Gabungan ilmu, pengalaman, sikap terbuka dan mengenalpasti permasalahan umat, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengatur langkah merencanakan penyelesaian pertikaian serta perpecahan di kalangan umat Islam di Asia Barat khususnya dan dunia Islam amnya.
Ikuti wawancara khas Wartawan Warta Darul Iman, Muhammad Husaif Mamat dengan beliau di Pejabat Pengurusan Masjid Rusila baru-baru ini.
WDI: Tuan Guru sebagai pemimpin utama parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional, apakah hasrat dan hala tuju Tuan Guru dalam membawa gagasan Malaysia Sejahtera?
TGHH: Tanggungjawab kita sebagai orang Islam ialah memperkenalkan Islam kepada seluruh manusia kerana Islam adalah bersifat sejagat.
Terbukti hanya Islam sahaja yang boleh menangani masyarakat majmuk.
Ia dibuktikan oleh ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW.
Sejarah turut membuktikan, Baginda memulakan penubuhan negara Islam Madinah bersama masyarakat majmuk, dengan mengajak kalangan bukan Islam daripada pelbagai agama yang tidak ekstrim untuk bersatu dan Nabi SAW menjadikan penyatuan umat Islam sebagai tonggak kekuatan negara.
Di peringkat awal, orang Islam di Madinah adalah minoriti tetapi mereka bersatu dan kuat.
Bukan Islam pula adalah majoriti namun mereka berpecah.
Mereka bosan dengan krisis yang berlaku dalam kalangan mereka sendiri.
Disebabkan itu mereka melihat Islam adalah jalan terbaik.
Akhirnya Islam berjaya memimpin masyarakat majmuk sehingga ramai oran bukan Islam menerima Islam sebagai anutan ataupun redha berada di bawah kerajaan Islam.
Kewajiban ini mesti disambung oleh umat Muhammad SAW di akhir zaman.
Malaysia yang unik ini wujudnya masyarakat majmuk, walaupun penduduk asal di sini ialah orang Melayu Islam.
Penting untuk kita memperkenalkan Islam.
Kita telah memilih konsep demokrasi berparlimen, menyertai pilihan raya walaupun sukar dan mencabar tetapi Islam mengajar kita perdamaian hendaklah diutamakan.
Demokrasi ialah perubahan kedamaian.
Melalui ruang demokrasi akhirnya kita berjaya mendapat kuasa pemerintahan dimulakan dengan menyatukan umat Islam antara PAS dengan UMNO (Muafakat Nasional) sebagai gabungan parti pembangkang.
Kemudian kita mengajak kalangan dalam kerajaan sehingga tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam masa yang sama kita mengajak parti-parti bukan Islam serta tokoh-tokoh yang tidak ekstrim.
WDI: Tuan Guru juga memegang jawatan sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengahbertaraf Menteri.
Sejauh mana kemajuan Malaysia dalam hal ini?
TGHH: Sehingga hari ini Malaysia sebuah negara yang dihormati kerana keamanan dan keselamatan yang ada di sini.
Kita tidak bergolak sebagaimana negara Islam yang lain sehingga berlaku pertumpahan darah.
Walaupun kita mempunyai krisis, tetapi ia berlaku secara dalaman tanpa pertumpahan darah.
Ini adalah satu keadaan yang baik dan unik bagi zaman ini, khususnya perubahan yang kita buat dalam kerajaan baru-baru ini.
Perubahan secara demokratik melalui ahli-ahli parlimen yang dipilih rakyat, bukan pintu belakang.
Ia mengikut perlembagaan dan Raja Berpelembagaan, membuat satu perubahan dan kita menubuhkan satu kerajaan yang aman dan tiada pertumpahan darah.
Ini menarik perhatian seluruh dunia sehingga kita dihormati.
Justeru, peluang dihormati ini akan kita ambil supaya dapat menjalinkan hubungan dengan negara-negara umat Islam khususnya negara barisan hadapan iaitu negara Asia Barat yang termasuk di dalamnya negara Arab dan negara utara Afrika termasuk Turki, Iran dan Azerbaijan.
Itu jangkauan tugas yang diberikan kepada saya dan In Sya Allah saya akan sempurnakan tugas ini melalui hubungan yang sangat positif dengan semua negara tersebut walaupun ada pergolakan tetapi kita sebuah negara yang berkecuali dalam pergolakan itu.
