Guruh Dan Petir Diiringi Hujan Renyai

Guruh Dan Petir Diiringi Hujan Renyai

Sidang Dun Terengganu yang lewat dirasmikan pada tahun ini, akibat daripada Covid-19 yang melanda, tamat semalam.

SOP yang ketat dilaksanakan dalam usaha menyediakan suasana Sidang Dun yang selamat.

Manakala, dalam keadaan yang terpaksa, masa bersidang juga dipendekkan oleh Dato’ Speaker kali ini.

Titah ucapan perasmian Tuanku Sultan Terengganu, dibaca oleh YAB MB Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Saya mengikuti sebahagian perjalanan sidang ini kerana mahu mengetahui apakah yang menjadi isu utama, diperdebatkan oleh wakil-wakil rakyat semua.

Dan seperti yang saya jangkakan, isu air dan isu Yayasan Terengganu, bakal meledakkan haba panas persidangan kali ini.

Isu air telah diberikan soalannya oleh YB Tepoh.

Dan Dato’ Speaker memberikan ruang soalan tambahan kepada dua wakil pembangkang yang mana kawasan mereka juga telah terlibat iaitu Seberang Takir dan juga Batu Rakit.

Soalan mereka itu dijawab dengan jelas dan nyata oleh Exco terlibat, YB Dr Mamad Puteh.

Semua orang yang menunggu kebenaran bersetuju bahawa isu ini adalah bukan disengajakan.

Apa yang kerajaan sekarang lakukan, adalah kesinambungan kepada kelulusan kerajaan terdahulu.

Tidak timbul isu Exco Dr Mamad mesti tahu bahawa ada paip air di bawah sungai itu, jika dia tidak diberitahu.

Takkan lah Exco kena menyelam dahulu memeriksa keadaan sebelum meluluskan lesen itu.

Semuanya telah lengkap dan juga pemantauan dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan terbabit sepanjang aktiviti pengambilan pasir berjalan.

Namun begitu, atas dasar mengambil tanggungjawab sebagai pimpinan, Dr Mamad telah memohon maaf kepada rakyat sejurus krisis ditamatkan.

Dan Kerajaan Negeri juga mungkin akan membuat keputusan menamatkan aktiviti mengorek ini, jika ia terbukti menjadi punca kepada kesusahan rakyat.

Walau bagaimanapun kesemua 12 pengusaha (sekarang tinggal 7) semenjak 10 tahun lalu, tidak harus dipersalahkan.

Manakala isu kedua yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Ahmad Said, ialah berkenaan isu apa yang beliau katakan sebagai rasuah dalam pengurusan Yayasan Terengganu (YT).

Ia melibatkan perjanjian antara YT dengan pihak luar dalam perniagaan membuat pelitup muka.

Beliau cuba menyenaraikan fakta-fakta salah laku itu sehingga sanggup menuduh ada ‘tangan-tangan’ ghaib dari Putrajaya yang membantu.

Mungkin dia lupa Putrajaya dahulu dan sekarang, partinya adalah majoriti dalam pentadbiran.

Tetapi Speaker Dun lebih maklum akan keadaan itu iaitu cubaan menuduh atau menghakimi seseorang di dalam Dun.

Speaker dengan jelas menerangkan fungsi Dun bukan sebagai mahkamah untuk menjatuhkan hukuman atau menerima segala laporan salah laku.

Agensi yang terlibat berkenaan isu sebegini ialah SPRM atau PDRM sebelum laporan itu kemudiannya akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan setelah cukup bukti.

Ahmad sedar akan hal itu kerana beliau kemudiannya bersetuju dengan keputusan Speaker.

Jadi halangan oleh Adun Tepoh dan Paka untuk isu itu dibawa kepada agensi berkaitan, adalah betul dan menepati amalan sistem perundangan di negara kita.

Bagi yang kurang faham akan sistem perlembagaan Malaysia secara asasnya ia terbahagi kepada tiga pemisahan kuasa iaitu kehakiman, eksekutif dan perundangan.

Jadi Ahmad dilihat sebagai mencampurkan pemisahan kuasa ini.

Oleh itu, dakwaan daripada beberapa pihak yang cuba memutar belitkan kenyataan bahawa Speaker dan dua Adun PAS cuba menghalang ‘kebenaran’ yang cuba didedahkan oleh Ahmad itu, hanya membuktikan kedangkalan mereka berkenaan peraturan dewan yang sebagaimana saya nyatakan tadi, keputusan Speaker itu turut dipersetujui oleh Ahmad sendiri.

Ahmad mesti membuat laporan kepada SPRM dan tidak menggunakan kekebalan sebagai Adun yang membuat tuduhan di dalam dewan.

Jadi, bagi saya, Sidang Dun Terengganu kali ini boleh diibaratkan sebagai guruh dan petir sabung menyabung yang kemudiannya diiringi dengan hanya titisan hujan renyai sahaja.

Banjir besar yang diharapkan pembangkang, tidak menjadi.

Apa yang cuba dibawakan oleh penyokong pembangkang yang siang malam membuat fitnah di media sosial, tidak ada apa-apa makna kepada rakyat sebenarnya.

Kerana jika ia bermanafaat, tentu lah pembangkang akan berterusan menyerang kerajaan melalui pimpinan mereka.

Sekarang pintu kebenaran sudah terbuka luas bagi yang mahu melihatnya.

Kerajaan Negeri telah melakukan yang terbaik kepada rakyat.

Kurangnya pembangunan baharu adalah kerana wang diperlukan bagi menguruskan projek-projek terbengkalai yang dilaksanakan sebelum PAS memerintah.

Jika ada yang mahu membandingkan pembangunan dengan kerajaan dahulu, ia jelas buta politik.

Ditambah lagi dengan masalah Covid yang melanda dunia.

Sebagai bukti kejayaan Kerajaan Negeri, sehingga Mei sudah 14 daripada 20 manifesto yang dijanjikan dahulu, telah siap dilaksanakan dan insyaallah pada akhir tahun ini, Kerajaan Terengganu akan menjadikannya 90 peratus iaitu dengan empat lagi manifesto yang telah dan akan dilaksanakan.

Jadi bukti apa lagi yang kita mahu bahawa Kerajaan Terengganu memang menepati janjinya?

Selamat menyambut Hari Malaysia

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis