Salam sejahtera dan salam perjuangan,
Terima kasih Tuan Pengerusi Tetap,
Yang saya kasihi YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang, Presiden PAS merangkap Duta Khas bertaraf Menteri ke Timur Tengah, para pimpinan dan para perwakilan sekelian.
Saya ingin mengambil kesempatan di dalam ucapan penangguhan ini untuk menyampaikan beberapa pandangan bagi pihak Dewan Himpunan Pendukung PAS.
- DHPP Akan Menjuarai Isu Perpaduan Kaum
Saya ingin ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih kerana telah melantik saya sebagai Senator non-muslim yang pertama sejak PAS ditubuhkan sejak tahun 1951.
Perlantikan ini adalah satu pengiktirafan yang sangat tinggi kepada DHPP sejak ianya ditubuhkan pada tahun 2020.
Ketua Wanita DHPP Pusat, cik Kumutha Raman dilantik sebagai Pegawai Khas kepada YB Menteri Dato’ Siti Zailah.
Begitu juga dengan Perlantikan Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kelantan, Terengganu dan Negeri Kedah.
Begitu juga dengan perlantikan Ahli-ahli Majlis di negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perak.
DHPP juga menunggu Perlantikan AM di Negeri Melaka dan Johor.
Terima kasih daun keladi.
Kecil tapak tangan, Niru kami tadahkan.
Tuan Pengerusi Tetap
Ucapan pertama saya di dalam Dewan Negara baru-baru ini telah saya fokuskan kepada perkara yang berkaitan dengan Perpaduan Kaum.
Isu Perpaduan Kaum semakin meruncing ketika negara yang kita sayangi ini diperintah oleh Pakatan Harapan selama 22 bulan.
Kebencian di antara kaum semakin menjadi-jadi.
Saya telah menegaskan supaya rakyat kembali memahami KONTRAK SOSIAL, menghayati semula RUKUN NEGARA dan pentingnya perlaksanaan SILANG BUDAYA untuk memperkukuhkan hubungan di antara kaum.
Para perwakilan yang saya hormati selain,
Saya ingin nyatakan pada hari ini bahawa saya mewakili PAS bukan sahaja untuk kaum India sahaja tetapi untuk semua kaum non-muslim termasuk kaum orang Asal, etnik di Sabah dan Sarawak.
Saya menggunakan platform di Dewan Negara ini untuk menjuarai isu Perpaduan Kaum atau Perpaduan Nasional.
- PAS Berjiwa Besar Namun Jangan Mudah Mengalah
DHPP merasakan bahawa PAS sewajarnya bertanding sekurang-kurangnya SATU kerusi di dalam PRN Sabah sebagai bukti rakan menghormati PAS.
Walau bagaimanapun DHPP tetap akur dengan arahan Presiden PAS melalui kenyataan media yang telah dikeluarkan sehari sebelum penamaan calon berlaku semalam.
Apapun, PAS mestilah benar-benar selari dan seiring dengan rakan parti yang lain pada PRU15 yang akan datang agar kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.
Bersama berganding bahu, berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing.
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
- Ahli PAS Perlu Siqah Dan Wala’ Kepada Kepimpinan
Para perwakilan sekian, wala’ dan taat adalah dua perkataan yang menjadi rukun kepada kita yang melangsungkan perjuangan menegakkan keadilan melalui PAS.
Mudah untuk menyebut tetapi belum pasti dapat kita laksanakan lebih- lebih lagi apabila kita sedang melalui ujian daripada Tuhan.
Begitulah yang saya pelajari melalui pengajian Tasawur Islam di ILHAM.
Di dalam Ucaptama Ketua Pemuda PAS semalam, beliau menyebut bahawa Tarbiyah mestilah menjadi DNA kepada Pemuda PAS.
Justeru saya juga menyeru kepada ahli DHPP mesti menjadikan Tarbiyah sebagai DNA kepada ahli DHPP melalui pengajian ILHAM ini.
Tanpa Tarbiyah kita pasti REBAH.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama bersatu padu, bersatu-hati, sokong-mendokong dan berganding-bahu membina dan memperkasa parti yang kita cintai dan sayangi ini.