UCAPAN DASAR PRESIDEN PAS MUKTAMAR TAHUNAN PARTI ISLAM SE-MALAYSA (PAS) 1442H / 2020M

UCAPAN DASAR PRESIDEN PAS MUKTAMAR TAHUNAN PARTI ISLAM SE-MALAYSA (PAS) 1442H / 2020M

“ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN”

الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام وفضلنا على كثير من الأمم. أشهد أن لا إله
إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير، وأشهد
أن محمدا عبده ورسوله البدر الدجى والسراج المنير. والصلاة والسلام على رسول
الله، وعلى آله وصحبه ومن تبعه ونصره ووالاه

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Tetap;

Yang Dihormati Sohibul Fadhilah Dato’ Mursyidul ‘Am, Yang Amat Berhormat Dato’ Bentara Kanan Timbalan Mursyidul ‘Am, dan Ahli-Ahli Majlis Syura Ulama;

Yang Berhormat Dato’ Sri Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Dato’ Setiausaha Agung, serta Ketua-Ketua Dewan Ulama, Pemuda, Muslimat, dan DHPP;

Yang Dikasihi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Negeri dan Pengerusi al-Sabiqun;

Yang Berhormat Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri;

Yang Diraikan Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional, Muafakat Nasional dan Gagasan Sejahtera;

Yang Diraikan Para Tetamu, Dif Kehormat, Kedutaan Luar, NGO serta Rakan Media;

Yang Berusaha Panitia Muktamar dan Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan sebagai Tuan Rumah; seterusnya, Yang Dikasihi Para Perwakilan dan Pemerhati yang dirahmati Allah sekalian.

Dengan penuh rasa ukhuwwah saya ucapkan “Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum”,

Selamat Datang dan Selamat Bermuktamar kepada semua perwakilan, pemerhati dan tetamu yang hadir bagi menjayakan Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 bagi tahun 1442 Hijrah bersamaan 2020 Masihi, dalam suasana norma baharu mendepani wabak COVID-19, yang kita mohon perlindungan berterusan kepada Allah supaya dihapuskannya.

Firman Allah SWT:

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu saling bantah membantah; jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ وَلا تَنازَعوا فَتَفشَلوا وَتَذهَبَ ريحُكُم ۖ وَاصبِروا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّابِرينَ

Surah al-Anfal: 46

Rantaian tema muktamar terdahulu, “Islam Memimpin Perpaduan” adalah berkonsepkan perpaduan ummah mengikut petunjuk daripada Allah SWT, telah kita terjemahkan melalui tindakan yang diambil sebelum ini.

Konsep Perpaduan Ummah yang berpandukan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, adalah berteraskan kepada Aqidah keimanan yang dibuktikan dengan Amal Soleh iaitu perjuangan dalam menegakkan Islam yang berdaulat. Pada masa yang sama, kekuatan umat Islam hendaklah dijana agar mampu memimpin Masyarakat Majmuk demi menghayati keadilan untuk semua.

TEMA MUKTAMAR

Tema yang diangkat dalam Muktamar kita pada tahun ini:

“ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN”

Tema inilah yang telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW pada permulaan ketika berjuang menegakkan Islam dalam diri, keluarga, jemaah dan masyarakat.

Perjuangan yang menjadikan umat Baginda Nabi SAW berkuasa, sehingga mampu memimpin dunia selama beberapa abad lamanya.

Pada waktu itu lahirnya satu Tamadun Islam yang memberi sumbangan dan jasa besar dalam segala aspek kehidupan manusia sehingga berterusan ke seluruh pelosok dunia pada hari ini.

Hasil dan tinggalan daripada tamadun Islam diambil manfaat oleh pihak bukan Islam dengan cara yang tidak sempurna, kerana mereka menganut konsep sekularisme yang memisahkan kehidupan manusia daripada agama, khususnya dalam aspek aqidah dan akhlak.

Akibat pemisahan agama daripada kehidupan manusia, maka ia telah menjadi punca masalah yang sedang dihadapi oleh dunia pada masa kini, sehingga manusia menghadapi suatu krisis nilai yang membakar diri sendiri.

  ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (٤١)

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatanperbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Surah al-Rum: 41

Kesilapan yang berlaku bukan disebabkan oleh Islam, tetapi kerana mereka tidak melaksanakan ajaran Islam yang sempurna.

Maka umat Islam yang terpengaruh dengan kerosakan itu juga menerima akibat yang sama, apabila mempunyai integriti yang lemah.

Allah SWT berfirman kepada umat terdahulu sebagai satu pengajaran kepada umat hari ini:

 اَفَتُؤۡمِنُوۡنَ بِبَعۡضِ الۡكِتٰبِ وَتَكۡفُرُوۡنَ بِبَعۡضٍ​ۚ فَمَا جَزَآءُ مَنۡ يَّفۡعَلُ ذٰلِكَ مِنۡکُمۡ اِلَّا خِزۡىٌ فِى الۡحَيٰوةِ الدُّنۡيَا ​ۚ وَيَوۡمَ الۡقِيٰمَةِ يُرَدُّوۡنَ اِلٰٓى اَشَدِّ الۡعَذَابِ​ؕ وَمَا اللّٰهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُوۡنَ

“Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu antara kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”

Surah al-Baqarah: 85

Umat Islam pada hari ini mengalami kelemahan, apabila mereka tidak mengamalkan ajaran Islam yang sempurna, sebagaimana yang dilakukan oleh umat terdahulu terhadap Kitab Allah.

