakan bantahan kepada kerajaan, tetapi dengan terpekik terlolong, serta isyarat-isyarat lucah yang ditunjukkan.

adakah itu sebagai tanda mereka golongan pandai mentadbir negara?

Adakah anda akan memberikan kepercayaan kepada mereka walaupun hanya berkawan dengan anak anda?

Ada sebahagian pendemo memberitahu, mereka melakukan ini atas nama demokrasi, hak mereka sebagai rakyat, tetapi dalam masa yang sama, menyuruh orang yang tidak menyokong mereka, agar diam, kerana tiada hak.

Siapa yang ajar mereka itu cara demokrasi?

Dia buat, orang kena ikut, orang tak setuju, tak boleh, kena diam. Demokrasi terpimpin ke ni?

Beza akhlak apabila ahli dan penyokong PAS jika ada bersama dalam perhimpunan, kerana mereka mendengar arahan jangan membuat kacau, tidak tinggal solat, menjaga kebersihan, berdoa, berselawat kerana menyatakan bantahan secara aman.

Siapa yang mengajar mereka?

Anda pasti tahu siapa dalam PAS yang ajar mereka.

Selepas membaca 10 persoalan yang jelas anda tahu jawapannya, anda sebagai ahli atau penyokong PAS, masih mahu percaya lagi dengan cerita-cerita rekaan PH pada masa akan datang?

Akan adakah lagi mulut atau jari yang laju mengutuk pimpinan sendiri setelah tahu yang taktik meragukan hati kita sering digunakan oleh PH?

Atau anda akan bersabar menunggu manisnya buah kesabaran daripada tindakan pimpinan PAS yang jelas tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara.

PAS adalah parti yang cintakan agama dan negara.

Sudah puluhan tahun dibuktikan, mengapa masih ragu?

Atau kamu sememangnya ditugaskan untuk menyebarkan keraguan dalam hati orang?

Soalan bonus:

Dahulu kita marah untuk kes Mufti Selangor dipecat kerana menentang pertandingan Ratu Cantik yang disertai orang Melayu Islam yang salah satu acaranya ialah memakai bikini.

Tetapi kenapa sekarang kita bersorak gembira apabila ada penerjun wanita Melayu Islam yang memakai bikini, hampir menang pingat di Olimpik dan juga gimnas yang memakai pakaian yang serupa walaupun menduduki tempat yang corot?

Semangat Olimpik kah?

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis