Siri 9 (9 Muharram 1442)
Para ilmuan Islam dalam bidang pemikiran politik telah membangunkan ilmu ini semenjak Ibnu Abi Rabi’ (m. 273H) menulis Suluk al-Malik fi Tadbir al-Mamalik, iaitu sebuah karya sains politik Islam yang terawal.
Ia boleh dikatakan berada dalam kelompok yang sama dengan Ibnu Muqaffa’ (m. 139H) dan Ibnu Qutaibah (m. 276H) yang menulis tentang adab raja-raja, Abu Yusof (m. 181H), Yahya Adam al-Quraisy (m. 204H) dan Abu Ubaid al-Qassim (m. 223H) yang menulis tentang kewangan negara, as-Syaibani (189H) yang menulis tentang hubungan antarabangsa.
Tetapi Ibnu Abi Rabi’ adalah yang terawal menerokai sains politik Islam secara khusus termasuk tentang pembinaan negara kota, bentuk-bentuk pemerintahan dan syarat-syarat perlantikan ketua negara.
Berselang dua dekad kemudian, telah lahir tokoh-tokoh generasi baru dalam pemikiran politik Islam seperti al-Mawardi (m. 450H), Abu Ya’la al-Farra’ (m. 458H) dan al-Juwaini (m. 476H).
Mereka boleh dikatakan sebagai pelopor terpenting tentang sains politik Islam, sebelum lahirnya Ibnu Taimiyah (m. 728H), Ibnu Jumaah (m. 749H) dan Ibnu Qayyim (m. 751H).
Berselisih dengan Ibnu Qayyim itu, lahir pula seorang tokoh pemikir besar politik Islam di sebelah barat, iaitu Ibnu Khaldun (m. 806H).
Maka, di dalam ilmu fiqh siyasah atau sains politik Islam, boleh dikatakan mereka inilah yang menjadi rujukan utama, dengan al-Mawardi dan Ibnu Khaldun sebagai tokoh terbesar di dalam ilmu ini.
Ibnu Taimiyah juga turut dianggap pemikir terbesar pada zaman kekacauan politik selepas penyerbuan Hulagu Khan ke atas Baghdad pada 656H/1258M.
Al-Mawardi Dan Ibnu Khaldun
Al-Mawardi atau nama sebenarnya Abu Hassan Ali ibn Muhammad ibn Habib al-Mawardi (Albocen) dilahirkan di Basrah pada 361H.
Beliau berkhidmat sebagai seorang diplomat pada zaman Khalifah al-Qahir dan Khalifah al-Qaim, sebelum menjadi Qadhi al-Qudha’ (Ketua Hakim Negara) di Baghdad.
Beliau menghasilkan empat karya politik Islam iaitu Qanun al-Wazarah, Kitab Nasihat al-Muluk, Kitab Aadab ad-Dunya wa ad-Diin dan Ahkam as-Sulthaniyah wa al-Wilayah ad-Diiniah.
Melalui Ahkam as-Sulthaniyah inilah, al-Mawardi mengembangkan pemikiran politik Islam sehingga membentuk kerangka yang kukuh tentang sains politik Islam.
Beliau hidup pada zaman transisi di antara pengaruh Bani Buwaiyh dan Saljuk di dalam Daulah Abbasiyah.
Ibnu Khaldun pula ialah Abdul Rahman ibn Muhammad ibn Khaldun yang dilahirkan di Tunis 732H.
Beliau mempunyai latar belakang yang menarik kerana pernah berkhidmat sebagai setiausaha sultan di Tunisia dan Moroko, kemudian menjadi duta di Granada dan Perdana Menteri kerajaan Hasfiyun, sebelum menjadi profesor Universiti al-Azhar dan dilantik sebagai Hakim Diraja oleh Sultan Abul Abas di Cairo.
Beliau telah menulis 11 buah kitab, termasuk tiga daripadanya membicarakan tentang politik iaitu Muzil al-Manam an Hukkam al-Anam, Wasf Bilad al-Maghrib dan Kitab al-Ibar.