Maka apa yang berlaku terhadap umat Islam tidak boleh menjadi ukuran kepada ajaran Islam.

Oleh itu, sudah menjadi kewajipan kepada kita untuk mengembalikan umat Islam kepada petunjuk Allah SWT bagi meletakkan Islam memimpin semula.

Islam bukanlah sekadar menjadi agama yang dianuti oleh individu masing-masing, sekadar berjemaah di masjid dan surau, atau semata-mata berhimpun menunaikan haji dan umrah sahaja.

Sebaliknya penerusan risalah Islam wajib disambung semula dengan kembali ke pangkal jalan, setelah umat Islam kehilangan kuasa sehingga dijajah tanah air dan pemikiran mereka.

Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita ajaran Islam yang sempurna termasuk beramal dengan semua aspek kehidupan seperti perjuangan politik bagi menegakkan negara.

Perjuangan itu bermula dengan tarbiah secara individu, keluarga, berjemaah atau berparti, dengan konsep perpaduan umat Islam yang memimpin.

Kemudian diikuti dengan penyertaan masyarakat majmuk, berbagai bangsa dan agama.

Semua golongan ini berjaya disatupadukan di bawah konsep Negara Berkebajikan yang paling sempurna dan bermasyarakat madani yang berpijak di bumi kenyataan, bukan seperti khayalan ahli falsafah yang mencipta berbagai ideologi dan teori yang gagal di pertengahan perjalanan masing-masing.

Kini kegagalan ideologi itu dapat dibuktikan dengan keruntuhan sosialisme, komunisme dan merudumnya liberal kapitalisme.

Demokrasi yang dijadikan slogan kononnya “Suara rakyat suara keramat” oleh mereka, sebenarnya hanya menipu dan menyesatkan rakyat.

Slogan tersebut diilhamkan daripada demokrasi Greek Purba:

Vox populi, vox dei (Latin),

“The voice of the people is the voice of God.”

(Suara rakyat itu suara tuhan).

Islam juga berbeza dengan konsep teokrasi kerana Islam tidak memberi kuasa mutlak kepada Umara’ dan Ulama’, tidak sebagaimana diberikan kuasa mutlak kepada paderi atau sami.

Rasulullah SAW menyatukan bangsanya yang buta huruf dan paling jahil.

Bangsa Arab yang tinggal di padang pasir yang paling keras hati, sudah menjadi kebiasaan mereka berperang, saling bunuh membunuh sesama sendiri dan membunuh anak perempuan yang dianggap tidak boleh membantu untuk berperang.

Hanya Islam dapat melembutkan hati bangsa Arab yang lebih keras daripada batu dan menyatukan mereka yang porakperanda dengan mukjizat ilmu al-Quran dan kebijaksanaan Sunnah Rasulullah SAW.

Baginda Nabi SAW memulakan misi dakwah dengan menyatupadukan penganut Islam di kalangan bangsa sendiri, sebahagian besarnya terdiri daripada kumpulan Muhajirin dari Makkah dan kumpulan Ansar dari Madinah.

Kelompok Ansar terdiri daripada kalangan Aus dan Khazraj, penduduk Madinah yang sentiasa berperang, namun mereka disatukan menjadi satu kumpulan yang digelar dengan Ansar.

Kemudian misi penyatuan disertai oleh kalangan penganut Islam bukan Arab, dan diikuti bukan Islam yang tidak ekstrem daripada berbagai agama.

Golongan bukan Islam ini bencikan kezaliman dan kehidupan yang tidak bermoral mengikut fitrah serta tabii manusia termasuklah menolak manusia yang melampau di luar tabii.

Perpaduan yang dilakukan itu diikat dengan Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang menjadikan Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagai penyatu umat dan penyelesai masalah.

Antara kandungan yang terdapat di dalam Sahifah yang bersejarah itu ialah:

 وإنه ما كان بني أهل هذه الصحيفة من حدث أو اشتجار خياف ّى هللا فساده فإن مرده إىل هللا عز وجل، وإىل حممد رسول هللا صل عليه وسلم

“Dan bahawa sesungguhnya segala perkara dan pertelingkahan yang berlaku di kalangan semua pihak yang terlibat dalam piagam ini yang dibimbangi boleh merosakkan, hendaklah dirujuk kepada Allah SWT dan Muhammad SAW (al-Quran dan al-Sunnah).”

Sirah Ibn Hisyam, jld.1, ms. 280

Setelah termeterai Piagam Madinah, maka bermulanya titik tolak penubuhan Negara Islam Madinah yang mencipta masyarakat
madani hidup secara majmuk, sehingga membina sebuah
tamadun baru yang menyelamatkan manusia dengan Futuhat Islamiyyah (Pembukaan Islam), berbeza dengan konsep penjajahan yang bercirikan perhambaan sesama manusia dan merosakkan alam.

