Perluasan Peluang Pekerjaan Dalam Sektor Awam Dan Badan Berkanun
Dalam konteks penguncupan ekonomi Malaysia akibat pandemik Covid-19, peranan kerajaan sememangnya kritikal dalam memastikan ‘domestic demand’ akan terus mapan.
Di samping pakej rangsangan ekonomi sedia-ada, DPPM ingin mencadangkan agar peluang pekerjaan dalam sektor awam diperluaskan bagi menampung keperluan tenaga buruh semasa.
Sebagai contoh bagi urusan pemantauan awam (public surveillance) dan pemantauan kepatuhan (compliance monitoring) dalam konteks mengawal pandemik Covid-19, keperluan kepada penglibatan pihak polis dan Jabatan Pertahanan Awam dilihat mustahak dan harus diperluaskan sekurang-kurangnya untuk jangka masa 2 tahun akan datang.
Selain itu, aspek pengajaran dan pembelajaran melalui atas talian baik di peringkat sekolah mahupun universiti yang pastinya perlu beradaptasi dengan norma baharu boleh disokong dengan penglibatan fungsi pekerjaan baharu yang menyokong fungsi guru dan para pendidik.
Ini bermakna, pihak sekolah ataupun universiti boleh memperluaskan tawaran fungsi pekerjaan staf sokongan dalam bidang ICT bagi meringankan beban warga pendidik di samping memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan universiti.
Di samping itu, dalam memastikan segala program yang telah dilancarkan melalui ketiga-tiga Pakej Rangsangan Ekonomi setakat ini berjalan lancar, keperluan untuk memastikan proses perlaksanaan yang jitu dan menyeluruh boleh dipastikan dengan lebih berkesan dengan meningkatkan kapasiti sektor awam khususnya dalam aspek pemantauan perlaksanaan dan penguatkuasaan program-program berkaitan.
Semua ini diyakini mampu meningkatkan prestasi keberkesanan sistem penyampaian kerajaan agar manfaat pakej-pakej rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan dapat dinikmati oleh seluruh peringkat rakyat Malaysia.
Tanggungjawab yang sama dalam membuka peluang-peluang pekerjaan baru juga harus digerakkan oleh badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dalam menampung ‘extra capacity’ pasaran pekerjaan Malaysia untuk masa kini.
Walaupun kerajaan telah memberi jaminan akan terus mengekalkan bilangan penjawat awam yang kini berjumlah 1.6 juta orang, adalah diharapkan cadangan ini dapat dipertimbangkan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia khususnya dalam aspek meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan khususnya dalam bidang pendidikan agar para guru tidak dibebankan dengan tugasan bukan P&P dan menambaik proses P&P sedia ada melalui penggunaan teknologi yang lebih lancar dan berkesan.
Cadangan perjawatan baru ini yang dianggarkan akan menelan belanja sekitar RM150 juta setahun bakal membantu para guru di bawah KPM yang berjumlah lebih 400,000 pada tahun 2018.