Kenapa Pemimpin Berubah?

Kenapa Pemimpin Berubah?

Satu hari saya singgah disebuah warung untuk minum.

Ketika itu dimeja sebelah ada 4 orang lelaki dalam lingkungan usia 30 dan 40an sedang rancak berbual.

Melihat saya mereka lantas bangun dan bersalam.

Mereka semua ahli PAS barangkali kerana salah sorang dari mereka memakai baju T berlambang ARC.

Apabila saya dan teman yang bersama saya duduk dan memesan minuman, mereka kembali menyambung perbualan.

Dari perbualan mereka yang sempat saya dengar ialah luahan perasaan tidak puas hati mereka terhadap beberapa orang pimpinan.

Antara isi perbualan itu dapat saya simpulkan adalah perkara-perkara berikut:

  1. Ada beberapa orang Pimpinan dah berubah sikap. Kurang layan orang bawah.
  2. Whatsapp pun dah tak respon. Tidak seperti sebelum menang dan menjawat jawatan.
  3. Penampilan dah berbeza.
  4. Meninggalkan Group whatsapp. Sedangkan dulu rancak bersembang disitu.
  5. Dah mula sombong dengan kawan-kawan lama.
  6. Tamak. Seorang pegang sampai 2,3 GLC.
  7. Ada yang tegur SU dan PA pimpinan yang dikatakan lebih sudu dari kuah. Macam burung gembala kerbau kata mereka. Asyik bertenggek atas belakang.

Itulah beberapa perkara yang mereka rungutkan.

Selebihnya saya kurang jelas.

Kerana sesekali diselang-seli dengan gelak tawa mereka.

Teman-teman.

Suka saya berikan sedikit pandangan jika sesiapa dikalangan kita yang mahu luahkan rungutan yang sama.

1. Jangan begitu.

Kita berjuang untuk parti dan jamaah ini menang.

Kemenangan itu bertujuan mendaulatkan Islam.

Bertenanglah.

Berikan masa kepada pemimpin kita buat kerja.

Selagi kerja mereka ke arah kebaikan dan mengisi keperluan ummah dan negara serta tidak merugikan Islam, kita berikan sokongan sepenuhnya.

Adapun peribadi mereka itu adalah soal mereka dengan Allah.

Doakan mereka bergerak kearah kebaikan.

Mereka bukan manusia sempurna sebagaimana diri kita.

2. Letakkan sangkaan yang baik-baik kepada sahabat-sahabat kita itu.

Amanah yang mereka pikul itu sudah tentu menyempitkan ruang kosong dan waktu dalam kehidupan harian mereka.

Sudah tentu masa untuk mereka layan whatsapp dan mesej kita seperti dulu semakin sedikit.

Ruang tugas dan tanggungjawab mereka semakin luas.

Maka sudah tentu semakin ramai orang yang terpaksa mereka layani.

Mereka mengharapkan kita faham kerana kita orang lama bersama mereka.

Ada masa pasti mereka tidak akan lupakan kita.

3. Penampilan yang berubah?

Tidak. Kita perlu faham.

Mereka ada tugasan-tugasan yang berbeza dan terlibat dengan orang ramai yang berbeza dalam waktu-waku serta majlis yang berbeza.

Sudah tentu mereka terpaksa menyesuaikan pakaian dan penampilan yang sesuai dengan perubahan semua itu.

Biarlah mereka.

Selagi tidak melanggar hukum agama.

Jika sudah melepasi batas agama barulah kita nasihatkan mereka secara personal. Bukankah mereka sahabat kita?

4. Kelayakan mereka menyandang banyak jawatan itu adalah kerana kemampuan dan kebolehan mereka.

Mereka tidak merampas apa-apa hak kita.

Bila mereka bekerja dengan baik dan cemerlang, nama jamaah dan parti jugak yang harum.

Tidak mahukah nama jamaah kita harum?

Dulu ketika mereka menyandang banyak jawatan dan tugasan dalam parti kita tak irihati pun.

Kenapa?

Kerana jawatan dalam parti tanpa gaji bukan?

Teman-teman jangan hancurkan jamaah dan perjuangan ini hanya kerana melayan rasa hati kita.

Bangunkan jamaah dengan jujur dan ikhlas.

5. Jangan nilai orang dengan nilaian yang tidak adil, kerana orang juga mempunya nilaian terhadap kita.

Bersangka baiklah kepada teman-teman atau pimpinan kita.

Kalau kita anak buah satu jamaah ini tidak bersangka baik terhadap pimpinan kita, siapa lagi yang akan bersangka baik dan membantu mereka?

Musuh sudah tentu tidak akan pernah bersangka baik terhadap mereka.

6. Kalau PA atau SU kepada pimpinan kita itu tidak menyibukkan diri membantu pimpinan, siapa lagi yang akan membantu mereka?

Alhadulillah ada teman yang memperuntukan masa membantu.

Kalau harapkan kita belum tentu kita mampu melaksanakannya.

Lagipun kita sudah punya tugasan yang tak terselesaikan.

Teman-teman.

Menguruskan jamaah itu sukar.

Menguruskan negara itu sukar.

Tapi yang paling sukar MENGURUSKAN HATI.

Uruslah hati kita sebaiknya agar mudah kita menguruskan jamaah dan negara.


Ustaz Mokhtar Senik

Isu Semasa