Menerusi Negara Madinah, dibina sebuah tamadun Islam yang bercirikan ilmu wahyu, kebijaksanaan Sunnah Nabawiyyah dan semua kaum yang berada di bawah naungan Islam.

Kita mengalami zaman kejatuhan umat Islam akibat dijajah kerana
mereka mula meninggalkan Islam sebagai panduan.

Allah SWT telah memberikan amaran terhadap bangsa yang cuai terhadap Islam, bahawa mereka akan diganti dengan bangsa yang lebih berpegang teguh dengan Islam dan berusaha untuk menegakkannya.

Firman Allah:

هَا أنْتُمْ هَؤُلاءِ تُدْعَوْنَ لِتُنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَمِنْكُمْ مَنْ يَبْخَلُ وَمَنْ يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَنْ نَفْسِهِ وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأنْتُمُ الْفُقَرَاءُ وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْماً غَيْرَكُمْ ثُمَّ لا يَكُونُوا أمْثَالَكُمْ

“(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian (bakhil), kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit daripada harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”

Surah Muhammad: 38

Bangsa Arab hilang kehebatan akibat kelekaan tidak mempertahankan Islam, sekalipun mereka merupakan antara negara yang paling kaya raya dengan hasil bumi.

Kemudian ditukar dengan kaum dan bangsa lain secara silih berganti memimpin dunia.

Berterusan sehingga berakhir dengan kejatuhan ‘Uthmaniyyah di Turki pada awal abad yang lalu.

Mereka tersungkur disebabkan para pemimpin yang meninggalkan Islam.

Sekarang inilah giliran kita pula, sekiranya ditegakkan Islam oleh Bangsa yang berpegang teguh dengan Agama sehingga layak memimpin bersama Islam.

Kita telah berusaha dan berjuang setelah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan daripada penjajah Barat.

Walaupun kemerdekaan yang diperolehi hanya sekadar penjajah asing keluar pulang ke negeri asalnya, tetapi pengaruh mereka masih bertapak dalam pemikiran dan kefahaman masyarakat.

Kejutan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, telah berjaya menggerakkan usaha perpaduan ummah.

Bermula dengan perpaduan bangsa menerusi penubuhan Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO, kemudian diikuti kerjasama dengan gabungan kedua-dua parti.

Penyatuan terus berlangsung dengan penyertaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kumpulan Islam yang meninggalkan PH dan juga kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

Usaha penyatuan membuahkan hasil apabila Putrajaya berjaya diambil alih setelah ditinggalkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang tidak mampu bertahan, kerana kerajaan mereka diruntuhkan oleh diri sendiri akibat tangan-tangan mereka yang saling bercakaran sesama sendiri.

Langkah yang dilakukan adalah mengikut saluran Demokrasi Berparlimen melalui Wakil Rakyat dan Raja Berperlembagaan.

Perpaduan Islam dimulakan dengan menggabungkan PAS dan UMNO terlebih dahulu bagi menegakkan kepimpinan Islam, sehingga UMNO meminda Perlembagaan mereka dengan meletakkan Islam di hadapan kerana semangat Muafakat Nasional.

Kemudian diikuti oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan pecahan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti yang mewakili pelbagai kaum dan agama termasuk parti bukan Islam yang menerima konsep perpaduan nasional.

Akhirnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya ditubuhkan.

Maka langkah mengambil alih kerajaan yang dikosongkan oleh PH bukan langkah spontan ataupun segera, tetapi langkah sebelumnya yang panjang dan langkah selepasnya yang berwawasan melangkaui Wawasan 2020 yang telah tamat perjalanannya.

Kerajaan Perikatan Nasional hari ini menyambung suatu wawasan baharu yang sedang diisi dalam masa terdekat dan singkat menerusi kerajaan sementara ini, serta bersedia untuk membina sebuah kerajaan yang lebih kukuh melalui demokrasi dan menjadi pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Kita wajib menghadapi PRU-15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini.

Jangan wujud sebarang perpecahan bagi menghadapi pilihan raya kali ini supaya kita tidak menjadi laksana lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kenyang.

Sekarang kita sudah tangkap ayam yang makan beras padi yang tumpah dahulu, maka jangan diulang lagi dalam PRU-15 sehingga ayam pula terlepas, tangan pula berbau tahi.

Mari sama kita berakit,

Kita sambut datang membeli,

Teguh bersatu laksana bukit,

Anjing menyalak jangan dipeduli.

Semestinya menjadi suatu kewajipan, perpaduan yang telah kita bina ini diteguhkan lagi, agar memenuhi syarat-syarat kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang menegakkan agamaNya.

Firman Allah:


الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (40) الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ (41

“Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah.” Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang setengahnya yang lain (yang zalim), nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (40);

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah kesudahan segala urusan). (41).”

Surah al-Hajj: 40-41

Ayat ini menjelaskan permulaan pembinaan negara Madinah dengan hijrah Rasulullah SAW dan berjuang menegakkan negara bersama masyarakat majmuk serta mendapat pertolongan Allah SWT, sehingga berjaya menegakkan sebuah negara yang bercirikan pemimpin bersyakhsiah, ekonomi yang adil kepada semua, berkebajikan, kehebatan undang-undang dalam mencegah kemungkaran dan berwawasan akhirat.

