Elaun Pencari Kerja Belia Melalui Takaful Pekerjaan Malaysia
Setakat ini, elaun pencari kerja di Malaysia hanya tersedia untuk para pekerja sedia-ada yang kehilangan pekerjaan dan mencarum dalam program ‘Employment Insurance Scheme’ (EIS) melalui PERKESO.
Tiada elaun khusus kepada para pencari pekerja yang baru memasuki pasaran pekerjaan selepas pengajian mereka.
DPPM ingin mencadangkan agar program ‘Employment Insurance Scheme’ (EIS) ini ditambah-baik dan dijenamakan semula sebagai Takaful Pekerjaan Malaysia dengan memperkenalkan elaun khas kepada semua pencari pekerja belia pertama kali sekurang-kurang RM 500 sebulan selama 6 bulan dengan syarat dan kelayakan tertentu.
Para pencari kerja belia pertama kali ini wajib berdaftar dengan platform pemadanan kerjaya nasional yang dicadangkan sebelum ini dan aktif menggunakan platform tersebut bagi mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.
Selain daripada menilai keaktifan para pencari kerja belia dalam portal ini, syarat penyertaan dalam program-program khusus anjuran agensi-agensi berkaitan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan pembangunann ‘softskills’ mereka juga harus diambil-kira dalam menilai kelayakan pencari kerja belia untuk menerima bantuan elaun khas ini.
Program ini dianggarkan bernilai RM 1.2 bilion ini bakal membantu hampir 400,000 orang belia yang masih menganggur dalam menampung kos sara hidup mereka dalam situasi pandemik Covid-19 sementara mereka mencari pekerjaan yang sesuai dalam jangka masa transisi yang disebutkan tadi.