Kitab al-Ibar atau nama sebenarnya ad-Diwan al-Mubtada’ wa al-Khabar fi Ayyam al-Arab wa al-A jam wa al-Barbar wa man Asarahum min Daul as-Sulthan al-Akbar.
Pengenalan buku ini terkenal sebagai al-Muqaddimah.
Beliau hidup pada zaman pergolakan di Granada, kelemahan Mamalik di Mesir dan serangan Timur Lenk di Syam.
Al-Mawardi Dan Ibnu Khaldun Memandang Syarat Perlantikan Khalifah
Persoalan tentang syarat kelayakan sebagai khalifah telah disentuh terlebih dahulu oleh Ibnu Abi Rabi’ (m. 273H) dan juga al-Farabi (m. 339H).
Tetapi al-Mawardi telah memperkatakan dengan lebih serius kemudiannya dengan menyenaraikan tujuh syarat kelayakan seorang khalifah.
Dalam pemikiran politik Islam, pandangan al-Mawardi ini sering dirujuk sebagai syarat kepemimpinan dalam Islam.
Kemudian Ibnu Khaldun pula telah menyenaraikan empat syarat asas, dan mengoreksi semula beberapa pandangan para ulamak tentang kedudukan Quraisy sebagai syarat kepemimpinan.
Dalam hal syarat ini, kedua-dua pemikir besar ini pada asasnya tidak berselisih, tetapi berbeza dalam melihat keutamaan.
Al-Mawardi menyenaraikan tujuh syarat iaitu:
i) adil,
ii) berilmu yang boleh berijtihad,
iii) sihat panca indera,
iv) sihat anggota badan,
v) kekuatan fikiran untuk memimpin,
vi) berani membela rakyat dan menentang musuh, dan
vii) berketurunan Quraisy.
Sedangkan Ibnu Khaldun menggariskan lima syarat asas iaitu:
i) berilmu, ii)
adil,
iii) berkemampuan melaksanakan tugas kepemimpinan,
iv) sempurna anggota badan dan panca indera, dan
v) Quraisy.
Jika diperhatikan secara umum, senarai syarat yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun tidak banyak berbeza dengan apa yang disebut oleh al-Mawardi.
Tetapi perlu difahami, terdapat dua perbezaan besar di dalam dua senarai ini.
Pertama, al-Mawardi meletakkan adil sebagai syarat pertama, diikuti oleh berilmu.
Sedangkan Ibnu Khaldun meletakkan ilmu sebagai syarat pertama, diikuti oleh adil.
Perbezaan ini menunjukkan bahawa kedua-dua ilmuan ini membuat rumusan berdasarkan pengalaman dan keadaan politik semasa sehingga membezaan keutamaan syarat tersebut menurut mereka.
Al-Mawardi yang hidup di Baghdad pada zaman al-Qahir (381-422H) dan al-Qaim (422-467H), di mana ketika ini pengaruh Bani Buwaiyh yang bermazhab Syiah telah merosot dan diganti oleh Bani Saljuk mulai 428H/1037M.
Bani Saljuk berjaya melahirkan para pemimpin hebat seperti Tugril Beg, Alp Arslan, Malik Shah I dan Perdana Menteri Nizamul Muluk.
Kemunculan kepemimpinan Saljuk ini telah memperkasakan Daulah Abbasiyah di bawah Khalifah al-Qaim, maka kerana itu, keadilan menjadi sangat penting dalam mengukuhkan kestabilan negara, lalu sifat adil itulah yang diutamakan oleh al-Mawardi.
400 tahun kemudian, Ibnu Khaldun yang melalui pergolakan dan krisis politik di Tunisia, Moroko, Granada, Hafsiyun dan Mamalik telah melihat pergolakan dan kelemahan ini berpunca daripada para pemimpin yang kurang berilmu yang menyebabkan berlakunya kezaliman.
Beliau yang berkhidmat di bawah Sultan Barquq Mamalik sejak 784H, juga telah menyaksikan bagaimana Syam telah dilanda oleh tentera Timur Lenk yang berbangsa Mongol pada 803H serta lemahnya pengaruh khalifah Daulah Abbasiyah di Mesir pada zaman al-Mutawakkil I, al-Wathiq II dan al-Musta’shim II antara 763-809H.