Hijrah pada zaman kini bukanlah menjadi pelarian yang kalah, kerana kita sudah mempunyai tanah air yang merdeka dan berdaulat.

Hijrah hari ini ialah berpindah daripada fahaman dan pendekatan yang salah, kembali semula kepada Islam yang kita tinggalkan kesempurnaannya kepada Islam yang sempurna, kerana perintah Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

Surah al-Baqarah: 208

Selain itu, berhijrah daripada kejahilan kepada berilmu.

Amirul Mu’minin, ‘Umar bin al-Khattab RA menegaskan:

“Berilmu dan fahami ilmu itu sebelum kamu dijadikan pemimpin (bukan kamu sendiri mengangkat diri menjadi pemimpin).”

Riwayat al-Bukhari 256

Imam al-Mawardi, seorang ulama’ dalam Mazhab Syafi’i serta para ulama’ yang lain telah menegaskan syarat-syarat bagi seseorang yang menjadi pemimpin:

Pertama: Adil (عدالة (dengan syarat-syarat yang mencukupi (integriti, akhlak dan maruah).

Kedua: Ilmu yang matang boleh berijtihad dalam hukum dan menangani masalah semasa dalam segala aspek bernegara.

MENGAPA PERPADUAN MELAYU ISLAM TERLEBIH DAHULU?

Allah SWT berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلاَّ بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللّهُ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيم

ُوَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَى بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَذَكِّرْهُمْ بِأَيَّامِ اللّهِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (4);

Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizatmukjizat Kami sambil berfirman: “Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu daripada gelap-gelita kekufuran kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. “Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi setiap orang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur. (5).”

Surah Ibrahim: 4-5

Walaupun Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS diutuskan bagi menghadapi Firaun yang zalim, namun Allah SWT menegaskan bahawa kaum mereka terlebih dahulu perlu diselamatkan daripada kesesatan dengan menggunakan ilmu melalui bahasa kebangsaan masing-masing.

Allah SWT juga berfirman kepada Nabi Muhammad SAW agar menyeru kepada seluruh manusia, tetapi dimulakan dengan Marhalah Makkiyyah.

FirmanNya:

وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”

Surah al-Syu’ara’: 214

Rasulullah SAW menceritakan kisah Nabi Lut yang tidak mempunyai sokongan daripada kaum sendiri yang bersamanya, Baginda SAW bersabda:

“Dan moga Allah merahmati Lut AS, seandainya dia mendapat perlindungan daripada keluarga yang kuat, tatkala dia berkata: “Sekiranya aku mempunyai kekuatan (untuk menolak kalian) atau berlindung dengan keluarga yang kuat (tentu aku lakukan).” Nescaya Allah tidak akan mengutus seorang Nabi selepasnya kecuali mempunyai kekuatan daripada kaumnya sendiri.”

Riwayat al-Tirmidhi 3116

Rasulullah SAW juga turut berwasiat melalui satu hadith, sabda Baginda SAW:

“Para pemimpin paling hadapan mestilah daripada bangsa Quraisy.”

Riwayat al-Thabrani dalam Mu’jam al-Awsath 6610

Para ulama’ Fiqh Siasah menegaskan kepimpinan yang paling berpengaruh didukung daripada bangsa yang menganut Islam, dan bangsa yang mendominasi dalam masyarakat pada masa itu ialah bangsa Arab Quraisy.

Maka Allah berfirman kepada bangsa Arab yang awal menganut Islam itu:

وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْماً غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ

“Dan jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”

Surah Muhammad: 38

Maka kepimpinan umat Islam bertukar antara kaum dan bangsa yang menganut Islam secara silih berganti, kerana risalah Islam hendaklah disampaikan kepada seluruh manusia.

Inilah hukum fiqh politik Islam mengikut Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah.

Adapun mazhab yang menolak peranan pengaruh bangsa dan kaum pada zaman awal Islam ialah Mazhab Khawarij dan majoriti daripada kalangan Mu’tazilah yang dianggap ijtihad mereka itu adalah salah, kerana tidak menepati Maqasid al-Syariah, Siyasah Syar’iyyah serta menyalahi ijtihad para sahabat selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Namun Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam yang merupakan satu-satunya penyelesaian masalah umat yang teguh, anjal dan tidak hanyut, selagi beristiqamah dengan prinsip dan konsep yang berpandukan Hidayah (petunjuk), bukannya Jibayah (harta cukai).

Maka bangsa yang bersama Islam wajib bangkit supaya tidak dihanyutkan oleh pengaruh bukan Islam yang menghilangkan jati diri sendiri.

Bangsa itu juga mungkin diselamatkan oleh kaum lain yang menganut dan menerima Islam tanpa membiarkan mereka ditenggelamkan oleh kaum bukan Islam yang haram diizinkan menjadi wali atau pemimpin kepada orang Islam, berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاء مِن دُون الْمُؤْمِنِينَ أَتُرِيدُونَ أَن تَجْعَلُواْ لِلّهِ عَلَيْكُمْ سُلْطَاناً مُّبِيناًِ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi (wali) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak membuat alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?.”