WDI: Amanah memegang jawatan tersebut pastinya bukan suatu tugas yang mudah buat Tuan Guru.
Apakah cabaran utama yang Tuan Guru lihat dan langkah pertama yang diambil?
TGHH: Cabaran terkini ialah wabak pandemik Covid-19 yang tidak mengizinkan lawatan ke luar negara.
Ini cabaran yang sangat besar dan tugas ini pada saya ialah bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan Malaysia dengan negara terbabit tetapi dalam masa yang sama kerjasama dalam aspek Islam, pendidikan, ekonomi dan pelaburan adalah bidang yang perlu difokuskan.
Kekangan untuk melakukan lawatan kerja ke luar negara telah ditangani dengan cara mengadakan pertemuan dengan duta-duta negara terbabit di dalam negara kita.
Pertemuan awal telah diadakan, manakala kita juga mengadakan hubungan dengan pihak yang bertenggungjawab khususnya Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pendidikan dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Ini adalah langkah utama yang khusus yang telah diambil selain kerjasama dengan kementerian lain yang menyalurkan secara objektif daripada tanggungjawab yang diberikan kepada saya.
WDI: Ramai kepimpinan utama parti Islam di Timur Tengah menyokong perlantikan Tuan Guru termasuk Kesatuan Ulama Islam Se-Dunia (KUIS).
Bolehkah Tuan Guru ceritakan tentang pengalaman Tuan Guru dalam hubungan dan kerjasama bersama mereka?
TGHH: Secara kebetulan saya terlibat dengan rombongan-rombongan dalam krisis di Asia Barat termasuk semasa krisis di benua India dahulu.
Pada ketika itu saya berserta al-Marhum Dato’ Ustaz Fadzil Muhammad Noor dan Ustaz Hassan Sukri ditugaskan ole parti bagi menangani isu perang di Afghanistan antara kumpulan Mujahiddin.
Yang terbaru pula ialah isu Kashmir yang melingkari isu perang teluk pertama, kedua dan ketiga.
Saya terlibat secara langsung dalam rombongan itu dan setelah dua orang ini meninggal dunia, saya masih lagi ada hubungan dengan tokoh-tokoh yang masih hidup.
Secara khusus Kesatuan Ulama Islam Se-Dunia (KUIS) telah memberi amanah kepada saya untuk menangani krisis di Yaman yang berlaku pada masa mutakhir ini.
Alhamdulillah, saya dengan rombongan PAS berjaya masuk ke Yaman dengan bantuan daripada Wisma Putra melalui saluran diplomatik dan dapat meredakan keadaan sementara waktu.
Pada masa itu belum ada campur tangan asing secara mendalam berbeza dengan sekarang yang menyebabkan berlakunya perang proksi di kalangan kuasa besar dunia.
Ini menyedihkan kita.
Selain itu, saya terlibat secara langsung dalam mendamaikan antara Acheh dan Jakarta dengan cara menghubungi pemimpin gerakan Acheh Merdeka, kerajaan Malaysia dan Indonesia yang akhirnya membuahkan hasil perdamaian di antara Acheh dan Jakarta, di samping wilayah lain yang saya terlibat.
Mungkin kerana itu, saya diberikan tugas ini.
Rakan-rakan di luar negara juga memberi kepercayaan kepada saya untuk memainkan peranan, khususnya mereka yang terlibat sebelum ini dalam gerak kerja bersama al-Marhum Profesor Dr. Necmetin (Turki), Ustaz Mustafa Masyur, Qadhi Hussein Ahmad (Pakistan), Mahfuz Nahnah (Algeria) dan Rashid Ghanoushi (Tunisia).
Kebanyakannya telah meninggal dunia.
Yang tinggal sekarang hanya saya dan Rashid Ganoushi yang sudah menjadi ‘Speaker’ parlimen Tunisia.
WDI: Tuan Guru pernah menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999, boleh Tuan Guru ceritakan tentang kejayaan Terengganu pada waktu tersebut?
TGHH: Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar kerana tegangnya hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat ketika itu dan kita mengambil alih pemerintahan Terengganu dalam keadaan yang agak tidak diduga iaitu mendapat kemenangan besar dengan mencapai majoriti dua pertiga.
