Kenyataan Media Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi

Kenyataan Media Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi

Saya ingin mengulas sedikit kenyataan Yang Berhormat (YB) Menteri Alam Sekitar dan Air tentang penuaian air hujan (rain water harvesting).

Saya menyambut baik cadangan ini, khususnya dalam melestarikan penggunaan air selari dengan usaha Sustainable Development Goals anjuran United Nations (UN-SDG 2030) ke arah Positive Carbon Footprint.

Pelbagai kajian dalam negara dan pelaksanaan di luar negara menunjukkan keberkesanan dan kelestarian penuaian air hujan.

Antara contoh penuaian air hujan di luar negara ialah pelaksanaan di Frankfurt Airport dan London Olympic Park.

Sementara itu, pelaksanaan dan kajian dalam negara telah dibuat oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) melalui projek Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) semenjak tahun 2008 lagi.

Universiti-universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga telah banyak menjalankan kajian bagaimana untuk memaksimakan teknologi penuaian air hujan untuk kegunaan domestik, industri dan pertanian memandangkan ia antara inisiatif terbaik untuk kelestarian alam bagi generasi akan datang.

Dalam menempuh cabaran mendatang, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah sentiasa kehadapan dan terbuka menerima teknologi terkini melalui pelbagai cara daripada pembacaan, pengajian, latihan dan kursus atas talian.

Secara langsung, ini dapat membawa minda kita keluar daripada pemikiran zaman batu dan kepompong pemikiran yang jumud.

Saya menyokong penuh cadangan Yang Berhormat (YB) Menteri Alam Sekitar dan Air, mengenai penuaian air hujan dan seterusnya mencadangkan pengukuhan pelaksanaan dalam negara menggunakan teknologi tempatan yang telah tersedia.

Sekian. Terima kasih.

YB Haji Ahmad Amzad Hashim
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),
Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Dalam Negeri