Saya mendengar rakaman Ucapan Ustaz Dr Kamil Abdul Majid, seorang bekas ahli akademik UM yang menyertai PAN kelmarin.
Beliau diumumkan oleh agen-agen media PAN sebagai seorang tokoh ulamak yang akan menyertai PAN.
Saya tidak tertarik dengan penyertaan beliau ke dalam PAN, apatah lagi tertarik dengan PAN.
Apa pun, itu hak beliau untuk membuat keputusan politik bagi dirinya sendiri.
Saya no komen!
Yang menarik perhatian saya ialah kenyataan beliau ketika berucap dalam majlis itu.
Katanya, kekuatan politik Kelantan adalah gabungan di antara istana, ulamak, bijak pandai, ahli perniagaan dan rakyat marhaen.
Lalu ditegaskan oleh beliau supaya PAN Kelantan jangan bergaduh dengan istana.
Saya terfikir sendiri, adakah Ustaz Kamil menyindir Husam Musa, tokoh utama PAN Kelantan yang diketahui umum ‘bergaduh’ dengan Istana Kelantan, terutama sejak Sultan Mohamad V memangku jawatan Raja Kelantan.
Pasti ramai rakyat Kelantan perasan dan tahu kisah pergolakan dalam Istana Kelantan sejak geringnya Almarhum Sultan Ismail Petra.
Perselisihan Husam dengan istana itu menjadi punca namanya dipindahkan ke Putrajaya pada 2008 dan hampir tercicir dari senarai calon di DUN Salor.
Seusai PRU 2018 itu, nama Husam terkeluar dari senarai Exco Kerajaan Negeri Kelantan, bukan kerana YAB MB Kelantan membuangnya, tetapi kerana tidak diperkenan oleh Sultan Mohamad V.
Husam juga pernah dihalang daripada memasuki kompleks pejabat kerajaan di Kota Darulnaim dan kemuncaknya, bintang kebesaran bergelar ‘Datuk’ ditarik oleh pihak istana.
Semua kisah ini menjadi rahsia umum bagi rakyat Kelantan.
Bahkan ia berlegar di dalam media massa.
Di kalangan orang-orang politik, semua orang berkata, perbalahan dengan istana inilah yang ‘membunuh’ karier politik Husam di Kelantan.
Tiba-tiba Dr Kamil menyebut, jangan berbalah dengan istana!
Kepada siapa peringatan ini ditujukan?
Sebagai orang kuat MAIK, adakah Dr Kamil memberi nasihat dan menyindir si dia?
Saya bertanya je…
Mohd Fadli Ghani