Umno Nak Marah Siapa Lepas Ini?

Umno Nak Marah Siapa Lepas Ini?

Jika angka jangkitan Covid-19 terus meningkat, Umno nak kata siapa kerajaan gagal selepas ini?

Kalau kerajaan yang diterajui Muhyiddin Yassin dikatakan gagal oleh Umno kerana angka jangkitan Covid-19 meningkat, apakah pula label yang bakal digunakan terhadap kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob?

Kabinet Ismail adalah 90% mirip pasukan yang dipimpin Muhyiddin.

Program kerajaan untuk melaksanakan penvaksinan secara agresif turut sama.

Program bantuan kewangan juga diterajui oleh orang yang sama iaitu Tengku Zafrul Aziz.

Jika kerajaan Ismail berjaya mengatasi Covid-19, ia juga bermaksud kerajaan Muhyiddin berjaya kerana kedua-duanya menggunakan polisi dan Kabinet yang hampir sama.

Namun, jika angka jangkitan Covid-19 tetap tidak menurun di bawah Ismail, apakah Umno akan protes terhadap kerajaan yang kini diterajui oleh partinya sendiri?

Ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri, Umno menjadi juara memberi cadangan untuk menyelesaikan Covid-19 dan ekonomi negara seolah-olah apa yang dikatakan mereka pasti mujarab.

Apa yang dilakukan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara ketika itu dipersepsikan sebagai salah dan tidak berkesan.

Kini tiba masanya, Umno bangkit membantu Ismail.

Sudah pasti Covid-19 dan masalah ekonomi dapat diatasi serta-merta dengan cadangan bernas mereka yang tidak diikuti oleh kerajaan Muhyiddin.

Umno sepatutnya protes apabila ada makin banyak sektor ekonomi dibuka ketika angka jangkitan Covid-19 masih tinggi kerana sebelum ini mereka adalah pejuang tegar untuk “lockdown” sepenuhnya.

Tindak tanduk Umno selepas ini akan mendapat perhatian khusus rakyat Malaysia.

Ia akan menjadi sasaran dipersendakan jika ia dilihat tidak konsisten menyerang kerajaan Ismail atas isu-isu yang sama mereka menyerang kerajaan Muhyiddin.

Siapa yang betul-betul berjuang untuk rakyat, atau berdrama demi keuntungan politik peribadi akan terdedah sepenuhnya.

Prestasi kerajaan Ismail akan menjadi penentu keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pembangkang hanya mampu lihat mengharapkan kerajaan Ismail yang diterajui Umno ini gagal.

Jika kerajaan Ismail berjaya mengatasi Covid-19 dan ekonomi, keputusan PRU15 sudah diketahui.

Melainkan Umno, Bersatu dan PAS gagal membahagikan kerusi.

Timmy Say

Kolumnis