Surah al-Nisa’: 144

Dalam hal ini, hak bukan-Islam tetap dijamin.

Islam mengizinkan mengadakan hubungan dengan masyarakat majmuk bukan Islam dengan sempadan yang kukuh dan teguh, bagi menjaga Islam sebagai aqidah negara.

Peranan bukan Islam dalam politik dan negara diizinkan sehingga dibenarkan memegang jawatan Menteri Kabinet,

EXCO Kerajaan Negeri dan Ahli Majlis PBT yang berkait dengan soal pengurusan dan pentadbiran yang tidak berkait dengan perkara dasar dalam Islam.

Apa yang ditegaskan Islam bukan bersifat fanatik perkauman, kerana kepimpinan Islam juga bertukar bangsa yang memimpinnya.

Perkara yang paling penting adalah Islam menerima hakikat fitrah kecintaan kepada bangsa sendiri dan secara khusus menjaga keluarga sendiri.

Perkara ini diberikan penekanan oleh para Anbiya’ AS yang sangat sedih apabila keluarga dan bangsa mereka berada dalam kesesatan tidak mendapat hidayah.

Allah SWT berfirman supaya menjaga keluarga masing-masing:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahanbahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Surah al-Tahrim: 6

Allah SWT meletakkan hubungan silaturrahim sebahagian daripada sifat taqwa, firmanNya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُواْ رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَاء وَاتَّقُواْ اللّهَ الَّذِي تَسَاءلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيباً

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan juga yang membiakkan dari keduanya itu zuriat keturunan daripada lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Surah al-Nisa’: 1

Alhamdulillah bangsa Melayu yang menganut Islam adalah bangsa yang paling bertoleransi dan tidak rasis, kesan daripada ajaran Islam dalam diri mereka.

Kita dapat melihat sendiri bagaimana sebuah keluarga Cina dan India boleh hidup dengan aman di tengah-tengah kampung Melayu.

Kedai yang diusahakan Encik Leong tidak pernah diganggu, manakala anak Encik Muthu boleh belajar dan bersukan dengan kawankawan Melayu.

PENYELESAIAN MASALAH NEGARA (WINS)

Maka PAS berpijak di atas landasan aqidah Islam sebagai al-Din dan menafsirkan Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan dalam Perlembagaan.

Di samping diberikan hak kepada agama lain mengikut Perlembagaan termasuk jaminan hak istimewa orang Melayu yang sinonim bersama Islam.

Semua pihak telah menyaksikan kelemahan peranan Islam yang terdapat dalam kerajaan PH sehingga memberi semangat kepada kumpulan pelampau anti-Islam yang berani bersuara untuk mencabar Islam dan umatnya serta menghanyutkan orang Islam yang leka atau bebal.

Kesedaran dan kebangkitan telah menyatukan mereka yang peka dalam semua parti,

NGO Islam dan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem kerana konsep masyarakat majmuk tidak dapat ditangani dengan pendekatan liberal dan pragmatik sekular.

Maka mereka yang peka dengan pendekatan yang sangat negatif itu, tetap mencintai perpaduan dan keharmonian bermasyarakat majmuk supaya kembali semula kepada landasan yang betul dan beristiqamah.

Marilah kita bersatu padu dalam gabungan parti politik yang dibentuk sekarang bagi menghadapi PRU-15 dengan bersedia untuk menang dan mengisi kemenangan dengan membentuk kerajaan yang lebih kukuh.

Begitu juga kerajaan yang mendapat sokongan majoriti rakyat secara langsung dengan dikembalikan kepada mereka melalui pilihan raya umum.

Persediaan mengisi kemenangan dengan menyediakan pasukan calon yang berwibawa bagi memandu masa depan negara yang akan menghadapi cabaran yang lebih besar dan lebih mencabar dari segi politik, ekonomi dan budaya.

Hal yang demikian disebabkan kesan daripada kegagalan ideologi Timur dan Barat, serta kesan wabak pandemik Covid-19 yang melumpuhkan segala kegiatan dan pergerakan.

Kita sepatutnya memanfaatkan sumber tenaga dan kepakaran manusia serta hasil perut bumi tanah air kita sendiri.

Persediaan sumber manusia perlu melalui sistem pendidikan holistik yang merangkumi unsur jasadi, rohani dan aqli.

Termasuk mengatur konsep media yang bermoral dan kemajuan teknologi terkini.

Begitu juga perancangan ekonomi yang menghasilkan peluang pekerjaan dan menjana hasil keperluan negara yang mencukupi, serta memperkasakan kehebatan undang-undang dengan memperkenalkan syariat Islam yang sempurna.

Tambahan lagi, menyediakan jentera kerajaan dan pasukan yang mewujudkan keselamatan dan keamanan negara yang hebat.

Perkara yang paling penting juga ialah mengukuhkan perpaduan rakyat yang bertonggakkan umat Islam bersama masyarakat majmuk bagi melangsungkan perjuangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui firmanNya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berta’aruf (berkenalkenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Surah al-Hujurat: 13

Di samping menjaga ketegasan bersama Islam, kita juga diwajibkan bermasyarakat madani dan manusiawi dengan menerima budaya positif, kebijaksanaan dan kepakaran daripada semua kaum dan bangsa.

