Foto: Program Pelancongan Komuniti Di Pulau Perhentian, Besut

Foto: Program Pelancongan Komuniti Di Pulau Perhentian, Besut

Penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, YB Ustaz Ariffin Deraman dan Jabatan Pelancongan Negeri serta agensi-agensinya kerana memberi ruang dan membantu Pertubuhan Muafakat Sejahtera melaksanakan program Pelancongan Komuniti di Pulau Perhentian, Besut selama dua hari.

Tanpa kerjasama dari para pegawai dari Daerah Besut seperti Pegawai Daerah, Yang DiPertua Majlis, Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Pegawai Kesihatan, Jurutera Daerah, Ketua Polis, Pegawai Taman Laut, Pegawai Jabatan Laut, Pegawai LKIM, Pengerusi MPKK, Kakitangan IMITS, petugas Jabatan Amal dan lain-lain yang turut membantu menjayakan program ini.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong-royong membersih pulau, pertandingan rumah bersih dan cantik, taklimat kesihatan, dialog santai dengan penduduk, jamuan rakyat dan program menziarahi penduduk terpilih.

Program Pelancongan Komuniti Di Pulau Perhentian ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Yahaya Ali, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu.

“Dalam kesempatan dialog santai saya menekankan betapa perlunya penduduk menjaga kebersihan, menyantuni pelancong dengan pendekatan agama dan budaya kita serta tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan kepada pelancong-pelancong dengan sewenang-sewenangnya,” kata Yahaya.

Beliau juga menyeru pihak berkuasa daerah membuat perancangan teliti dan bersifat jangka panjang supaya tidak gelojoh membangunkan pulau ini supaya tidak merosakkan keindahan semula jadinya yang boleh menjejaskan kedatangan pelancong pada jangka panjang.

Pada masa yang sama banyak lagi kemudahan infrastruktur di pulau ini perlu diperbaiki dan dipertingkatkan seperti naik taraf kemudahan jeti dan jeti baru, lampu jalan, tambahan jalan baru dan naik taraf jalan sedia ada serta sistem perparitan untuk keselesaan penduduk kampong dan para pelancong di pulau yang sudah terpahat di peta pelancongan dunia ini.

“Pada akhirnya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh penduduk Pulau Perhentian dan juga kepada pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan rakan media yang membuat liputan sepanjang program ini berjalan,” tambah Yahaya lagi.

Dalam Negeri