Namun, peluang memerintah ini kita ambil dengan sebaiknya termasuk mengadakan hubungan harmoni dengan istana dan pegawai kerajaan serta berusaha menjalinkan hubungan yang baik dengan kerajaan pusat.
Alhamdulillah, dengan istana dan pegawai kerajaan kita telah berjaya mencapai hubungan yang sangat baik tetapi kerajaan pusat menjadi masalah kerana ‘ketajaman’ antara pembangkang dan kerajaan pada masa itu sehingga kerajaan pusat melalui Perhimpunan Agung UMNO membuat keputusan membatalkan royalti petroleum milik Terengganu.
Ini cabaran yang kita hadapi, namun dengan bantuan pakar ekonomi, ahli perundangan, ahli politik serta tokoh-tokoh besar yang bersama dalam kerajaan negeri seperti Dato’ Mustafa Ali, Dato’ Wan Mutalib Wang Embong, Dato’ Harun Taib, Dato’ Abu Bakar Chik dan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.
Kita dapat mengatasi masalah itu dengan cara yang baik.
WDI: Lebih 10 tahun Tuan Guru menjadi Ahli Dewan Rakyat mewakili Parlimen Marang.
Bagaimana pandangan Tuan Guru tentang kemajuan di Marang?
TGHH: Memang dalam situasi politik di Malaysia pada masa itu sangat mencabar kerana tidak mengamalkan demokrasi sebenar.
Konsep federalism tidak dihormati, walaupun mengikut perjanjian dan perlembagaan, kerajaan pusat mesti menghormati keputusan rakyat di negeri dan ahli parlimennya.
Tetapi saya menghadapi cabaran-cabaran tersebut dengan penuh sabar.
Oleh kerana parlimen Marang secara kebetulan keseluruannya mempunyai kawasan bandar dan pinggir bandar, kemudahan-kemudahan asas sudah ada di sini.
Yang mempunyai masalah dengan rakyat sahaja dan ia boleh ditangani dengan jentera parti.
Jentera parti berjaya menangani isu rakyat ini dengan baik.
Kerana itulah hubungan rakyat dan saya (parti) terus terpelihara.
Ini dapat dibuktikan apabila kita menang dan terus dihormati masyarakat di Marang.
Ini menunjukkan kita juga berjaya membina kekuatan rakyat di negeri khususnya dan Malaysia amnya.
WDI: Boleh kongsikan bagaimana cara Tuan Guru mendekati rakyat di Marang?
TGHH: Pendidikan adalah salah satu daripadanya.
Saya mendekati rakyat dengan kegiatan-kegiatan yang mereka lakukan sendiri.
Rakyat adalah petani, nelayan dan saya turun ke padang, laut bersama dengan mereka bukan sahaja dalam majlis ilmu tetapi kegiatan seharian mereka.
Saya terlibat sendiri dan akhirnya mereka menerima pengaruh daripada hati mereka sendiri.
WDI: Harapan Tuan Guru untuk rakyat Terengganu dan Malaysia?
TGHH: Harapan saya semoga rakyat terus memberi kepercayaan khusus kepada PAS dan bahawa PAS boleh memimpin.
Kalau tiada apa-apa masalah dan halangan, kita boleh memimpin kerana kita mempunyai tenaga yang cukup untuk berkhidmat kepada rakyat.
Yang kedua, kita harus mengekalkan perpaduan umat Islam kerana ia sangat penting dan oleh kerana itu kerjasama yang berlaku pada hari ini melalui PN perlu diteruskan dan dibina dengan kepercayaan yang teguh supaya menjadi asas untuk memimpin masyarakat majmuk.
Seterusnya kita mengharapkan supaya kalangan bukan Islam tidak bimbang dan khuatir.
Islam adalah agama yang adil untuk semua dengan syarat kita tidak bersikap ekstrim.
Alhamdulillah, saya dapat mengadakan hubungan baik dengan mereka apabila kita berjaya memerintah Kelantan dan Terengganu.
Kita berjaya menghasilkan sokongan daripada kalangan bukan Islam sehingga mereka mendesak kita untuk menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
Sehingga kini kita melantik mereka menjadi Senator di samping ada yang menjadi Ahli-Ahli Majlis di negeri yang kita perintah.
Ini merupaka satu petanda yang sangat positif.
Kita mengharapkan apa yang kita bina ini menghasilkan satu benih yang baik untuk negara kita.