Cadangan Dasar Pertama Jangka Masa Sederhana-Panjang Pemuda PAS Untuk Mengurangkan Pengangguran

Cadangan Dasar Pertama Jangka Masa Sederhana-Panjang Pemuda PAS Untuk Mengurangkan Pengangguran

Kerjasama Antara Industri & Institusi Pendidikan Dalam Mewujudkan Kurikulum Pendidikan Menengah Yang Mesra-Industri & SME Menuju IR 4.0.

DPPM merasakan kurikulum sekolah menengah sedia-ada harus ditambahbaik dengan mengambil kira input daripada pihak industri dan majikan khususnya bagi sektor ekonomi utama negara.

Di peringkat menengah, kurikulum tersebut harus lebih bersifat realis dan praktikal dengan mengambil kira keperluan semasa industri dan majikan agar kesedaran awal tentang kerjaya yang tepat dari aspek kebolehpasaran dan ‘employability’ dapat dipupuk.

Sesi ‘engagement’ dan bimbingan kerjaya dengan pekerja-pekerja dari sektor ini harus digerakkan agar pelajar menjadi lebih jelas dalam menilai sesuatu aliran, jurusan dan kursus yang ingin mereka pilih di peringkat lanjutan kelak.

Inisiatif sebegini akan memberi ‘a levelled playing field’ kepada pelajar dari keluarga B40 agar mendapat informasi kerjaya dan alam pekerjaan yang lebih tepat yang sebelum ini, mungkin hanya mampu diakses oleh mereka dari keluarga kelas menengah dan lain-lain.

Selain itu, pemupukan minat dalam pendidikan STEM yang strategik kepada pembangunan sektor industri utama seperti Elektrik & Elektronik, Hasil Petroleum, Petrokimia, Industri Sawit dan Getah yang merupakan penyumbang penting kepada pertumbuhan KDNK negara, harus terus diberi perhatian khusus dengan menumpukan kepada aspek Pengajaran & Pembelajaran (P&P) yang lebih berkesan.

Penumpuan dalam sektor-sektor strategik ini harus dilihat dalam konteks ‘smart manufacturing’ dan gelombang IR 4.0.

Keperluan sektor SME (Small & Medium Enterprises) yang menyumbang sekitar 38% kepada KDNK Malaysia juga harus diberi perhatian kerana sektor ini bukan sahaja penting dari aspek penyumbang pendapatan negara tetapi juga merupakan majikan terbesar Malaysia dengan 65% pekerjaan adalah disumbangkan oleh SME.

Sudah tiba masanya untuk pelajar Malaysia di peringkat menengah & universiti diberi pendedahan yang lebih dekat dengan sektor SME ini.

Dalam masa yang sama, sudah tiba masanya untuk Malaysia memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti tenaga mahir belia dalam bidang pertanian dalam memastikan keselamatan makanan negara terjamin dan mapan.

Sektor pertanian, industri makanan, dan aspek keselamatan makanan harus digabungkan dengan perspektif STEM dan IR 4.0 agar stigma negatif terhadap sektor ini oleh golongan belia dapat dipulihkan seterusnya meningkatkan minat dan partisipasi belia dalam sektor pertanian negara dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Selain itu, aspek penguasaan Bahasa Inggeris, kemahiran menyelesaikan masalah dan berkomunikasi yang penting dalam semua sektor pekerjaan dan industri harus diberikan perhatian yang lebih khusus agar penerapannya dapat berlaku secara lebih berkesan serta harus lebih bersifat praktikal dan ‘hands-on’ dan bukan hanya berdasarkan kriteria akademik semata-mata.

Ekonomi