Di atas robohan Kota Melaka,

Pantang Melayu menyerah kalah,

Datang penjajah ganggu pusaka,

Membujur lalu melintang patah!

HUBUNGAN ANTARABANGSA

Islam menolak pertembungan yang mencetuskan ketegangan hubungan antarabangsa, kaum dan negara.

Perdamaian hendaklah didahulukan, keadilan terhadap semua diutamakan.

Umat Islam wajib menjadi teladan kepada seluruh dunia dengan seruan Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Surah al-Ma’idah: 8

Pembebasan Palestin akan terus menjadi keutamaan.

Kita juga perlu sedar bahawa kekacauan yang berlaku di negara umat Islam adalah kerana menjadi mangsa kezaliman oleh pihak lain melalui perang proksi.

Krisis yang berlaku di Palestin, Kashmir, Uighur, Rohingya dan negara-negara lain menjadi bukti yang nyata bahawa sebenarnya umat Islam terus menjadi mangsa kezaliman.

Malangnya umat Islam tidak mempunyai negara yang kuat bagi menyahut seruan Allah SWT:

وَمَا لَكُمْ لاَ تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاء وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَـذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّاً وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيراً

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya yang zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh).”

Surah al-Nisa’: 75

Apapun jua cabaran yang dihadapi, kita wajib memanfaatkan kerjasama dalam kalangan negara seaqidah, serumpun dan bersahabat, di samping terus berpegang dengan konsep perdamaian hendaklah diutamakan, walaupun terhadap musuh yang paling agresif kerana Allah berpesan:

وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ () وَإِن يُرِيدُواْ أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللّهُ هُوَ الَّذِيَ أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ () وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعاً مَّا أَلَّفَتْ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَـكِنَّ اللّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ()

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61);

“Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (62);

“Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (63).”

Surah al-Anfal: 61-63

PAS DALAM KERAJAAN (BPMS)

PAS telah mentadbir dua buah negeri secara bersendirian iaitu Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu, serta memimpin Kerajaan Negeri Kedah dan menyertai kerajaan campuran di peringkat Persekutuan dalam Kabinet.

Bahkan turut bertanggungjawab di bawah Kementerian, GLC dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta mempunyai kerusi di beberapa Negeri tanpa terlibat dalam kerajaan secara langsung.

Semua lapangan ini memberi peluang kepada kita dengan kadar yang terhad.

Para ulama’ menetapkan kaedah:

 ما ال يدرك كله ال يرتك كله

“Apa yang kita tidak dapat semuanya, jangan ditinggalkan semuanya.”

Kaedah di atas ialah konsep berpandukan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا

“Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaranpengajaranNya) serta taatlah (akan perintahperintahNya).”

Surah al-Taghabun: 16

Sekalipun kita tidak mencapai ke peringkat Tamkin (berkuasa sepenuhnya) dan masih belum berpuas hati, namun semua ahli PAS yang berada di tempat masing-masing hendaklah menjalankan tugas masing-masing, dengan berperanan membawa risalah Islam yang kita tegakkan.

Sekurang-kurangnya menjadi teladan yang baik dari segi syakhsiah (integriti) dan kemampuan dalam melaksanakan tugas dengan jayanya.

Insya-Allah kita tidak menjadi laksana tikus yang berada dalam kepuk padi atau semut yang mati dalam gula, tidak seperti mereka yang tidak beristiqamah melompat dan melarikan diri daripada PAS sebagai sebuah parti Islam.

Allah SWT berfirman menceritakan kisah Nabi Musa AS dan Nabi Nabi Harun AS:

وَقَالَ مُوسَى رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلأهُ زِينَةً وَأَمْوَالاً فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّواْ عَن سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَى أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَلاَ يُؤْمِنُواْ حَتَّى يَرَوُاْ الْعَذَابَ الأَلِيمَ () قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلاَ تَتَّبِعَآنِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ

“Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan tutupkanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.” (88);

“Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap beristiqamah (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu). (89).”

Surah Yunus: 88-89

Semua ahli parti yang berada di tempat masing-masing tetap menjadi jentera perjuangan yang sentiasa bergerak.

Marilah kita mengulangi sejarah bahawa PAS tidak pernah rugi dalam semua kerjasama politik dengan pihak lain selagi kita beristiqamah dengan Islam.

Hari ini kita berjaya dalam usaha Wahdah Ummah (Penyatuan Ummah) bersama Islam, maka pertahankan perpaduan ini dengan penuh kesabaran dalam menghadapi masalah dalaman umat dengan meneguhkan titik persamaan dan bertoleransi dalam perbezaan dengan konsep yang disebutkan dalam al-Quran, firman Allah SWT:

أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

“Mereka bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman…”

Surah al-Ma’idah: 54

PERSEDIAAN PARTI

Marilah jentera Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membuat persediaan bagi melunaskan syarat-syarat untuk mencapai kemenangan, sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT menerusi firmanNya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لآئِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ
وَمَن يَتَوَلَّ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ فَإِنَّ حِزْبَ اللّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah daripada agamanya (Islam), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orangorang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. (54);

Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). (55);

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulNya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang. (56).”