Untuk membentuk semula kerajaan Islam yang adil, Ibnu Khaldun meletakkan berilmu sebagai syarat utama kepemimpinan.
Kedua, tentang kedudukan berbangsa Quraisy sebagai syarat.
Kedua-dua al-Mawardi dan Ibnu Khaldun meletakkannya sebagai syarat terakhir, tetapi al-Mawardi menganggapnya penting berdasarkan ijmak Sahabat di Saqifah Bani Saidah yang mengambil ketetapan berdasarkan hadis Nabi SAW tentang kepemimpinan dari Quraisy.
Dalam tradisi Islam sendiri, sejak Khulafa’ ar-Rasyidin, Daulah Umayyah dan Daulah Abbasiyah, semua khalifah adalah berbangsa Quraisy.
Sedangkan Ibnu Khaldun telah melalui pemerintahan orang Barbar di utara Afrika, bangsa Turki Mamalik di Mesir, bangsa Saljuk di Syam dan juga bangsa Mongol, manakala Daulah Abbasiyah yang berbangsa Quraisy di Mesir sangat lemah dan menjadi simbol politik sahaja.
Atas asas ini, Ibnu Khaldun telah memberi makna semula terhadap konsep ‘Quraisy’ sebagai syarat kepemimpinan.
Beliau melihat perpuakan bangsa yang kuat atau disebut sebagai asobiyah merupakan teras kekuatan seseorang pemimpin.
Pengkajian Ibnu Khaldun ke atas kerajaan-kerajaan bangsa Arab, Barbar dan bangsa-bangsa Ajam (bukan Arab) telah memahamkan beliau tentang peranan Quraisy sebagai kabilah terkuat di kalangan bangsa Arab, lalu mereka paling layak menjadi pemimpin.
Ibnu Khaldun berpandangan bahawa Quraisy bermaksud bangsa terkuat yang menjadi tulang belakang sesebuah negara, mesti menjadi pemimpin.
Jika bangsa minoriti yang memimpin, keadaan politik akan hilang kestabilan.
Beberapa Iktibar
Setelah memahami perbezaan tanggapan tentang syarat kelayakan kepemimpinan menurut al-Mawardi dan Ibnu Khaldun, maka kita boleh memerhatikan kedudukan politik semasa di negara kita.
Pertama, keadaan politik yang penuh dengan penyelewengan, kezaliman dan salah laku.
Kenapa hal demikian berlaku?
Para pemimpin yang adil tidak akan dapat diwujudkan walaupun kita telah tiga kali bertukar kerajaan dalam masa lima tahun.
Kita telah menyerahkan kerajaan kepada pemimpin yang tidak berilmu dengan ilmu Islam.
Seperti mana al-Mawardi memandang keilmuan yang dimiliki oleh bangsa Saljuk menjadi faktor kekuatan Daulah Abbasiyah dan kesedaran Ibnu Khaldun terhadap kezaliman yang berlaku pada zamannya yang berpunca daripada pemimpin yang tidak berilmu.
Maka, sewajarnya kepemimpinan ulamak diberikan tempat.
Kedua, keadaan politik yang tidak stabil di negara ini bermula dengan pemimpin bangsa Melayu yang telah melakukan penyelewengan, kemudian bangsa bukan Melayu yang minoriti mendapat kuasa politik.
Bangsa Melayu telah berpecah kerana hilang kesedaran asobiyah mereka.
Perpaduan bangsa Melayu sangat penting, kerana Melayu adalah Quraisy bagi Malaysia.
Jika bangsa Melayu tidak menguasai politik dan menjadi pemimpin negara ini, keadaan politik akan hilang kestabilan dan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi.
Dalam konteks ini, pandangan Ibnu Khaldun adalah lebih relevan kerana bangsa yang terbesar atau tulang belakang sesebuah negara menjadi penentu kestabilan politiknya.
Mohd Fadli Ghani