“Setahu saya syarikat berhad yang tersenarai di Bursa sangat ketat pengawasannya jika dibandingkan dengan syarikat Sendirian Berhad,” demikian kata Ahmad Amzad Hashim menjawab tuduhan yang dibuat oleh Raja Kamarul Baharin melalui kenyataan medianya.
Menurut Amzad lagi syarikat berhad bukan sahaja di kawal selia di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, tetapi juga tertakluk kepada peraturan di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Kerana itu bila saya diajukan soalan petang tadi berhubung kenyataan Media oleh Pengerusi PAN Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin yang menuduh TDM Berhad, Syarikat Awam milik kerajaan Terengganu melalui Terengganu Incorporated, dengan andaian-andaian liar seperti kononnya tidak menghantar annual return 2017,2018 dan 2019 (3 tahun berturut turut!?) dan tidak menghantar laporan beraudit 2019 saya merasa agak aneh dan sangat keterlaluan,” kata Amzad lagi.
Suruhanjaya Sekuriti usahkan 3 tahun berturut-turut gagal menghantar annual return, setahun pun teruk akibatnya bagi syarikat yang tersenarai di Bursa.
Itu belum lagi Mesyuarat Agong Tahunan Syarikat yang perlu ada Laporan Tahunannya.
Setiap maklumat berkenaan syarikat awam akan memberi kesan kepada sentimen pasaran dan mempengaruhi harga saham.
Lupakah kita, kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh Mantan Menteri Kewangan dari Pakatan Harapan begitu sekali menjejaskan Pasaran Saham yang menjatuhkan harga begitu banyak saham syarikat awam yang sebahagiannya dimiliki oleh GLC seperti Khazanah, Tabung Haji dan Lembaga Angkatan Tentera yang terpaksa menanggung akibatnya.
Rakyat akhirnya terpaksa menanggung.
Dato’ Raja Bahrin tidak sepatutnya melontarkan kenyataan yang membangkit persepsi yang merugikan syarikat milik awam yang rakyat Terengganu memiliki kepentingan ini.