Terengganu Catat Kedatangan Pelancong Paling Tinggi

Terengganu Catat Kedatangan Pelancong Paling Tinggi

Tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang tinggi dalam kalangan pengusaha resort di pulau peranginan di Terengganu memberi keyakinan kepada pelancong untuk memilih pulau di negeri ini sebagai destinasi percutian.

Larangan rentas sempadan negara yang dikeluarkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 menyebabkan kadar purata tempahan penginapan di resort di pulau peranginan khususnya di pantai timur meningkat secara mendadak.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berkata, tiga negeri di Pantai Timur menerima kedatangan pelancong lebih 100 peratus sejak sempadan negeri dibuka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.

Katanya, berdasarkan kajian pelancongan domestik yang dijalankan Tourism Malaysia April lalu, Terengganu menerima kenaikan pelancong tertinggi iaitu 165 peratus diikuti Kelantan (135 peratus) dan Pahang (114 peratus).

“Lebih 72 peratus daripada 13,797 responden kajian memilih pulau dan pantai sebagai destinasi percutian pilihan selain premis makanan menarik.

“Manakala sebanyak 68 peratus responden pula memilih destinasi berbaloi dengan perbelanjaan dan ia terdapat di ketiga-tiga negeri di Pantai Timur,” katanya selepas melakukan pemantauan SOP di Sari Pacifica Beach Resort & Spa di Pulau Redang, semalam.

Sementara itu, pelancong, Mohd Izzat Mohd Angani, 31, dari Puncak Alam, Selangor, berkata, dia berpuashati dengan tahap pematuhan SOP pengusaha resort dan pengunjung pulau.

“Ini kali kedua saya bercuti di Pulau Redang, kali pertama pada 2016.”

“Walaupun bercuti dalam norma baharu, namun saya selesa dan berasa selamat apabila pengunjung lain juga ikut SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.

Pelancongan