Surat Tertutup Buat Dr Dzulkefly Ahmad

Surat Tertutup Buat Dr Dzulkefly Ahmad

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat Dr.

Semoga Dr sihat-sihat sahaja bersama Parti Amanah Negara (PAN).

Membaca surat terbuka Dr kepada bekas rakan-rakan PAS, membuatkan saya terpanggil untuk membalas surat tersebut.

Rupanya sudah 5 tahun sudah kita berpantang arang, berkerat rotan.

Pastinya 5 tahun lepas, terlalulah luka hati kami angkara pengkhianatan pihak Dr dan kawan-kawan Dr.

5 tahun itu jugalah Dr dan kawan-kawan cuba menyentap kepercayaan dan ‘tsiqah’ kami kepada Tuan Guru Presiden (TGP).

Namun, alhamdulillah Dr dan kawan-kawan tiada berjaya bahkan terpelanting keluar.

Pastinya kami terluka atas perbuatan 5 tahun dahulu.

Kalau boleh kami tidak mahu mengingati lagi akan kisah itu.

Parut itu walau sudah lama, tapi bila Dr selak kembali, rasa pedihnya juga kembali.

Jika dahulu Dr dan kawan-kawan dari dalam cuba mencabut tsiqah dan wala’ kami kepada Presiden dan parti.

Kali ini nampaknya hal yang sama cuba dilakukan Dr melalui surat terbuka itu, bezanya kali ini dari luar pula, atas tunggangan nasihat.

Ketahuilah Dr, kalau dari dalam pun kami tidak percaya dan menolak keluar, apatah lagi Dr berada di luar.

Mahu ditolak ke mana lagi?

Terima kasih atas surat terbuka itu, namun, kami tahu apa yang ada dalam rumah kami.

Kini amatlah kami kecapi kebahagiaan serta ketenangan tanpa Dr dan kawan-kawan.

Alhamdulillah berkat Dr keluar tanpa toleh ke belakang lagi, kami kini ceria tenang.

Hari ini Dr datang menjengah ke pagar halaman kami, laungan dan bebelan politik Dr itu kami dengar, namun, buat masa ini kami tidak mahu membuka pagar itu.

Bukan kami sombong, tapi risau dengan pesan orang tua-tua:

“Jika Kepalanya Ular Takkan Ekornya Belut.”

Jadi Dr itu belut atau ular?

Pulanglah dahulu Dr.

Rumah Dr perlu perhatian Dr jua.

Jangan perhatian diberikan kepada kami yang sudah cukup kasih sayang ini, sedangkan rumahtangga Dr pula punah sengsara dan kelihatannya menuju kerosakkan.

Husam perlukan belaian perhatian Dr.

Si Khalid Samad dan Hanifa juga perlukan kalam nasihat Dr agar lebih berakhlak.

Mat Sabu perlu taujihat dari Dr untuk menjadi Presiden yang dihormati.

Lebih manis Dr menulis surat buat ahli PAN agar berikan sokongan kepada Abang Mat memimpin PAN.

Lebih besar lagi, adalah LGE juga perlukan sokongan moral.

Dr perlu guna masa yang ada untuk berfikir bagaimana cara mahu gugurkan dakwaan kepada LGE?

Atau bincang skrip drama politik air mata sekali lagi untuk LGE.

Owh satu lagi Dr, berkenaan DS Anwar, kelihatan PAN dan DAP semakin menjarakkan diri meninggalkan DS Anwar keseorangan.

Saya simpati kepada DS Anwar, saya meneka ini mungkin sebahagian dari Langkah Bakal Perdana Menteri.

Apakah idea ini datang dari Dr?

Ye lah Dr kan seorang pemikir politik yang hebat, maaf jika soalan saya ini agak sensitif.

Namun, saya tetap simpati kepada DS Anwar yang ditinggalkan seorangan oleh PAN dan DAP.

Retak menunggu belah.

Begitu serasi PAN dan DAP, tokoh sehebat DS Anwar itu dijentik begitu sahaja.

Jika boleh saya ibarat hubungan PAN dan DAP ibarat khadam dengan tuannya.

Maaf Dr jika agak kasar ibarat ini, namun itulah yang kami lihat.

Kelihatan juga PAN itu ditugas menjadi benteng kepada DAP, dalam surat Dr pun Dr masih mempertahankan DAP.

Ye, kami faham itulah fungsi terompah kepada DAP, dipakai bila masuk tandas menjadi benteng kepada kaki dari terkena najis.

Akhirnya, Maaf Dr, jika surat ini agak tidak tersusun bahasanya.

Kerna saat menintakannya, hanya satu tangan saya sahaja menaip, satu lagi tangan untuk menggaru kaki anak yang nak tidur.

Bukanlah saya tidak serius untuk membalas surat Dr, tapi saya rasa cukuplah digunakan masa sebegini untuk membalasnya.

Usah Dr “try hard” sangat kerna jelas kelihatan ‘Hidung Tak Mancung, Pipi Tersorong-Sorong’.

Jika Dr rasa dengan tulisan Dr itu boleh merobek kepercayaan kami kepada TGHH dan kepimpinan parti, maka Dr hanyalah seperti ‘Pungguk Rindukan Bulan’.

Dah habis dah sebenarnya surat saya, sekadar nak cukupkan no 20.

Cantik sikit angkanya. Hihi.

Sekian,

Akhukum Fillah
Ahmad Fahmi Mokhtar

Menyentuh soal asobbiyah, kaum dan agama, Dr boleh tekan https://bit.ly/3c5kQbV dan beli buku Islam dan Kebangsaan. Buku terbaru tulisan TGHH.

Isu Semasa