PAS Sambut Baik Pembangunan Maahad Tahfiz Sains Teknikal

PAS Sambut Baik Pembangunan Maahad Tahfiz Sains Teknikal

Lajnah Pendidikan PAS Kedah menyambut baik usaha kerajaan negeri Kedah membangunkan Maahad Tahfiz Sains Teknikal seperti yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Haji Muhammad Sanusi Md Noor pada hari pelancaran Pelan Pembangunan Kedah 2035 di Seri Mentaloon, baru-baru ini.

Maahad yang berkonsepkan gabungan displin diantara teras tahfiz al-Quran, sains dan teknikal membuktikan kerajaan negeri amat serius dalam membangunkan modal insan yang mantap dan seimbang di antara keperluan duniawi dan ukhrawi.

Cetusan idea berkenaan dapat memperkaya dan menyemarakkan lagi kluster institusi pendidikan Islam yang sememangnya wujud sejak sekian lama di bumi Kedah sebagaimana Sekolah Agama Rakyat berbentuk Nidzomi, institusi pondok serta maahad tahfiz al-Quran seperti yang diusahakan oleh rakyat negeri ini dengan pemantauan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah.

Justeru itu, penubuhan maahad berkenaan yang menjadi projek rintis kepada cabang-cabang maahad tahfiz al-Quran beraliran sains teknikal diharapkan dapat memenuhi keperluan negeri selaras dengan pelan pembangunan 2035 untuk melahirkan insan rabbani yang seimbang dari sudut keilmuan sains moden dan berakhlaq mulia.

Sehubungan dengan itu, Lajnah Pendidikan PAS mengharapkan supaya projek pembangunan maahad tahfiz tersebut dapat berjalan dengan lancar, di samping memberikan laluan mudah kepada anak-anak yang ingin belajar di maahad berkenaan sebaik sahaja ia beroperasi.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Sheikh Fakhrurazi

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah

Dalam Negeri