Surah al-Ma’idah: 54-56

Allah SWT telah menetapkan ciri-ciri kumpulan (parti) yang menegakkan agamaNya (Islam):

1. Mencintai Allah dan Rasul (berkonsepkan Islam secara menyeluruh).

2. Merendah diri kepada saudara seagama dan hebat menghadapi musuh Islam. (Sikap yang berbeza dalam hubungan sesama umat Islam dan bukan Islam yang berdamai, berbanding terhadap musuh dan mereka yang bersekongkol dengan musuh).

3. Berjihad (Pengorbanan diri dan harta) dilaksanakan bersama tarbiah berkonsepkan amal melalui tafaqquh .(تفقه يف الدين) Din-al fi

4. Berwala’ (memberikan kesetiaan) kepada Allah dan Rasul secara mutlak.

5. Berwala’ kepada kepimpinan yang beramal dengan Islam.

Ciri yang ke-4 dan ke-5 ini hendaklah dilaksanakan melalui proses Tarbiah dan Bai’ah.

Maka di sini terletaknya peranan Dewan-Dewan, Lajnah dan program Tarbiah secara khusus yang wajib disalurkan ke dalam jentera parti oleh Dewan Ulamak, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Dewan Himpunan Pendukung PAS.

Peranan ini hendaklah diturunkan pula ke seluruh peringkat Negeri, Kawasan, DUN dan Cawangan.

Semua peringkat perlu mewujudkan jentera Penerangan dan Dakwah yang sistematik agar maklumat sampai ke sasarannya, dengan mengikuti peningkatan teknologi maklumat yang pesat dan semasa, serta pendekatan berhikmah.

Lajnah-Lajnah perlu bergerak mengadakan hubungan dengan semua lapisan rakyat, melalui kebajikan, hubungan dengan NGO Islam dan bukan Islam, demi membela nasib rakyat dan menyelesaikan segala permasalahan masyarakat termasuklah di bandar, luar bandar, dan penempatan FELDA.

Semua perkara tersebut adalah penting dalam pendekatan Muwajahah Silmiyyah (berdepan secara aman dan damai) yang menjadi keutamaan dalam ‘Amal Islami (gerak kerja Islam), selaras dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) ke arah menegakkan Islam yang sinonim dengan konsep Demokrasi yang terus menjadi pendekatan PAS.

DEWAN ULAMAK PAS

Golongan ulama’ merupakan pewaris para anbiya’ yang berpengaruh dalam masyarakat. Peranan mereka ditegaskan oleh Allah SWT:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

“Hendaklah ada di antara mereka, orang-orang (yang tinggal) itu bertafaquh (mempelajari secara mendalam dan faham) ilmu yang dituntut di dalam agama (Islam), dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).”

Surah al-Taubah: 122

Risalah yang disampaikan ialah memahami Islam dan memberi peringatan.

Golongan ulama’ berperanan menyebarkan ilmu serta melakukan Islah dan Tajdid bagi menghadapi kehidupan semasa dan cabarannya yang membahayakan.

Walaupun mungkin terdapat kalangan ulama’ yang tidak memenuhi syarat untuk berijtihad bagi menghadapi masalah semasa yang tidak wujud pada zaman dahulu atau hanya mampu mentarjihkan masalah khilafiah dalam perkara furu’ (cabang) kerana situasi dan realiti yang berubah, namun ijtihad boleh dipenuhi secara berjamaah.

Peranan ulama’ dalam menggerakkan Dakwah, Ta’lim dan Tarbiah bukan sekadar meramaikan mereka yang hadir dalam kuliah dan ceramah dengan sekadar berhibur sahaja, tetapi mestilah menanamkan kesedaran beragama, berpolitik dan mengemukakan penyelesaian Islam kepada permasalahan masyarakat.

DEWAN MUSLIMAT PAS

Cabaran terkini kaum Wanita ialah menjadi sasaran tersebarnya pengaruh musuh Islam yang menghilangkan syakhsiah umat.

Kesan dam pengaruh musuh Islam itu sudah memasuki ke dalam rumah dan fikiran yang mempengaruhi keluarga dan masyarakat, khususnya para pengundi yang memilih kerajaan melalui pilihan raya melibatkan para wanita dan remaja pada masa hadapan.

Firman Allah SWT:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Taubah: 71

Undi kaum Hawa tiada bezanya dengan undi kaum Adam.

Peranan mereka juga sudah meluas ke lapangan masyarakat, maka mereka tidak boleh melepaskan diri daripada Jihad bagi mempertahankan Islam yang sudah menjadi fardhu ‘ain selepas fardhu kifayah dalam keadaan biasa.

Muslimat memerlukan petugas yang berwibawa untuk menarik sokongan rakyat dan kelompok atas pagar, di samping menjadi benteng aqidah dan akhlak Islam dalam institusi keluarga dan masyarakat.

DEWAN PEMUDA PAS

Pemuda adalah tonggak dalam gerak kerja Islam.

Mereka paling ramai bersama para Anbiya’ dalam sejarah perjuangan terdahulu.

Mereka berada di barisan hadapan dan menjadi harapan masa depan.

