Umat Melayu Bakal Bebaskan Al-Aqsa?

Umat Melayu Bakal Bebaskan Al-Aqsa?

Dengan terjalinnya hubungan antara Israel dan UAE, serta kelunakan negara-negara Arab terhadap negara haram Israel, semakin jelas kepada kita bahawa dunia Arab tidak akan mampu lagi untuk membebaskan Jerusalem (al-Aqsa) daripada cengkaman Zionis.

Ketidak-mampuan ini membawa kepada teori pembebasan al-Aqsa oleh umat bukan Arab.

Mata-mata tersembunyi organisation dan teori-teori konspirasi menghala ke arah Alam Melayu atau Bani Jawi, kononnya al-Aqsa akan dibebaskan oleh umat Islam dari alam Melayu, Bani Jawi dan Asia Tenggara.

Alam Melayu pula telah lama diusahakan untuk dimusnahkan, dicaca-merbakan, dijajah, dan digelapkan sejarah ketamadunan dan kehebatannya agar umat Melayu tidak bangkit untuk mendominasi dunia.

Kita pernah belajar bahawa empayar-empayar Melayu pernah menguasai dunia dengan cara tersendiri, menguasai laut dan darat, menguasai jalan perdagangan dunia, menguasai bidang-bidang ilmu dan bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan dunia (Lingua Franca) untuk dipertuturkan oleh dua native yang berbeza bahasa.

Potensi Melayu untuk membebaskan al-Aqsa sememangnya ada jika merujuk kepada sejarah kehebatannya yang lampau.

Maka sejarah ini mesti dipadam, umatnya mesti dilunyai dan dijajah.

Pemikiran mereka mesti disibukkan dengan perebutan kuasa sesama sendiri.

Jadikan mereka satu bangsa yang diselubungi inferiority complex, maka mereka akan sukar untuk bangkit semula.

Suara-suara cerdik pandai Melayu, alim ulamak, pengkaji-pengkaji alam Melayu yang mahu kembali mencerahkan umat Melayu dengan sejarah-sejarah keagungan ummah, menggusarkan musuh-musuh yang berselindung dalam apa jua bentuk.

Apabila orang-orang politik Melayu juga mula memandang sejarah dan kehebatan nenek moyang Melayu sebagai inspirasi kebangkitan ummah, ia akan lebih memangkin kebangkitan.

Musuh-musuh tidak takut kepada kekuatan persenjataan orang-orang Melayu, kerana hari ini mereka mempunyai teknologi senjata yang canggih juga.

Tetapi attribute kuasa diplomatik orang-orang Melayu mungkin menjadi senjata besar untuk membebaskan al-Aqsa.

Bagaimana?

Siapa tahu.

Mata-mata yang memerhati alam Melayu hari ini tertumpu kepada Malaysia, Brunei dan Indonesia, kerana ketiga-tiga negara ini masih mempunyai jatidiri Melayu yang kuat berbanding Filipina, Thailand, Kemboja, Vietnam dan sebagainya yang telah hampir 100% diganyang penjajah.

Sejarah pernah mencatatkan bahawa penjajah Inggeris mengkagumi kehebatan orang-orang Melayu melawan penjajahan.

Kapten Sherard Osborn, pegawai Tentera Laut British ketika mencatat peristiwa perang Kedah-Siam, pernah berkata:

“Seperti anjing pribumi (orang India) di sepanjang pesisir pantai semenanjung India menjilat tangan yang mendera mereka.

“Tetapi tidak bagi orang Kedah!

“Dan kita orang Inggeris seharusnya menjadi yang pertama memuliakan bangsa yang tidak tunduk kepada kekejaman,”

Bangsa Arab sudah hilang taringnya terhadap kekuatan Israel.

Bangsa Afrika juga telah dilemahkan berabad lamanya.

Bangsa Cina mahu menguasai ekonomi dunia sahaja.

Andai bangsa Melayu bangkit semula menguasai dunia, teori al-Aqsa akan dibebaskan oleh orang Nusantara mungkin menjadi nyata.

Jika kita teropong dengan cara lutsinar ke dalam negara kita, apakah kita ada potensi yang disebut-sebut dalam teori-teori pembebasan al-Aqsa itu?

Sebelum ini saya pernah menulis, jika gandingan Tun Mahathir – DS Anwar – TG Haji Hadi mengemudi negara tanpa prejudis dan mempunyai fikrah yang jelas, dan sama-sama mengembeling kekuatan, potensi yang ada pada diri masing-masing, pasti kita akan dapat lihat bunga-bunga pembebasan al-Aqsa hari ini.

TG Haji Abdul Hadi pernah menghadiri mesyuarat secara online dengan para ulama sedunia bagi membincangkan isu pembebasan al-Aqsa.

Namun saya berpandangan, ummah masih belum ada kekuatan untuk berbuat demikian, walaupun dilantik menjadi Duta Khas.

Perbincangan hanyalah perbincangan, melainkan ia diterjemah dalam bentuk kuasa-kuasa pemerintahan yang bergabung.

Jika dunia gerakan Islam memandang Malaysia sebagai tempat yang akan ada kebangkitan untuk membebaskan al-Aqsa, tentunya mereka memandang tiga watak yang telah disebutkan.

Sebahagian besar masih bernostalgia dengan ketegasan Tun Mahathir mengkritik PBB, Amerika dan Israel.

Sebahagian gerakan kontemporari melihat DS Anwar Ibrahim sebagai tokoh pembaharuan.

Dan tidak kurang, mereka menaruh harapan kepada Syeikh Abdul Hadi.

Namun, ketiga-tiganya sudah lewat usia.

Mereka secara adatnya, tidak akan sempat untuk melihat al-Aqsa dibebaskan.

Maka perjuangan mereka mesti disambung oleh anak-anak mereka, bahkan generasi seterusnya yang belajar dan mengharungi jalan perjuangan mereka.

Persoalannya, apakah anak-anak mereka atau murid-murid mereka mampu menggalas harapan ummah kepada mereka?

Dan paling utama, apakah ada jalan untuk kekuatan mereka digabungkan dengan satu kesatuan fikrah yang benar?

Kerana pertembungan sesama merekalah menjadi punca utama kita hilang kekuatan itu. Sekian

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

Luar Negeri