Kampung Budaya Terengganu di Losong di sini yang beroperasi mulai hari ini menjadi tarikan pelancongan terbaharu negeri tersebut.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kampung Budaya Terengganu tersebut berkonsepkan muzium hidup yang menonjolkan kesemua kesenian, budaya dan warisan tradisional terdapat di lapan daerah di negeri tersebut.
“Pakej berkonsep pelancongan warisan ini menyediakan tujuh segmen termasuk seni bina lima rumah tradisional Melayu Terengganu iaitu Istana Tengku Long, Rumah Tele, Rumah Limas Belanda, Rumah Bujang Berkembar dan Rumah Bujang berserambi Selasar,” katanya selepas merasmikan Kampung Budaya Terengganu di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, antara tarikan yang terdapat di Kampung Budaya Terengganu tersebut ialah demonstrasi pembuatan perahu, jala, keropok, ikan kering, seni khat, bubur Asyura, keris, lembing, wau, gasing, batik dan songket.
Beliau berkata, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan silat, gamelan, berzanji dan menikmati makanan dan kuih tradisional Terengganu.
“Lokasi Kampung Budaya Terengganu ini amat strategik bersebelahan dengan Muzium Negeri dan berhampiran dengan Taman Tamadun Islam selain tidak jauh dari pusat bandar dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
“Kemasukan sehingga 6 September (Ahad) ini adalah percuma sempena pembukaan perkampungan budaya tersebut,” katanya.
K! ONLINE