Keputusan Irsyadul Fatwa:
Jawatankuasa fatwa negeri Kedah telah meniliti persoalan yang dikemukakan dan bersetuju memberi pandangan seperti berikut:
- Hukum asal jual beli yang membawa kepada maksiat dan kemungkaran adalah haram sekiranya diketahui dan ada Zann yang kuat akan tujuannya yang cenderung kepada perkara yang haram atau jelas haram.
- Dalam konteks negara Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, secara umumnya perkhidmatan penghantaran makanan atas talian seperti “Food Panda” dan sebagainya adalah halal dan ia termasuk dalam kategori akad “Wakalah bil Ujrah” (Perwakilan yang dibayar upah) yang mana hukumnya adalah harus berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.
- Bagi penghantaran makanan tidak halal menerusi perkhidmatan berkenaan, sekiranya penghantar langsung tidak mengetahui status makanan itu sama ada halal atau tidak maka hukum pendapatan yang diperolehi daripada perkhidmatan tersebut juga adalah halal.
- Namun, sekiranya penghantar makanan maklum akan status makanan yang dihantar bahawa ia adalah haram maka dinasihatkan supaya beliau mengelak daripada terlibat dengan muamalat sedemikian. Ini kerana jual beli yang melibatkan perkara yang haram adalah haram dan termasuk juga dalam urusan penghantaran makanan berkenaan berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: Janganlah kamu membantu dalam urusan dosa dan persengketaan dan bertakwalah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya maha berat azab seksa Allah bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya.
Sabda Nabi SAW:
وَإِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ شَيْئًا حَرَّمَ ثَمَنَهُ (رواه ابن حبان)
Maksudnya: Sekiranya Allah mengaharamkan sesuatu, maka diharamkan juga hasil jual belinya.
- Jika pesanan bercampur antara makanan yang halal dengan yang haram, terdapat tiga keadaan yang perlu diambil perhatian:
i) Jika diketahui kuantiti makanan/minuman yang halal melebihi yang haram, maka pendapatan daripadanya adalah halal,
ii) Jika diketahui kuantiti makanan/minuman yang haram lebih banyak maka adalah lebih baik dielakkan daripada memperolehi pendapatan daripadanya, dan
iii) Sekiranya tidak dapat dibezakan diantara keduanya, maka pendapatannya adalah tidak haram. Namun, hukum mengambil pendapatan tersebut adalah makruh. Bagaimanapun, atas dasar “Ihtiat” adalah tidak digalakkan mengambilnya kerana dibimbangi termasuk dalam perkara syubhah.
- Bagi mengelak daripada dikenakan penalti oleh pihak syarikat perkhidmatan penghantaran makanan atas talian disebabkan pembatalan perkhidmatan penghantaran makanan yang tidak halal itu ( jika “Food Rider” berkeyakinan makanan yang dipesan itu termasuk perkara syubhah) maka jawatankuasa menasihatkan supaya mereka berhubung terus dengan pemesan makanan haram tersebut agar membatalkan pesanannya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۗ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ مَرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ ۚ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ
Maksudnya: Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja. Kemudian kepada tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka ia akan memberitahu kepada kamu (segala isi hati) yang terkandung di dalam dada).
Berdasarkan dalil di atas, seseorang muslim itu tidak akan menanggung dosa seseorang muslim yang lain.
Justeru, dalam konteks yang melibatkan tujuan atau perkara yang haram dan diluar pengetahuan seseorang maka dosa si pelaku perbuatan haram itu adalah ditanggung oleh dirinya sendir dan tidak ditanggung oleh pihak yang lain yang berurusan dengannya.
Wallahu a’lam.
Disahkan oleh:
Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Bin Haji Awang,
DPSS., DSDK., AMK., BCK.
Mufti Negeri Kedah Darul Aman