Hijrah: Kemenangan Islam Tidak Berhajat Kepada Pertolongan Makhluk

Hijrah: Kemenangan Islam Tidak Berhajat Kepada Pertolongan Makhluk

Allah SWT berfirman:

(إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدۡ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذۡ أَخۡرَجَهُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ثَانِیَ ٱثۡنَیۡنِ إِذۡ هُمَا فِی ٱلۡغَارِ إِذۡ یَقُولُ لِصَـٰحِبِهِۦ لَا تَحۡزَنۡ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَاۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِینَتَهُۥ عَلَیۡهِ وَأَیَّدَهُۥ بِجُنُودࣲ لَّمۡ تَرَوۡهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ٱلسُّفۡلَىٰۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِیَ ٱلۡعُلۡیَاۗ وَٱللَّهُ عَزِیزٌ حَكِیمٌ)

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana

(Surah at-Taubah, 9: 40).

Peristiwa Hijrah yang disambut oleh seluruh umat Islam pada hari ini adalah penzahiran terhadap kedudukan Islam sebagai agama Allah yang sempurna.

Ia menjadi simbol bagi kemenangan Islam setelah sekian lama ia ditindas dan disekat oleh musuh-musuhnya.

Yang paling nyata ialah Islam adalah agama yang tidak berhajat kepada pertolongan manusia dan makhluk-makhluk yang untuk mencapai kemenangan di dalam perjuangannya.

Sebaliknya Islam tegak dengan pertolongan Allah, iaitu pertolongan yang tiada tolok bandingnya.

Mari kita perhatikan kepada ayat 40, surah at-Taubah yang menceritakan tentang pertolongan Allah dalam peristiwa Hijrah:

I. Ketibaan Nabi SAW di Yathrib (Madinah) pada 12 Rabiul Awal, setelah meninggalkan Mekah ke Gua Thur bersama Abu Bakar dalam bulan Safar.

II. Ayat 40 Surah at-Taubah dikatakan turun ketika berlakunya Perang Tabuk pada bulan Rajab, tahun ke sembilan Hijrah.

Di dalam perang ini, umat Islam menghadapi tiga kelompok:

Pertama, orang-orang kafir (Rom) yang menyombongkan diri untuk menghancurkan Islam.

Mereka merancang untuk menjajah wilayah-wilayah Islam.

100 ribu tentera digerakkan untuk menggempur Islam.

Kedua, orang-orang munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai yang meminta izin untuk tidak ikut berperang di atas beberapa alasan yang mereka ada-adakan.

Ketiga, orang beriman yang lalai.

Mereka tercicir dari armada perang Nabi SAW kerana sibuk dengan urusan dunia.

Mereka ialah Kaab bin Malik, Murarah bin ar-Rabi dan Hilal bin Umayyah.

III. Peristiwa Perang Tabuk dimenangi oleh Islam setelah Allah SWT memberikan bantuan dengan menjadikan kabilah Arab di Tabuk menyokong Islam dan Allah menurunkan 100 ribu malaikat untuk menolong Islam.

Islam mencapai kemenangan besar ke atas Rom.

IV. Allah membandingkan pertolongan-Nya dalam Perang Tabuk yang tidak ditolong oleh orang munafik dan orang beriman yang lalai ini dengan peristiwa Hijrah yang diberikan kemenangan oleh Allah.

– Kes semasa – Perang Tabuk: tentera Islam seramai 30,000 orang mencapai kemenangan ke atas 100 ribu tentera musuh setelah mendapat bantuan Allah.

– Kes bandingkan – Hijrah: Nabi SAW dan sahabatnya, Abu Bakar telah mencapai kemenangan ke atas kepungan, serangan dan hambatan tentera musyrikin Mekah dengan bantuan Allah.

Peristiwa Hijrah ini telah memperlihatkan kemenangan Islam sehingga dapat mendirikan Negara Islam Madinah tanpa pertolongan manusia.

IBRAH

Dari peristiwa Hijrah ini, kita mendapati bahawa:

I. Islam diberikan pertolongan sepenuhnya oleh Allah selagi umat Islam mempunyai keyakinan dan pergantungan kepada Allah.

II. Usaha dan ikhtiar manusia hanyalah asbab ke atas kejayaan.

Manusia tetap berhajat dan bergantung kepada Allah dalam mencapai kejayaan.

Maka janganlah kita meletakkan harapan kepada pertolongan manusia, keluasan harta dan pengaruh kita dan juga kehebatan strategi kita.

III. Kemenangan Islam adalah pasti.

Allah menangguhkan kemenangan supaya manusia meningkatkan amal dan ikhtiarnya, selain bergantung (tawakal) kepada Allah.

Allah juga sentiasa membantu hambanya yang beriman walaupun kemenangan masih ditangguhkan.

IV. Orang-orang munafik boleh mengkhianati perjuangan Islam dan bersekongkol dengan orang kafir, namun mereka tidak akan mampu untuk menghadapi pertolongan Allah ke atas orang yang beriman.

Kerana itu, umat Islam mesti terus bekerja dan berjuang untuk mencapai kemenangan Islam.

Yakinlah, pertolongan Allah akan tiba untuk kemenangan ini walaupun seluruh manusia berpakat untuk menghalangnya.

Jika telah datang pertolongan Allah, pasti ia adalah pertolongan yang tiada tolok bandingnya.

HIJRAH KE ARAH TAJDID UMMAH

Mohd Fadli Ghani


Islam