Tadah Air Hujan Untuk Dapatkan Air?

Tadah Air Hujan Untuk Dapatkan Air?

Bodoh, mundur, lebai …

Saya malas nak terlibat dengan perbincangan yang akhirnya binari hitam putih politik.

Akhirnya masalah tak selesai.

Kita akan jadi, yang tak reti, terus tak reti.

Kesan perubahan iklim kini, telah berlaku fenomena apabila hujan tidak berlaku dengan cukup di kawasan hulu dalam kawasan tadahan air.

Dalam perbincangan saya dengan beberapa pihak yang mahir tentang air, itu adalah realiti.

Saya sendiri menyaksikan fenomena ini berlaku di empangan Teluk Bahang Pulau Pinang.

Empangan ini telah mengering sehingga kapasitinya menjadi 19% dan terus menyusut kini.

Kenapa sampai begitu jadinya, sedangkan saya yang tinggal di Penang ni, telah merasai hujan.

Kalau ditanya secara umum orang yang tinggal di Pulau Pinang.

Ramai akan jawab tempat masing-masing hujan sahaja.

Ya hujan berlaku dihilir, di kawasan kita tinggal tapi hujan tak berlaku diempangan tersebut.

Maka sebab itulah empangan tu mengering.

Bahkan ada tempat dihilir sungai, di dalam bandar dan kawasan penempatan sehingga banjir berlaku, tapi kuantiti air di empangan tidak mempunyai paras air yang sepatutnya.

Memahami fenomena ini yang kita percaya bahawa ia berkait dengan perubahan iklim, pakar-pakar pengurusan air telah memberi cadangan untuk menadah air di sebelah hilir sungai samaada dengan cara Penuaian Air Hujan (Rain Water Harvesting).

ORS dan Roof Water Harvesting adalah pendekatan untuk tujuan penuaian air hujan (rain water harvesting).

Apakah 2 perkara jargon ini?

ORS – Off-River Storage

ORS atau dalam Bahasa Malaysia adalah TAPS, Takungan Air Pinggir Sungai yang dicadangkan untuk menakung air hujan yang turun dikawasan tertentu, terletak di pinggir sungai.

Sebenarnya pendekatan ini lebih mampan (sustainable) berbanding mewujudkan empangan yang besar.

Empangan besar dihulu ni juga memberi kesan jelas yang menjejaskan biodiversiti flora dan fauna.

Maka, saya berpandangan empangan besar seperti Papar Dam di Ulu Papar tak perlu lagi.

Justeru, Gerakan Save Ulu Papar boleh proaktif mencadangkan TAPS menggantikan empangan Papar.

TAPS pula dibina dibanyak tempat dan bersifat menyokong keperluan air dalam lokaliti kecil dan tertentu.

Maka ia lebih baik, gangguan ekosistem tak besar dan bila berlaku krisis air, lokaliti tersebut dapat menampung keperluannya sendiri tanpa bergantung lagi dengan air daripada empangan besar.

Sebenarnya, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) Dr Zaini Ujang telah lama menulis soal ni di ruangan Facebook beliau.

Rajin-rajin la ikuti tulisan di Facebookb beliau.

Memang beliau antara pakar bidang pengurusan air.

Beliau jugalah yang menasihati YBM Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Menteri KASA sekarang.

Seterusnya, apa pula Roof Water Harvesting?

Roof Water Harvesting

Roof Water Harvesting ini sama saja dengan tujuan ORS atau TAPS.

Kedua-duanya melakukan kerja menuai dan menyimpan air hujan.

Beza TAPS dan Penuaian Air Bumbung (PAB) (Roof Water Harvesting) hanyalah pada skala rumah atau bangunan sahaja.

TAPS skalanya untuk menyokong simpanan air untuk lokaliti.

Manakala PAB pula untuk menyokong simpanan air rumah atau bangunan persendirian.

Pendekatan ini sebenarnya mengurangkan lagi kebergantungan daripada luar.

Cuma untuk TAPS biasanya akan air dirawat terus melalui sistem yang dipasang bersamanya.

Bagi sesiapa yang nak amalkan PAB ini, kita boleh memasang sistem sendiri yang ada telah dicadangkan oleh pemain-pemain dalam Industri Teknologi Hijau.

Selain itu, jika air bumbung yang tak mahu dirawat pun, ia masih boleh digunakan untuk mengurangkan penggunaan air bersih.

Air bumbung yang tak diproses ini boleh digunakan untuk tujuan membasuh diluar rumah, menyiram pokok dan disalirkan bagi tujuan untuk flush air jamban.

Saya kira tak wajarpun kita nak sensasikan sangat hal ‘tadah air hujan’ ni, seolah-olah tiada justifikasi apabila idea ini keluar.

“Hanya jauhari mengenal manikam”

Wacana fikir masyarakat takkan ke mana-mana kalau kita tak habis nak komen semua perkara secara binari politik dan prejudis untuk semua perkara.

Terima Kasih kepada Tuan Abdur-Razzaq Lubis (Pak Lubis) yang mula memberi idea kepada saya tentang ‘Rain Water Harvesting’ ini.

Bahkan beliau sendiri telah lama menulis buku tentang air “Water Watch ~ A Community Action Guide”.

(Nak beli buku hebat ni? Saya letak link diruang komen).

Walaupun buku ini terbit pada 1998 lagi, tapi buku ini masih boleh didapati di Areca Books.

Kedai Buku milik Pak Lubis dan isterinya Khoo Salma.

Sesiapa yang datang ke Pulau Pinang tu, jangan lupa singgah ke kedai buku hebat ini.

Saya sendiri tak pandai dan tentu sekali bukan pakar.

Saya suka belajar dan belajar untuk berhati-hati bila nak komen perkara yang bukan bidang saya.

Selamat berhujung minggu.

Semoga tulisan ringkas ini dapat dimanfaatkan dan disebarkan.

Zikrullah Ismail

Green Initiative Enthusiasm

USM , Pulau Pinang

Teknologi