Hari ini tersebar desas-desus bahawa Naib Presiden PAN, Husam Musa telah meletak jawatan.
Kata berita itu, ia berpunca dari ketidakpuasan hatinya terhadap sikap diktator Presiden PAN, Mohamad Sabu.
Sudah ada ulasan dari Khalid Samad yang semacam mengesahkan desas-desus ini.
Pun begitu, ada laporan balas yang menafikannya.
Benar atau tidak apa yang didakwa oleh sumber itu, saya tidaklah mengetahuinya.
Tapi kata sumber itu, Presiden PAN itu terlalu mengikut telunjuk DAP.
Segala keputusan parti mereka, DAP yang tentukan.
Biro Politik PAN sudah lama tidak dimesyuaratkan.
Ertinya, segala pemimpin PAN tidaklah memimpin.
Melainkan dipimpin jua.
PAN kini di persimpangan.
Sama ada mereka akan kehilangan Husam Musa atau ia menjadi satu permulaan bagi gerakan mereformasikan PAN dan membenamkan kepemimpinan Mohamad Sabu.
Dalam suasana hari ini, seperti yang disuarakan kepada media, pihak Husam Musa kononnya menuduh Presiden PAN itu diktator.
Saya percaya, kawan-kawan Mohamad Sabu akan menafikannya.
Bagi orang bukan PAN, mereka melihat tindakan Husam Musa meletakkan jawatan ini sebagai menamatkan manipulasi nama Tok Guru Nik Aziz dalam PAN.
Mengapa tidaknya, ‘anak didik’ yang sering ‘didatangi mimpi’ Tok Guru pun telah kecewa dengan PAN.
Kekecewaan Husam Musa adalah terjemahan terhadap kegagalan PAN membawa pembaharuan dalam arus politik post Islamisme.
Di sudut yang lain, ramai penganalisis dan pemerhati politik melihat pengunduran mengejut Husam Musa ini sebagai serangan dua hala terhadap Mohamad Sabu.
Pertama, ia adalah tindakan untuk meruntuhkan imej Presiden PAN.
Kedua, ia adalah perisytiharan perang dari Kem Husam Musa dalam menghadapi pemilihan parti akan datang.
Mohamad Sabu digambarkan sudah tidak relevan lagi untuk memimpin PAN sekarang ini.
Husam Musa dan teamnya mungkin mahu melepaskan PAN dari pengaruh DAP yang dianggap merosakan imej PAN dalam menghadapi PAS, khususnya di Kelantan.
Sekarang ini, PAN bukan sahaja dianggap oleh orang Melayu sebagai ‘Dewan Himpunan Penyokong DAP’ dan ‘anak DAP,’ bahkan DAP dikatakan menguasai semua tindak-tanduk politik PAN.
Ramai netizen Melayu menyebut PAN sebagai ‘khadam’ DAP.
Husam Musa sendiri dalam sejarah politiknya adalah lebih dekat dengan kelompok IRC atau sekarang dikenali sebagai IKRAM.
Sebelum 2015, mereka cuba menguasai politik PAS.
Setelah gagal, IKRAM telah membawa keluar orang-orang mereka bersama kelompok yang bermasalah dengan geng ulamak PAS untuk menubuhkan GHB.
Akhirnya mereka menjadi PAN.
Difahamkan dari sesetengah sumber, bahawa geng IKRAM sekarang ini berusaha menguasai kepemimpinan PAN.
Mereka cuba menggunakan Husam Musa sebagai rival untuk berhadapan dengan Mohamad Sabu.
Beberapa isu berkaitan Syiah ditimbulkan semula.
Terbaru posting Ustaz Dr Kamil Abdul Majid. Isu Syiah adalah liabiliti PAN yang dikaitkan dengan Mohamad Sabu dan kumpulannya.
Sama ada benar atau tidak berita perletakan jawatan Husam Musa, sudah pasti ada kisah di sebaliknya.
Ia adalah konflik dalaman yang sedang hangat melanda PAN.
Power struggle yang berlaku ini menunjukkan bahawa kedudukan Mohamad Sabu tidak lagi kukuh, dan ada usaha-usaha untuk ‘melepaskan’ PAN dari cengkaman DAP.
Namun begitu, tidak boleh dipandang sepi juga tentang hakikat PAN sedang dicaturkan oleh IKRAM dalam pergerakan politik baru khususnya bagi menghadapi pemilihan parti itu akan datang.
Mohd Fadli Ghani