Di Terengganu, Muafakat Nasional (MN) terus diperkukuhkan walaupun ada sedikit kocakan oleh Ketua Perhubungan UMNO, Datuk Seri Ahmad Said (DSAS).
Sama ada beliau masih relevan untuk mengetuai UMNO Terengganu dalam persediaan menghadapi PRU15, itu urusan UMNO.
Bagi PAS, tangan-tangan yang saling berjabat dalam Perhimpunan Ummah di PWTC perlu digenggam erat.
Apakah kocakan yang dicetuskan oleh DSAS telah melunturkan semangat setiakawan sahabat-sahabatnya dari PAS?
Apakah MB Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Terengganu membalas balik usikan DSAS dengan mendedahkan segala kegagalan UMNO Terengganu sebagai memulangkan paku buah keras?
Tidak. Beliau menerima baik ucapan DSAS sebagai ‘check and balance’.
Yang tak patut keluar daripada mulut DSAS yang merupakan mantan MB itu ialah perkataan ‘bodo’ sehingga ajak berperang.
Fakta yang tidak tepat asalkan bukan berniat untuk fitnah, PAS boleh terima.
Pemimpin boleh perbetulkan fakta.
Yang rakyat nampak pongohnya ialah perkataan ‘bodo’ itu dengan lagak bukan selayaknya bergelar Yang Berhormat.
Dalam keadaan seperti itu, ADUN-ADUN PAS ‘cool’ sahaja.
Cuma YB Ustaz Alias Razak yang nampak naik angin sikit kerana batang tubuhnya dicabar.
Kenapa YB-YB PAS ramai berdiam diri sahaja dalam dewan apabila ada provokasi sedemikian?
Mengikut YB Ustaz Wan Shukairi, MB Dr Ahmad Samsuri telah mengarahkan YB-YB PAS jangan membalas provokasi DSAS.
Beri peluang DSAS lepas hawa.
Dalam sesi penggulungan, jawablah dengan fakta dalam aliran nada yang bersahaja demi perpaduan ummah.
Alhamdulillah, akhirnya episod itu berlalu dan tidak berpanjangan.
Apakah buktinya PAS ikhlas mahu menyatukan ummah?
Banyak contohnya untuk disenaraikan satu persatu.
Antaranya, sejak PAS mengambil alih kerajaan Terengganu, pemimpin PAS tidak pernah mengungkit apalagi memburuk-burukkan UMNO dengan kegagalan projek-projeknya semasa menjadi kerajaan.
PAS bukan seperti PH yang apabila dapat kuasa, yang ini salah BN, yang itu salah Najib.
Hal salah kerajaan BN dan Najib sahaja jadi wiridnya.
Hinggalah PH tersungkur terlentang.
Baru dia nampak indahnya bulan dan cantiknya bintang.
Sokongan parti tidak pernah menjadi kriteria dalam agihan dan skim bantuan oleh kerajaan PAS.
Ketika berkhidmat di Pejabat ADUN, kami tidak pernah menjadikan sokongan politik sebagai kriteria dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.
Betul-betul tiada niat untuk berlaku tidak adil apatah lagi berdendam dalam kepala kami.
Apatah lagi nak siasat pendirian politiknya.
Kami pilih sahaja atas dasar kelayakan.
Kami ziarah siapa sahaja yang sakit, miskin dan yang perlu dibantu.
Kami turun padang ke setiap lokasi musibah dan kematian.
Selain itu, dalam jawatankuasa masjid kita beri ruang dilakukan pemilihan AJK-AJK-nya yang dikehendaki oleh masyarakat setempat.
Dengan itu, jawatan kuasa masjid di Terengganu kini terdiri daripada pelbagai latar belakang sokongan parti.
Malah ada Pengerusi dan Setiausahanya sebenarnya terdiri daripada orang-orang UMNO.
Dan kita semua bekerjasama demi keharmonian masyarakat.
Apa yang menarik ialah pada tahun 2021 nanti, MPKK di Terengganu akan terdiri daripada orang-orang PAS, UMNO dan BERSATU.
Itulah usaha PAS Terengganu melalui kerajaannya yang diterajui oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri dalam merealisasikan kesepakatan MN dengan berteraskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
Kalaulah PAS tidak ikhlas seperti yang dikatakan oleh DSAS, PAS tidak beramal dengan politik sematang begitu.
Jadi rakyat Terengganu khususnya, Melayu/Islam keseluruhannya hendaklah berpegang kepada penyatuan ini.
Kalau ada yang tiris, kita pakat tampung.
Kalau ada yang longgar, kita pakat perkemaskan.
Adatlah ada sikit-sikit ketidakserasian.
Sedangkan lidah lagi tergigit.
Duduklah atas titik persamaan, jarakkan perbezaan.
Sudah 6 dekad kita berbalah.
Adakah nak ditambah sedekad lagi?
Adakah perbalahan ini hendak kita wariskan kepada anak cucu kita?
Cukuplah sekali DAP/PH mengganyang agama dan bangsa kita.
Justeru, bagaimanakah mood PRU nanti apabila UMNO, PAS dan BERSATU telah bersatu?
Lawan kita PAN/PKR/PH.
Atau PEJUWANG masuk bertanding.
Parti Syed Saddiq pun mencuba nasib?
Lantaklah mereka dengan cerdik tak boleh diikut, bodo tak boleh diajar.
Kita sama kita pakat berjamu pisang goreng dengan kerpok lekor sajalah di markas-markas Muafakat Nasional.
Malam-malam main bendera dengan anak bini.
Selepas menang, PAS, UMNO, BERSATU, kali ini kita jamu nasi beriani.
BayangDiAir