Perempuan Haidh Baca Bismillah

Perempuan Haidh Baca Bismillah

SOALAN:

Perempuan yang sedang haidh dilarang membaca ayat Quran tetapi kalau mereka nak baca bismillah seperti sebab hendak makan atau hendak lakukan sesuatu adakah diharuskan kerana setahu saya bismillah juga adalah ayat Quran?

Bagaimana pula baca ayat Qursi sebelum tidur bagi perempuan yang haidh?

JAWAPAN:
Memang benar perempuan yang haidh dilarang membaca Quran samada surah atau ayatnya menurut pendapat jumhur ulamak akan tetapi jika membaca ayat Quran seperti bismillah dengan niat membaca zikir atau membaca doa atau mengambil berkat dengannya bukan dengan niat membaca Quran maka hukumnya adalah harus.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

فَلَوْ قَصَدَ الدُّعَاءَ أَوِ الثَّنَاءَ أَوِ افْتِتَاحَ أَمْرٍ تَبَرُّكًا، وَلَمْ يَقْصِدِ الْقِرَاءَةَ، فَلاَ بَأْسَ. وَفِي أَحَدِ قَوْلَيْنِ لِلْمَالِكِيَّةِ: لاَ يَحْرُمُ قِرَاءَةُ آيَةٍ لِلتَّعَوُّذِ أَوِ الرُّقْيَةِ، وَلَوْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ.
وَإِنْ قَصَدُوا بِهَا الْقِرَاءَةَ، فَفِيهِ رِوَايَتَانِ: إِحْدَاهُمَا لاَ يَجُوزُ؛ لِمَا رُوِيَ عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ سُئِل عَنِ الْجُنُبِ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ؟ فَقَال: لاَ وَلَوْ حَرْفًا؛ لِعُمُومِ الْخَبَرِ فِي النَّهْيِ

Artinya: “Maka jikalau seorang yang berhadas besar berniat baca bismillah itu akan doa atau puji-pujian atau memulakan perkara kerana mengambil berkat dan tidak dia berniat akan membaca Quran maka tidak mengapa.

Dan pada salah satu qaul mazhab Maliki tidak haram membaca ayat Quran dengan tujuan meminta perlindungan atau kerana berubat sekali pun membaca akan ayat Qursi.

Dan jika mereka niatkan membaca bismillah itu akan Quran maka pada masalah ini ada dua pendapat.

Salah satunya tidak harus ia kerana riwayat daripada Ali RA. sungguhnya dia ditanya tentang yang haidh membaca Quran maka kata beliau:

Tidak boleh walau pun satu ayat kerana umum hadith pada melarang.”

Kesimpulannya perempuan yang sedang haidh boleh membaca bismillah kerana hendak makan atau lainnya dengan syarat dia tidak berniat membaca bismillah itu akan ayat Quran.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab