Media Pro Amanah Yang Kurang Cermat

Media Pro Amanah Yang Kurang Cermat

Saya difahamkan oleh sahabat saya, Prof Datuk Dr Mohd Zulkifli Mohd Yusoff, bahawa Dr Mohamad Kamil Abdul Majid telah bersara dari jawatan beliau selaku pensyarah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, sejak dari tarikh 4 September 2015 lagi.

Tetapi media pro AMANAH, mungkin di dalam keterujaannya untuk menonjolkan ketokohan beliau, masih merujukkan beliau sebagai pensyarah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, tanpa sebarang pembetulan.

Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Dr Mohamad Kamil Abdul Majid, malah saya juga mempunyai hubungan peribadi yang agak baik dengan kekanda beliau, Prof Emeritus Dato’ Paduka Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Saya biasa bertegur sapa dengan beliau dalam beberapa sesi sidang meja bulat.

Saya juga menghormati pilihan beliau untuk berdakwah melalui AMANAH apatah lagi untuk berdakwah kepada orang-orang AMANAH seperti yang beliau sebutkan itu.

Cuma, pada pandangan saya, kemasukan hanya seorang pemegang ijazah PhD tidak akan memberi kesan besar kepada AMANAH.

Lainlah jika yang masuk serentak ke dalam AMANAH atau jika yang menyatakan sokongan kepada AMANAH itu ialah 20 atau 30 pemegang ijazah PhD.

Antara banyak-banyak komen kawan-kawan beliau dan kawan-kawan saya di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dahulu, dua komen ini adalah yang paling menarik:

(1) Tidak mengejutkan Dr Mohamad Kamil masuk AMANAH, kami sudah boleh jangka dari awal lagi dengan fikrahnya dan dengan lingkungan kawan-kawannya yang begitu.

(2) Baguslah Dr Mohamad Kamil masuk AMANAH, ia akan bolehkan masyarakat ramai sedar dan akan lebih berhati-hati dengan apa juga kenyataan yang dia buat selepas ini.

Kamarul Yusoff

Politik