Pada masa yang sama, mereka juga menjadi sasaran musuh khususnya melalui serangan pemikiran dan budaya.

Pengundian secara automatik 18 tahun menjadi peranan besar kepada tugas pemuda, khususnya dalam persaingan media sosial yang perlu dikuasai.

Maka pengisian menyediakan pasukan kepimpinan dan jentera yang mantap perlu dilakukan dengan gigih daripada sekarang, dan menjadi model ikutan (Qudwah) kepada generasi muda.

Khususnya menjadi benteng anak muda yang paling menjadi sasaran musuh bagi merosakkan umat dan dipergunakan bagi menentang Islam.

Firman Allah SWT:

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”

Surah al-Kahfi: 13

DEWAN HIMPUNAN PENDUKUNG PAS

Kita telah berjaya memecahkan tembok yang memisahkan kita dengan masyarakat bukan Islam yang menjadi sebahagian masyarakat majmuk dalam medan perjuangan Islam.

Tugas kita bukan sekadar berdakwah terhadap bukan Islam kepada Islam tanpa sebarang paksaan, tetapi menyantuni untuk menyelamatkan semua manusia agar berada di bawah payung Islam yang adil kepada semua.

Jika masyarakat bukan Islam di sini boleh bermati-matian untuk menegakkan ideologi asing yang bukan daripada bangsa dan agama mereka sendiri, iaitu ideologi yang dibawa oleh penjajah Barat yang telah merosakkan jati diri mereka serta memperhambakan rakyat dan negeri yang dijajah, mengapa mereka tidak boleh bernaung di bawah Islam yang tidak memperhambakan sesama manusia, bahkan menjadikan semua bangsa adalah merdeka?

Firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Surah al-Mumtahanah: 8

PERSEDIAAN PRU-15

Perlu diketahui bahawa kerja pilihan raya bukan semata-mata semangat untuk bertanding kerusi yang banyak sahaja, tetapi mesti membuat persediaan untuk menang sehingga memerintah negara mengikut acuan Islam.

Tempat dan lapangan bagi memenangi kerusi sebanyak mungkin harus disediakan.

Maka kerja-kerja seperti meningkatkan jumlah ahli, cawangan dan penyokong, serta memperkukuhkan Wahdah Ummah bersama Islam hendaklah diusahakan di tempat masing-masing.

Jangan hanya sekadar menjadi ahli tanpa melakukan kerja, atau menubuhkan cawangan tanpa bergerak.

Jangan sekadar meletakkan calon tanpa mempersiapkan cawangan, jentera dan petugas yang berkemampuan untuk melakukan kerja pilihan raya bagi mencari dan mendapat undi seramai mungkin, bukannya meramaikan musuh.

Oleh kerana kita mahu memerintah negara dan negeri atau menjadi pembangkang yang menasihat, berdakwah dan berkhidmat kepada masyarakat, maka parti perlu menyediakan calon daripada kepakaran dan latar belakang dengan seimbang dan saksama.

Kadang-kadang kita menghadapi kawasan yang mahukan calon yang selesa untuk diri dan tempat masing-masing, tanpa mengira bahawa parti memerlukan pasukan yang mempunyai pelbagai latar belakang berkebolehan dan berpengaruh untuk mengisi kemenangan.

Kepimpinan PAS wajib membuat keputusan secara tegas dengan mengambil kira supaya PAS dihormati dengan kemampuan memimpin serta berjaya menyelamatkan negara dan umat. Maka seluruh ahli perlu memberikan ketaatan dan wala’ terhadap keputusan parti yang merupakan syarat dan rukun kita berjemaah.

Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama’ dan PAS Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan terpenting ini.

Golongan yang berwibawa dalam PAS tidak akan tercicir kerana konsep Kerajaan Teknokrat yang kita telah perkenalkan tetap memberi tempat masing-masing tidak semestinya menjadi calon dan wakil rakyat sahaja.

Manakala mereka yang menjadi calon pula sedia berkorban menghadapi segala kemungkinan apabila ditugaskan.

Kita berjaya memilih calon dan tenaga yang beristiqamah melalui tapisan Majlis Syura Ulamak dan ikatan Bai’ah yang menjadi rukun perjuangan.

Maka percayalah bahawa mereka yang tidak beriman dan budiman akan tetap menerima padahnya, kerana firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْراً عَظِيماً

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi bai’ah (pengakuan taat setia) kepadamu (wahai Muhammad SAW untuk berjuang dengan setia), mereka hanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan bai’ah (taat setia itu untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan bai’ah setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.”

Surah al-Fath: 10

PENUTUP

Akhirnya, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan yang setingginya kepada Jawatankuasa Panitia Muktamar yang dikendalikan oleh pasukan Setiausaha Agung dan Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan, termasuk semua peringkat jentera parti walaupun dalam keadaan darurat wabak COVID-19 yang menguji masyarakat seluruh dunia.

Mudah-mudahan kita mendapat fadhilat Murabithun yang berada di pengkalan masing-masing, berjuang dan bersabar dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اصْبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, dan bersedialah (dengan bertugas di tempat masingmasing) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.”

Surah Ali ‘Imran: 200

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG

PRESIDEN PAS

1442H / 2020M

PAS