SOALAN:
Soalan saya berkenaan niat mufaraqah dari imam dalam solat berjemaah.
Masa manakah ia dibolehkan dan masa mana tidak dibolehkan?
JAWAPAN:
Bermula niat mufaraqah yaitu makmum yang sedang solat mengikut imam hendak memutuskan ikutannya dengan imam untuk solat sendirinya ada baginya lima hukum yaitu adakalanya wajib dia niat mufaraqah dan adakalanya sunat dan adakalanya harus dan adakalanya makruh dan adakalanya haram.
Berkata Syed Abdul Rahman Ba’lawi:
والحاصل أن قطع القدوة تعتريه الأحكام الخمسة واجبا ، كأن رأى إمامه متلبسا بمبطل وسنة لترك الإمام سنة مقصودة ، ومباحا كأن طول الإمام، ومكروها مفوتا لفضيلة الجماعة إن كان لغير عذر ، وحراما إن توقف الشعار عليه أو وجبت الجماعة كالجمعة اهـ.
Artinya: “Dan kesimpulannya bahawa memutuskan ikutan berjemaah itu bergantung kepada segala hukum syarak yang lima perkara yaitu wajib seperti dia melihat imam berbuat suatu yang membatalkan dan sunat kerana imam meninggalkan sunat yang dituntut dan harus seperti imam memanjangkan solat dan makruh yang meluputkan fadhilat berjemaah jika ada ia tanpa uzur dan haram jika terhentilah syiar atasnya atau jemaah adalah wajib seperti solat jumaat.”
(Kitab Bughyah Al-Murtassyidin)
KETERANGAN
Terkadang niat mufaraqah dari imam itu wajib apabila imam melakukan satu perbuatan yang membatalkan solat contohnya imam melakukan pergerakkan yang banyak.
Dan sunat niat mufaraqah pada ketika imam meninggalkan sunat yang sangat dituntut dalam solat seperti imam meninggalkan baca tasyahhud awal.
Dan harus niat mufaraqah contohnya pada masalah imam membaca terlalu panjang atau makmum sakit atau ada baginya hajat.
Dan makruh niat mufaraqah seperti mufaraqah tanpa sebarang hajat dan ia menyebabkan luput fadhilat berjemaah.
Dan haram mufaraqah itu apabila terhenti atas dirinya syiar misalnya pada solat berjemaah itu hanya dia dan imam yang solat maka jika dia mufaraqah tinggallah imam seorang diri tiada jadi padanya berjemaah atau pada solat jumaat yang jadi tidak sah jumaat dengan sebab makmum tersebut
mufaraqah.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus