Pencerahan Kes Pekebun Durian

Pencerahan Kes Pekebun Durian

Notis pengosongan tanah kerajaan kepada pekebun durian digantung hari ni di mahkahmah. (1)

Ini bermaksud pekebun durian tidak perlu mengosongkan tanah seperti yang diarahkan oleh Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Perhutanan.

Anda mungkin tertanya kenapa benda ini boleh berlaku sekiranya peneroka tanah ini betul-betul masuk kawasan hutan simpanan tanpa kebenaran kan?

Hah. Seperti yang saya nyatakan dalam penulisan saya ada kemungkinan pekebun semua ni diberikan kelulusan separuh oleh jabatan yang tak sepatutnya berikan kelulusan, sebab itu pekebun semua ni berani masuk dan mengusahakan tanah itu.

Tapi perkembangan ini telah memberi pencerahan sedikit lagi mengenai isu ini.

Sebelum saya mengulas lebih, anda semua kena faham bahawa arahan dari mahkamah ini adalah sementara waktu sahaja.

Ia akan disemak semula apabila pendengaran kes bermula pada 28 Oktober 2020.

Hakim boleh bagi arahan sebegini apabila kesemua fakta mengenai kes itu tidak jelas dan untuk memastikan tiada apa terjejas sehingga hari pendengaran tersebut, semuanya dibenarkan seperti asal (iaitu sebelum notis mengosongkan tanah dikeluarkan).

Okay, jadi apa yang kita boleh pastikan dari apa yang dilaporkan?

Yang pertama: “Mereka sudah lama mengusahakan tanah itu, ada dalam kalangan mereka (pekebun) mengusahakan dusun durian sejak 1961.

Kini mereka hanya mahukan keputusan yang adil.”

Sudah 59 tahun pekebun pertama memulakan aktivitinya.

Ini tidak bermaksud kesemua pekebun bermula pada 1961, hanya pekebun pertama saja.

Ada kemungkinan pekebun yang lain ada sejarah 10 tahun saja.

Kita akan ketahui lebih lanjut bila pendengaran kes ini berlangsung.

Kedua: “Sebelum ini mereka pernah memohon kepada kerajaan negeri untuk mengusahakan tanah secara sah, tetapi ditolak dengan alasan berada dalam kawasan hutan simpan.”

Maksudnya aktiviti mereka di atas tanah kerajaan diketahui secara rasmi dah tindakan penguatkuasaan tidak diambil masa permohonan dibuat.

Bila permohonan itu dibuat?

Itu tidak dinyatakan dan kita akan tahu selebihnya nanti.

Ketiga: “… kes itu dibawa ke mahkamah selepas beberapa keputusan kerajaan negeri berhubung notis mengusir anak-anak guam kami dari tanah-tanah berkenaan.”

Kerajaan telah memberikan notis kepada semua pengusaha.

Maksudnya kerajaan kenal setiap tanah yang diusahakan untuk memberi notis itu dan ini menunjukkan bahawa terdapat aktiviti perhubungan yang lebih daripada tetiba saja kerajaan dapat tahu ada penceroboh di kawasan perhutanan.

Tindakan ini hampir sama tindakan yang diambil ke atas penghuni rumah setinggan di mana kerajaan juga tahu mereka berada di kawasan itu dan kebiasaannya tidak mengambil tindakan untuk halau penghuni setinggan tetapi membiarkan syarikat peribadi yang telah membeli tanah itu untuk mendapatkan perintah mahkamah menghalau penghuni setinggan keluar dari tanah tu.

Kalau kes ini betul-betul disebabkan kerajaan terkejut mengenai pencerobohan hutan, mereka tidak perlu melalui proses ini dan boleh terus membawa semua pekebun itu ke mahkamah seperti yang dikenakan kepada seorang bekas tentera yang juga menceroboh hutan simpan kekal dan dipenjarakan dua tahun. (2)

Sebab itulah saya kata adanya hubungan di antara pekebun dan kerajaan yang tidak jelas lagi.

Jadi saya nak minta semua bersabar sikit dan biar kesemua pihak (pekebun, kerajaan dan syarikat swasta) menunjukkan apa-apa fakta yang mereka ada pada 28 Oktober nanti.

Peace.

Mak Khuin Weng – マク

  1. Notis pengosongan tanah kerajaan digantung – https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/08/725566/notis-pengosongan-tanah-kerajaan-digantung
  2. Bekas tentera dipenjara 2 tahun, denda RM50,000 ceroboh hutan –
    https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/11/2016/12/220884/bekas-tentera-dipenjara-2-tahun-denda-rm50000-ceroboh-hutan
Isu Semasa