Petang tadi, YAB Perdana Menteri melawat kilang semikonduktor Infineon di Batu Berendam, Melaka.
Kilang tersebut telah beroperasi di Malaysia selama lebih 40 tahun.
“Saya amat terharu dengan sambutan meriah oleh pihak pengurusan dan para pekerja Infineon yang berbaris panjang menunggu kedatangan saya,” kata Muhyiddin.
Kilang Infineon mempunyai 9000 pekerja yang kebanyakannnya adalah penduduk tempatan.
Sehingga hari ini, Malaysia satu-satunya negara di luar Jerman di mana Infineon mempunyai kemudahan proses ujian dan pengumpulan “Wafer Fabrication” untuk kilang tersebut.
Perdana Menteri telah diberi taklimat berhubung operasi kilang dan mendengar pandangan serta cabaran yang dihadapi oleh pihak pengurusan dan pekerja Infineon.
Saya amat berbesar hati apabila dimaklumkan oleh pihak pengurusan mengenai komitmen Infineon untuk menambah pelaburan sejumlah RM3.25 bilion dalam jangka masa 10 tahun hingga 2029.”
“Penambahan pelaburan ini jelas menunjukkan tahap keyakinan syarikat ini dan pelabur amnya terhadap kestabilan negara ini.
“Justeru saya ingin mengulangi komitmen Kerajaan untuk terus mewujudkan persekitaran pelaburan yang sihat di dalam negara dan menjadikan Malaysia destinasi pelaburan terbaik di Asia Tenggara, kata Muhyiddin
Terdahulu pada sebelah pagi, Perdana Menteri telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sebuah hotel di bandar Melaka.
Ini adalah kali pertama mesyuarat tersebut diadakan di luar Putrajaya pasca Covid-19.
Penganjuran mesyuarat di luar Lembah Klang ini merupakan sebahagian daripada usaha EAC untuk berinteraksi secara terus dengan rakyat dan industri setelah beberapa siri lawatan dan tinjauan dilaksanakan di Lembah Klang.
Program lawatan dan tinjauan ini juga sebahagian daripada tindakan susulan pelbagai sesi libat urus dan perbincangan EAC bersama pelbagai sektor bagi memahami dengan lebih mendalam cabaran yang dihadapi oleh pelbagai pihak untuk menyegarkan semula ekonomi Negara semasa mendepani pandemik COVID-19 ini.
Mesyuarat kali ini telah membincangkan impak larangan merentas sempadan antarabangsa kepada ekonomi negara dan rakyat serta strategi dan langkah yang perlu diambil bagi menanganinya.






