SOALAN:
Tugas malaikat Izrail ialah mengambil nyawa manusia.
Soalan saya adakah malaikat Izrail juga yang mengambil nyawa binatang?
JAWAPAN:
Telah berlaku ijmak bahawa yang mengambil nyawa manusia ialah malaikat maut yang dikenali dengan Izrail dengan perintah daripada Allah Taala.
Mereka berkhilaf pada siapakah yang mengambil nyawa haiwan kerana tiada nas yang sahih menyebut tentang perkara ini.
Sebahagian ulamak berkata haiwan itu apabila tidak lagi bertasbih kepada Allah maka Allah pun mematikannya.
Al-Uqaili meriwayatkan:
آجال البهائم كلها من القمل والبراغيث والجراد والخيل والبغال كلها والبقر وغير ذلك ، آجالها في التسبيح ، فإذا انقضى تسبيحها قبض الله أرواحها ، وليس إلى ملك الموت من ذلك شيء
Artinya: “Segalah ajal haiwan itu sekeliannya daripada kutu dan serangga dan belalang dan kuda dan baghal sekeliannya dan lembu dan lain-lain adalah ajal mereka dengan tasbih. Maka apabila mereka tidak lagi bertasbih nescaya Allah mengambil segala ruh mereka dan tidaklah malaikat maut terlibat daripada yang demikian itu suatu.”
Manakala sebahagian ulamak berkata yang mengambil nyawa haiwan itu ialah malaikat maut juga.
Tersebut pada satu riwayat At-Tabarani dan Ibnu Hajar dalam Majma’ Zawaid:
َأَنَّ مَلَكَ الْمَوْتِ قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَاللهِ يَا مُحَمَّدُ لَوْ أَرَدْتُ أَنْ أَقْبِض رُوْحَ بَعُوْضَةٍ مَا قَدَرْتُ عَلى ذلِكَ حَتّى يَكُوْنَ اللهُ هُوَ أَذِنَ بِقَبْضِهَا
Artinya: “Malaikat maut berkata kepada Rasulullah saw: Demi Allah wahai Muhammad kalau aku hendak bahawa mengambil aku akan nyawa seekor nyamuk pun aku tidak mampu atas demikian itu sehingga adalah Allah memberi izin aku mengambilnya.”
Kedua-dua riwayat ini adalah dhaif.
Oleh kerana itu tidak ada ketetapan yang sahih tentang perkara ini hanya Allah yang maha mengetahui siapakah yang tugasnya mengambil nyawa haiwan.
Yang wajib kita beriman ialah semua perkara adalah mudah bagi Allah Subhanahu Wa Taala.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
