Gila…itu telahan ramai dalam kalangan rakyat ketika ini. Mengapa mereka kata gila?
Hari ini gila berpolitik musim pandemik Covid-19 adalah gila yang paling sukar diubati.
Walaupun pandemik Covid-19 itu nyata berbahaya dan amat sukar dibendung, penyakit gila kuasa dan gila politik ni amat sukar untuk dibendung malah tiada vaksin penyembuh atau vaksin mengurangkan kesan jangkitan gila nak berkuasa.
Ketika ramai dalam kalangan anak-anak kecil kehilangan ibu bapa dan menjadi yatim piatu sekelip mata, ada ahli politik dalam kalangan pembangkang dan mereka yang bersekutu dengan kumpulan ini jadi semakin gila, gila meratib kuasa sejak setahun lalu.
Malah lebih dikesali mereka menggunakan ratiban kerajaan gagal tatkala Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin fokus kepada usaha mendepani ancaman pandemik Covid-19 dan program vaksinasi yang kini mula menampakkan hasil yang amat membanggakan.
Nak kata kerajaan gagal, tetapi pembangkang yang dikepalai Anwar Ibrahim serta konconya lebih gagal lagi apabila tidak menghiraukan situasi semasa dengan berkumpul dan berhimpun, kemudian langsung tidak memikirkan kebajikan rakyat dalam ucapan-ucapannya di Parlimen ketika sidang khas, malah lebih banyak mempertikai kedudukan Ordinan Darurat dalam soal teknikal.
Walhal ketika ordinan ini diumumkan enam bulan lepas, merekalah yang menentang malah dari kelompok mereka jualah yang melawan hingga dibawa ke mahkamah bagi mencabar Ordinan Darurat yang telah diperkenan pelaksanaan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Hari ini mereka meratib kononnya PN pula yang derhaka, walhal kalau hendak disenaraikan cukup banyak kelakuan dan ucapan serta tindakan mereka sama ada semasa berkuasa selama 22 bulan dahulu mahupun selepas hilang kuasa, merekalah yang bersifat menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Kegilaan apakah ini hingga mereka sanggup menghasut rakyat turun padang menentang dan menjatuhkan kerajaan, walhal mereka tahu keadaan ketika ini amat berbahaya dengan penularan varian Delta yang boleh dikatakan seluruh dunia ketika ini sedang ‘azab’ berdepan varian baharu ini.
Benar mungkin mereka berjaya mengganggu emosi rakyat dengan perkataan ‘kerajaan gagal’ demi memperlihatkan kononnya merekalah yang menyebelahi rakyat. Tetapi sebenarnya sebilangan besar rakyat ketika ini benci dengan situasi ini yang menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak stabil.
Angkara gila nak berkuasa inilah, pembangkang khasnya PH telah membawa negara menuju kepada krisis yang paling dibimbangi mampu atau telah pun mengundang campur tangan pihak yang licik berada di belakang mereka atas nama kononnya hak kebebasan bersuara.
Semua kenal siapa rakan baik Ketua Pembangkang di negara Barat, dan hubungan rapatnya dengan pihak tertentu di negara kuasa besar dunia.
Paling dibimbangi ada beberapa pendedahan mengenai usaha pihak tertentu melalui dana media dan pergerakan atas nama hak kebebasan bersuara yang sebenarnya didalangi negara Kuda Putih.
Himpunan Hitam tidak boleh dipandang enteng.
Siapa dan bagaimana gerakan mereka perlu diperhalusi, malah jika ia menjadi barah kepada negara, wajar sekali elemen negatif dan berunsur campur tangan ini perlu diatasi segera.
Kita tidak menentang kebebasan berpolitik dan suara, namun kita amat perlu berhati-hati dengan gerakan yang mungkin boleh menatijahkan negara berada pada tahap kritikal dengan campur tangan asing.
Lihat sejarah Afghanistan, Pakistan, dan Iraq, maka semua ini boleh sahaja menjadi teladan dan sempadan.
Usah gila berpolitik mengejar kuasa, dengan nafsu mendapatkan kuasa, sedangkan rakyat menderita dan bakal lebih parah jika negara berada di ambang krisis parah yang mengundang campur tangan asing.
Sesekali hal ini tidak boleh diterima dan perlu dihalang seawal mungkin.
HARAKAHDAILY